Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Semai sikap kanak-kanak elak pembaziran makanan

Jan 25, 2022 | 05:30 AM



LAMBAKAN sisa makanan boleh mengakibatkan pembaziran dan memberi kesan pencemaran kepada alam sekitar.



Menurut penulis buku Growing Kitchen Scraps, Cik Nur'afifah Mohd Hussain, 29 tahun, didikan perlu dilakukan dari awal agar kanak-kanak memiliki pengetahuan untuk mengelakkan pembaziran makanan.



Bagi memupuk kesedaran itu kepada kanak-kanak, Cik Nur'afifah mengalih bahasa buku Growing Kitchen Scraps ke dalam bahasa Melayu semasa sesi bercerita 'Inilah Bumi Idaman: Kitar Semula Sekerap Sayuran', anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).



Melalui sesi itu, para peserta bukan sahaja dapat mendengar cerita, malah mereka juga berpeluang menggunakan semula barangan terpakai untuk dijadikan pasu bagi menanam sekerap sayuran.



Setelah menghias pasu yang diperbuat daripada kotak susu atau botol plastik, mereka menggunakannya untuk menanam sekerap sayuran mereka.



"Para peserta menunjukkan rasa teruja kerana dapat mempelajari cara mengurangkan pembaziran barangan dan makanan melalui sesi ini.



"Selain mendedahkan kepentingan untuk mengurangkan sisa makanan, saya rasa juga penting untuk kanak-kanak menguasai bahasa Melayu.



"Tambahan pula, buku dan sesi bercerita ini mengetengahkan barang-barang (kotak, botol, air) dan sayur-sayuran (selasih, selada, saderi) yang sering mereka lihat dalam kehidupan harian.



"Sebelum ini, mereka lebih terdedah kepada barang-barang tersebut dalam bahasa Inggeris, jadi ia merupakan suatu peluang baik untuk memperkenalkan mereka dengan barang-barang tersebut ke dalam bahasa Melayu pula.



"Dengan penganjuran sesi bercerita ini, saya harap kanak-kanak dapat meluaskan lagi kosa kata mereka dan mengenali barangan harian dalam bahasa Melayu.



"Saya juga berharap sesi bercerita ini dapat menjadi langkah pertama untuk para keluarga memulakan tabiat mengurangkan pembaziran makanan di rumah melalui penanaman makanan sendiri.



"Bukan sahaja dapat menyumbang kepada persekitaran yang lebih baik, malah boleh menjadi suatu amalan atau aktiviti yang dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat kita.



"Saya juga berhasrat menghasilkan buku ini dalam versi Melayu. Semoga rancangan ini berjalan lancar," kata Cik Nur'afifah.



Beliau, yang memiliki Diploma Pengajian Psikologi (Politeknik Temasek) dan Diploma Pengajaran Awal Kanak-kanak (Politeknik Temasek) berkata, idea untuk menulis buku ini tercetus melalui pengalaman bersama keluarganya sendiri.



"Ketika saya baru pindah ke rumah sendiri. Itu merupakan pengalaman pertama saya melakukan pembelian untuk barang dapur. Sebelum ini, semua barangan dapur dibeli oleh ibu bapa kerana waktu itu saya menetap di rumah ibu bapa.



"Di rumah sendiri, banyak yang perlu saya pelajari. Antaranya adalah bagaimana memperuntuk berapa banyak barangan dapur yang perlu dibeli.



"Melalui pengalaman baru ini, saya dapati terlalu banyak pembaziran berlaku kerana saya akan membeli lebih daripada apa yang diperlukan. Akhirnya, makanan akan menjadi rosak dan terbuang.



"Tambahan pula, ada beberapa jenis barangan dapur seperti herba yang digunakan dengan jumlah yang kecil dalam masakan, tetapi dijual dalam jumlah yang banyak di pasar raya (seperti daun selasih, daun ketumbar).



"Atas kesedaran itu, saya mengambil langkah menanam makanan saya sendiri. Suami saya pula minat bercucuk-tanam, jadi ia menjadi suatu aktiviti yang beliau lakukan bersama anak-anak saya bagi menggalakkan mereka untuk bersama-sama menanam dan mengelakkan pembaziran makanan," kata Cik Nur'afifah.



Buku Growing Kitchen Scraps yang diterbitkan oleh Yaa Bunayya SG (2020) dan ilustrasi oleh Cik Shakina Razale itu menjadi salah satu dokumentasi perjalanan Cik Nur'afifah sekeluarga.



Beliau harap ia dapat memberi inspirasi kepada keluarga lain untuk mulakan langkah ke arah mengurangkan pembaziran makanan.



Cik Nur'afifah turut mengusahakan kerjasama dengan pertubuhan atau sekolah bagi aktiviti seperti bengkel dan sebagainya.




"Dengan penganjuran sesi bercerita ini, saya berharap kanak-kanak dapat meluaskan lagi kosa kata mereka dan dapat mengenali barangan harian dalam bahasa Melayu. Selain itu, saya juga harap sesi bercerita ini dapat menjadi langkah pertama untuk para keluarga memulakan tabiat mengurangkan pembaziran makanan di rumah melalui penanaman makanan sendiri."
- Penulis buku 'Growing Kitchen Scraps', Cik Nur'afifah Mohd Hussain, yang mengalih bahasa untuk buku 'Growing Kitchen Scraps' ke dalam bahasa Melayu semasa sesi bercerita 'Inilah Bumi Idaman: Kitar Semula Sekerap Sayuran', anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >