Topik diikuti
Pergi ke BHkuTari Melayu kontemporari angkat kisah sunyi golongan penjaga
Tari Melayu kontemporari angkat kisah sunyi golongan penjaga
Pementasan ‘Terang Menyinari, Terbakar Menerangi’ oleh Era Dance Theatre teroka cabaran bermakna tetapi rumit penjaga
Tari Melayu kontemporari angkat kisah sunyi golongan penjaga
Era Dance Theatre memanfaatkan tari kontemporari Melayu sebagai wadah untuk menonjolkan kisah kemanusiaan yang sering kali dianggap rapuh dan menyentuh sanubari.
Pendekatan itu jelas terzahir melalui produksi terbaru mereka, Terang Menyinari, Terbakar Menerangi, yang meneroka realiti rumit kehidupan seorang penjaga – sebuah perjalanan penuh makna tetapi pada masa sama dibayangi cabaran yang sunyi.
Pementasan sempena ‘Kacip Mas Dulang Permata 12’, program Era Dance Theatre itu berlangsung pada 25 dan 26 Mac di Pusat Seni Stamford.
Menurut Pengarah Artistik, Osman Abdul Hamid, ilham karya itu tercetus daripada hasrat untuk menyatukan pemeliharaan seni dengan empati terhadap hakikat kehidupan.
Sementara itu, Pengarah Persembahan, Azrin Abdul Rahim, pula menjelaskan bahawa pemilihan tema perjalanan penjaga berakar umbi daripada pemerhatian terhadap keadaan semasa, khususnya dalam konteks masyarakat Singapura yang kian menua.
“Tanggungjawab yang digalas oleh penjaga ini sering kali dianggap sebagai memang tugas mereka… namun, apa yang tidak mereka peroleh adalah pengiktirafan, perhatian,” ujarnya.
Menerusi gabungan ciri tradisional dengan gerak tari moden, karya ini melakar perjalanan emosi golongan penjaga, bermula dengan harapan dan dedikasi, sebelum perlahan-lahan dilingkari keletihan, yang akhirnya menjurus kepada kehabisan tenaga dan semangat, atau burnout.
Perjalanan itu dipersembahkan secara bertahap melalui tujuh babak yang terjalin erat, membentuk sebuah naratif emosi yang berkembang, bermula daripada pengalaman individu dan meluas kepada pengalaman kolektif.
Perjalanan bermula dengan babak pertama, ‘Sajian Perasaan’, bagi Osman membuka tirai persembahan.
Beliau menggunakan piring sebagai lambang perasaan dan harapan, sebelum disertai penari lain yang menukar emosi itu menjadi perkongsian bersama.
Adegan itulah yang antara paling menyentuh bagi Osman, yang menggambarkan simbolisme piring dalam adegan pembukaan sebagai lambang harapan yang dipindahkan dari satu generasi ke generasi lain.
“Yang sangat menyentuh hati saya adalah apabila saya melepaskan tanggungjawab saya kepada generasi yang akan datang… mereka tidak akan sama seperti apa yang saya perjuangkan, tapi mereka ada harapan sendiri,” katanya.
Perkembangan naratif diperkukuh dengan gerakan tubuh yang semakin gigih daripada satu babak ke babak seterusnya, bukan sekadar digerakkan melalui jalan cerita.
Dalam adegan seterusnya, ‘Pelindung Bara’, misalnya, penari wanita memenuhi ruang pentas dengan gerak Tari Terendak yang lembut namun tegas, seolah-olah melindungi sesuatu yang rapuh daripada terpadam.
Penggunaan sarung sebagai lanjutan pergerakan pula menambah lapisan makna, menggabungkan perlindungan dan beban yang perlu dipikul tanpa suara.
‘Rentak kemudian berubah dalam ‘Zapin of Questions’, apabila pasangan penari mula memperlihatkan dinamik hubungan yang tidak stabil.
Langkah yang pada awalnya selari kini bertukar menjadi ragu, mencerminkan persoalan kepercayaan dan emosi terpendam, terutama apabila tanggungjawab dalam hubungan semakin bertambah.
Peralihan ke adegan, ‘Api Dalam Sekam’ pula menyaksikan pergerakan yang lebih terkawal dan terhad, namun kaya dengan ketegangan dalaman.
Topeng yang diperkenalkan dalam segmen ini menjadi simbol jelas kepada konflik antara apa yang dirasai dengan apa yang dipamerkan – satu hakikat yang dekat dengan kehidupan seorang penjaga.
“Perasaan dan kenyataan itu kadang-kadang tidak sama… penjaga selalunya perlu tunjuk mereka kuat, walhal di dalamnya penuh dengan emosi,” kata Osman.
Seterusnya, babak ‘Angin Dua Lembah’ dan ‘Tari Ruas Jiwa’, memperluas perspektif, memaparkan bagaimana individu berfungsi dalam kerangka sosial dan budaya.
Pergerakan antara buluh menggambarkan kesinambungan tanggungjawab, bahawa beban menjaga bukan hanya milik seorang, sebaliknya diwarisi dan dikongsi dalam masyarakat.
Keseluruhan perjalanan itu memuncak dalam segmen ‘Tarian Melintas’, apabila gerak tubuh penari utama seolah-olah merangkum kesan daripada setiap babak yang telah dilalui.
Tarian itu bukan lagi sekadar gerakan fizikal, sebaliknya bertukar menjadi ruang refleksi – menjelmakan penerimaan, keterikatan, dan makna sebuah penjagaan dalam kehidupan yang rencam.
Bagi Azrin, kekuatan utama karya itu terserlah pada kemampuannya menyampaikan naratif tanpa dialog, dalam tempoh yang singkat, sekitar 60 minit sahaja.
Kejayaan itu amat membanggakan, lebih-lebih lagi latihan persembahan dijalankan sepanjang Ramadan, menuntut pengorbanan fizikal dan emosi yang tinggi daripada setiap penari.
Setelah Terang Menyinari, Terbakar Menerangi mencapai kejayaan, kedua-dua Azrin dan Osman berharap agar karya seumpama itu dapat membuka lebih banyak peluang untuk tarian kontemporari Melayu terus berkembang dan dihargai.
“Tarian tidak lagi hanya elemen sampingan, malah ia berpotensi berdiri sebagai karya seni utama,” tegas Azrin.
Osman pula melihat usaha itu sebagai satu amanah yang wajib diteruskan oleh generasi pewaris.
“Harapan itu sentiasa menyala… sesiapa yang berhasrat menyambung, beliaulah yang akan memimpinnya ke hadapan,” ujar beliau.
Era Dance Theatre adalah penerima geran utama Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
