Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seni berpasangan, seni bermaya kehidupan

Kesenian ialah antara kemuncak kebudayaan. Adanya seni, kebudayaan menjadi bersemarak
Apr 6, 2025 | 8:54 PM
Hasil karya pasangan suami isteri Cik Fazelah Abas dan Encik Dino Hafian merupakan antara karya yang dipaparkan dalam pameran bertemakan ‘Reflection’ di Maya Gallery.
Hasil karya pasangan suami isteri Cik Fazelah Abas dan Encik Dino Hafian merupakan antara karya yang dipaparkan dalam pameran bertemakan ‘Reflection’ di Maya Gallery. - Foto MAYA GALLERY

Kerja seni ialah upaya imaginasi dan disuguhkan oleh ketukangan atau kemahiran, dihembuskan dengan cita, impian dan khayal sang seniman.

Kesenian ialah sebuah keperibadian suatu kebudayaan, selain memperlihatkan kedirian sang penciptanya yakni seniman.

Kesenian mendatangkan semangatnya daripada denyut kehidupan masyarakat. Kesenian ialah antara kemuncak kebudayaan. Adanya seni, kebudayaan menjadi bersemarak. Individu dan masyarakat mendapat manfaat daripada kesenian dan kebudayaan, sama ada sedar ataupun tidak.

Apabila membicara tentang memelihara kebudayaan, sebenarnya juga harus terangkum memelihara dan memajukan kesenian. Cabang seni daripada persembahan, tarian, lakonan, lukisan, pahatan, nyanyian, alunan, tenunan, anyaman dan banyak lagi, harus kita peduli, hargai dan cermati.

Seni penyeri pembangunan

Dunia kesenian dapat memberikan tanda aras betapa dalam suatu pembangunan itu telah atau sedang berlangsungan dengan baik dalam sesebuah masyarakat itu. Persoalan estetika berkembang atau sebaliknya adalah sebahagian daripada pertimbangan sewaktu kita menilai tingkat dan mutu pembangunan.

Pembangunan tanpa estetika ialah pembangunan tempang. Sama juga kalau estetika tanpa idealisme untuk membangun, adalah suatu upaya tanpa kesungguhan menghurai makna, mengasah rasa.

Ketukangan yang cermat tapi tanpa muatan gagasan seni yang imaginatif, sama juga menjadi kerja tangan yang mekanistis belaka.

Sesungguhkan karya seni mencerminkan pengalaman, penerokaan dan penyaksian daripada seorang seniman.

Dalam sebuah karya seni, berkemungkinan kita diketemukan dengan hal-hal berikut. Mungkin saja seniman itu sedang (a) bergelut dengan suatu pencarian, berbicara dengan diri sendiri atau orang terdekatnya, (b) bertembung dengan suatu pengalaman yang tersendiri, bernostalgik pada masa silam, (c) bermimpi pada yang dihajati, berkhayal terbawa diri, dan (d) berbagi cerita tentang keseharian yang dilalui.

Seni Berumah dalam Masyarakat

Dalam masyarakat Melayu Singapura, kita bersyukur kerana ruang kebudayaan dan kesenian masih tersedia dan terisi dengan baik. Bilang-bilang waktu ada saja temasya, forum dan persembahan kesenian.

Seni sayugia digerak dan berumah dari masa ke masa. Itulah fungsi pameran, ruang galeri seni, pusat atau muzium warisan, penerbitan dan forum wacana, sekolah seni dan media massa, dalam mengetengahkan perihal dunia seni kepada masyarakat.

Ruang dan kerja seni ialah halaman kebudayaan yang pasti membahagiakan dan membanggakan kita. Seni ialah seri kehidupan. Manusia dan masyarakat yang tiada seni, ialah hayat yang hambar, kosong dan gersang.

Sebaliknya manusia dan masyarakat yang ada seni akan menjadikan hayat lebih berwarna, bermakna dengan cita fikirannya membuana.

Hasil seni itu ialah perakaman pengalaman dan penafsiran seorang seniman. Mencipta seni memerlukan bentuk dan ketukangan daripada aspek luaran. Dari segi dalaman, ia lahir daripada perenungan, dialog luar dan dalam sang seniman, selain himpunan segala nilai, fikiran, cita, impian dan khayalnya.

Seni bermaya seri

Pada bulan Ramadan lalu, di Maya Gallery sedang berlangsung sebuah pameran seni dengan tema Reflection, atau Renungan. Ia memang diadakan setiap Ramadan, semenjak tiga tahun kebelakangan ini.

Kali ini dipersembahkan hasil karya enam orang seniman, yang kebetulan juga menjadi tiga pasangan suami isteri. Mereka ialah: Fazelah Abas dan Dino Hafian, Suriani Suratman dan Heiko Schulze, serta Masturah Sha’ari dan Jeffrey Wandly, empunya Maya Gallery.

Masuk ke galeri tersebut yang terletak di Genting Lane ini, kita akan cepat dibawa ke ruangan seni yang mengundang kita untuk bertanya, gerangan apa seni boleh meluaskan pemahaman kita tentang kehidupan, kebudayaan dan keseniannya itu sendiri.

Itulah keramat seni. Ia sering mengundang. Ia bisa menyeru nurani terdalam dari kita, setidaknya ia boleh menggelitikkan respons penglihatan kita yang memang tercipta untuk tertarik kepada apa-apa yang indah.

Seni di galeri untuk Refleksi

Bagi pasangan Jeffrey dan Masturah, kita dibawa ke serangkai perasaan romantik. Jeffrey membawa tema “Alunan Biola”, sedangkan Masturah dengan tema “Taman.” Jeffrey, anak komposer muzik Melayu Wandly Yazid, melukis dengan catan warnaan gelap berselang garis-garisan, dengan niat mencetus tempat dan ingat, ataupun lokasi dan memori.

Jeffrey secara profesional seorang arkitek, melukis dengan kacamata memori. Terlurik di kanvas lukisannya biola. Sebuah lukisan yang tersergam Panggung Negara, adalah lukisan ikoniknya.

Karya lukisan seperti ini membawa kenangan, khasnya bagi mereka yang pernah singgah atau menyaksikan pengalaman dari masa lalu. Di saat kita mahu menyambut SG60, lukisan memori seperti ini sangat mencuit ingatan.

Masturah Sha’ari melukis dengan warna dan sentuhan lembut, membayangkan hubungannya dengan ibu. Dari warna dan corak, lukisan Masturah seakan menggambar kain Kasa Rubiah, yang pada suatu waktu popular dipakai oleh wanita Melayu. Sepintas ia mengundang memori.

Lukisan abstrak Masturah dengan latar dari corak alam sering membawa ketenangan, tambah lagi bila warna menyejuk, mirip dengan warna tebaran alam yang kita senang melihatnya. Sedangkan sang suami melukis dengan berusan garang, berpadu cerita untuk dikenang.

Lukisan Fazelah dengan Dino seakan sebuah dialog pasangan suami isteri. Mentelah lagi kalau disusun lukisan Fazelah berjudul “Confusion” (Serabut) dengan lukisan Dino yang berjudul “Battle of the Mind” (Pertempuran Minda).

Terkesan sang ibu bergelut mengurus anak-anak dan kerja rumah, sedangkan ayah juga sering terpalit dengan bisingan anak dan isteri. Bayangkan pergelutan itu. Dino dengan khasnya melukis imejan gergasi, mengecat dengan gaya ala sci-fi ataupun kartun Jepun.

Jika dipasangkan lukisan ini sebelah-menyebelah, maka ia menjadi narasi yang agak lucu, cerita keseharian pasangan suami isteri yang bekerja, namun harus mengurusi hal rumahtangga, dengan anak-anak beragam keperluan dan kesayangan.

Fazelah dan Dino ialah guru seni lukis, dan ini terlihat dalam teknik pelukisan yang memerlukan kecermatan, selain terangkum ruang pesan dan tema yang agak mudah dijejaki. Warna dari lukisan mereka hidup, ceria dan meremaja. Yang melihat rentang lukisan mereka ini akan terjentik girang.

Dr Suriani, yang sudah agak lama berkecimpung dalam mengayam tembikar, menampilkan ciptaan bertema “Sebarkan!” Ia sebagai suatu kenangan kepada ayah beliau, Almarhum Cikgu Suratman Markasan, seorang tokoh sasterawan dan pendidik yang disegani.

Kepingan tembikar berbentuk buah sena telah disusun bagai daun kering yang berguguran di bumi, dengan beberapa yang berterbangan ke udara. Itulah yang terbayang dari instalasi gubahan Dr Suriani ini.

Pohon sena, dari biji buahnya akan menjadi benih yang bertaburan dan hidup di tempat lain. Begitulah cita pendidikan. Dr Suriani sendiri, seorang pensyarah kanan di NUS, sudah lama dalam dunia pendidikan.

Buah pokok sena yang menjadi kepingan tembikar menjadi lambang pepohon yang bertahan hidupnya. Begitu juga hidup seorang pendidik, dan mengenang Cikgu Suratman pastinya tersahut dalam karya yang mempesona ini.

Dari Heiko, suami Dr Suriani, tercipta tiga arca yang sangat unik, memadukan bahan alami (yakni kayu-kayu pecah yang lama terkering dan tersadai di pantai) dengan gantungan kinetik yang pastinya memerlukan pertimbangan teknikal yang rapi dalam pembuatannya.

Arca-arca kinetic ini dibuat dengan kombinasi kayu dan logam, yang kesemuanya terangkum dalam tema “Sail” (Pelayaran). Heiko sendiri, asal Jerman, sudah bermastautin lama di sini, dan karya bertema pelayaran ini membayangkan arus pengalaman yang beliau sendiri tempuhi, sebagaimana ramai yang lain.

Mencipta arca sebegini perlukan kemahiran teknikal yang tinggi, selain mencari bahan sesuai. Ternyata Heiko menggunakan kayuan kering yang tersadai di pantai perairan Singapura, dan ianya sangat berbentuk unik, semacam kapal yang berlayar.

Dr Suriani Suratman bersama arca hasil suaminya Heiko Schulze yang bertemakan ‘Sail’ (Pelayaran). Hasil karya itu dibuat dengan kombinasi logam dan kayu, termasuk kayu pecah yang lama terkering dan tersadai di pantai.
Dr Suriani Suratman bersama arca hasil suaminya Heiko Schulze yang bertemakan ‘Sail’ (Pelayaran). Hasil karya itu dibuat dengan kombinasi logam dan kayu, termasuk kayu pecah yang lama terkering dan tersadai di pantai. - Foto-foto DR AZHAR IBRAHIM

Seni memperdalam diri

Karya seni yang menarik sering menjana pukauan yang mengundang imaginasi kita. Seni seperti itu boleh menyentuh, malah meluluh. Seni sebagai sajian rohani, boleh menyampaikan kita ke ingatan silam, ke angan-angan masa depan, ataupun membumi ke masa kini.

Maka itulah diperlukan seni dalam kehidupan kita. Di satu sisi, seni membebaskan imaginasi kita daripada pola fikiran yang mesti tetap, dan di satu sisi yang lain, seni membuat kita semakin masak untuk mendekati yang cantik, indah, berseri dan hidup.

Di sinilah letaknya kegunaan seni untuk hadir dalam masyarakat, termasuk di peringkat peribadi. Manusia yang bergumul dengan seni, akan mengecap selera estetik yang tinggi, sehingga membolehkannya membezakan mana yang lambak, mana yang semarak, mana yang selerak, dan mana yang mencorak.

Jadi seni mesti terus hidup dan dihidupkan dalam masyarakat, termasuk ke tingkat peribadi. Inilah yang dapat kita saksikan dalam pameran Reflection 3 di Maya Gallery – keyakinan bahawa seni, kepercayaan, memori ialah inti utama dalam kita. Ia berlangsung dari 22 Februari hingga 12 April 2025.

Seni medan menawan

Seni yang indah pastinya punya kuasa menawan. Menawan bukan dalam pengertian tertakluk. Menawan itu terpegun yang mengasyik. Menawan itu adalah keterpegunan yang membekas.

Itulah yang ditawarkan kalau kita memerhatikan sebuah lukisan, arca mahupun tarian. Kanvas lukisan ialah sebuah medan untuk menawan. Daripada garis and warna akan kita kecapi dan berimaginasi pada sekelumit cerita atau pengalaman.

Seni ialah estetika pilihan. Ia bukan tawaran lambakan. Namun ia juga bukan khas milik kayangan. Ia boleh tercapai kepada semua, kerana karya seni memang dicipta untuk dinikmati, entah ia sebagai halwa mata dan telinga, atau barang pemilikan yang boleh kita simpan sebagai koleksi.

Seni memerlukan sarana pendidikan. Memang sekolah seni banyak terdiri hari ini. Namun diperlukan juga seni yang menumbuh, membunga dan membuah dalam masyarakat secara organik, yakni tumbuh secara semula jadi.

Kegiatan seni seperti pameran, bengkel wacana dan lumba penciptaan harus dimanfaatkan dalam masyarakat.

Hidup dengan seni bererti kita riang dimanjakan oleh sentuhan halusnya, didendangkan oleh nada girangnya, dihidangkan oleh pesan harumannya, dipegunkan oleh cerita sakti sang seniman yang mendapat wahyu imaginasi yang paling menggugah. Dekatilah para seniman, dan kita akan mendengar cerita-cerita takjub seperti itu.

Lain perkataan bersua, berkenal, berakrab, dan bersentuh dengan seni perlu dipupuk. Sekiranya ada wacana yang menuntut bahawa seniman jangan terpisah daripada masyarakat, maka wajar pula dituntut masyarakat sendiri tidak meminggirkan seni.

Bagus kalau kita dapat mendidik anak-anak dan diri kita mengenali seni dengan kerap dan akrab. Sambil itu pula seni dapat menyapa kita dari dalam. Itulah sentuhan rohani dan seni, paling dalam. Hari ini, kita ada banyak rumah seni seperti galeri dan festival. Merebutnya harus menjadi panggilan.

Makanya rumah dan kerja seni harus sama mendapat perhatian dalam usaha membangun masyarakat atau ‘community building’. Jangan sampai kita menjadi apa yang disebut Asrul Sani: “Tanpa kebudayaan, hidup di tanah air kita akan gersang sama sekali.”

Itu tidak mustahil apabila kita ada seni, tapi hanya kemasan yang kosong isinya; kita ada rumah seni, tapi tak diisi oleh penonton dan peminatnya. Tambah merosak, apabila kita celaru membezakan antara hiburan popular dengan kesenian yang bermahligaikan estetika manusiawi.

Seni yang berpasangan dengan kehidupan, akan menyuburkan kebudayaan. Seri seni yang kita cari mesti tumbuh dari kehidupan ini. Seni yang berseri adalah salah satu inti kepada kemanusiaan untuk memaknakan kehidupan ini. Seni kita mesti hidup dan menghidupi.

Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan Mastera, Singapura. Dr Azhar antara panel penulis yang diundang khas Berita Minggu (BM) untuk mengupas isu bahasa, budaya dan warisan.

Laporan berkaitan
Pantun dan kemanusiaan MelayuMar 18, 2025 | 2:16 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg