Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taubah

Jun 1, 2025 | 5:30 AM
Di penjara (gambar hiasan).
Di penjara (gambar hiasan). - Foto SYOK

oleh Akif Budiman Mohamad Hasren

“Istawu... I’tadilu... Aqimu Sufufakum...”

Mentari terbenam di ufuk barat membenarkan malam menyelubungi langit. Jemaah tergesa-gesa meluruskan dan merapatkan saf bagi persediaan untuk melaksanakan kewajipan hamba-hamba yang taat pada Yang Esa. Tidak kira usia, rupa ataupun bangsa. Suasana menjadi aman dan sepi, menunggu imam mengangkat takbir.

“Allahu Akbar...”

Bertemu sekali lagi Tuhan bersama hamba-Nya yang setia.

----------------------

“Aiman Bin Sadiq, anda dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun atas dua tuduhan membunuh.”

Aku tidak menunjukkan sebarang reaksi. Tiada sekelumit rasa bersalah dalam diri. Memang patut mereka mati. Sanggup mereka mengkhianati kepercayaanku. Apakah kesetiaanku padanya tidak cukup untuk dibalas dengan kasih sayang yang setimpal? Apakah kesetiaanku sebagai seorang sahabat begitu minimal? Hubungan sulit antara isteri dengan rakan baikku membuat aku hilang pertimbangan. Fikiran yang bercelaru membuat aku bertindak terburu-buru.

Ah! Sudah tidak guna lagi memikirkan tentang perkara itu. Nasi sudah pun menjadi bubur. Hanya menunggu takdir untuk menetapkan nasibku yang malang ini.

“Buka pintu sel nombor 153!”

Seorang jejaka berkopiah dan berjubah putih masuk ke dalam sel penjaraku yang seluas almari bilik tidur.

“Assalamualaikum, Aiman.”

Wajahnya yang berseri-seri menyinari sel penjara yang malap dan suram itu.

“Waalaikumsalam, Ustaz.”

Aku menyambut salam tanpa sedikit pun rasa peduli atas kehadiran tetamuku.

“Apa khabar, wahai saudara seagamaku?”

“Ustaz, sudah berapa kali saya nak kata? Saya tak minatlah bab-bab agama. Ustaz tidak perlu buang masa bersama saya.”

Sudah 10 tahun aku merengkok di dalam penjara. Aku masih tidak faham mengapa Ustaz begitu bersusah payah melawat sel aku setiap minggu untuk berkongsi tentang agama. Apakah dia tidak mengerti bahawa aku tidak peduli tentang agama? Seperti biasa, Ustaz tetap meluangkan masa setengah jam bersamaku berbicara tentang Islam.

Trut... trut... trut... trut... Setiap bulan, banduan diberikan peluang untuk menghubungi orang yang tersayang melalui telefon. Aku sangat menghargai masa yang diberikan. Aku dapat mendengar suara ibuku yang ku sayangi. Namun, pada hari itu, terdengar suara orang lain di hujung talian.

“Assalamualaikum, Ibu!”

“Waalaikumsalam,” kedengaran suara yang dalam dan serak di hujung talian.

“Eh, Along? Mana Ibu? Angah nak cakap dengan Ibu.”

“Aku tak tahu bagaimana nak beritahu kau, Angah.”

“Beritahu apa, Along? Luahkan sajalah. Tidak usah diputarbelitkan.”

“Ibu sudah tiada.”

“Apa? Mustahil! Bukankah Ibu sihat sahaja? Kalau Ibu sakit, pasti dia akan beritahu Angah.”

“Memang itulah hakikatnya, Angah.”

Telefon terlepas daripada genggaman. Aku tidak dapat menahan air mata. Rasa sebak dan perit menyelubungi. Insan yang paling ku sayangi, akhirnya pergi. Aku tinggal sendiri bersama dunia yang penuh kekejaman ini.

Aku dibawa ke Tanah Perkuburan Pusara Aman melihat Ibu untuk kali yang terakhir. Sepanjang perjalanan dari penjara ke Pusara Aman, tanganku sentiasa digari. Malah, ketika sudah sampai pun, tangan aku tetap digari demi keselamatan orang lain. Ketibaan aku tidak diterima baik oleh orang ramai. Semua orang hanya memerhati aku dari jauh dan berbisik sesama sendiri. Keluargaku sendiri tidak menyambut kehadiran aku. Semua yang hadir seperti berasa jijik melihat kehadiranku. Air mataku berlinangan ketika ibuku diturunkan ke dalam liang lahad yang sedalam enam kaki itu. Bayangkan anak sendiri tidak mampu menurunkan jenazah ibunya disebabkan tangannya yang bergari.

“Allah sayang kita semua.”

Sejak pemergian ibuku, tidurku tidak nyenyak, makanku tidak kenyang, mandiku pun tidak basah. Ustaz juga makin kerap melawat sel penjaraku. Sekerap tiga kali seminggu. Pemergian ibu ternyata beban yang sukar ku tanggung. Bak kata pepatah, air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam. Kata-kata Ustaz mencetuskan pelbagai soalan dalam minda jahilku ini. Kalau benar Allah Maha Penyayang, mengapa kebahagiaanku dirampas?

“Mengapakah saya menerima ujian seberat ini?”

“Sesungguhnya setiap yang hidup akan rasa mati.”

“Mengapakah harus mati? Tidak bolehkah manusia hidup selamanya?”

“Cuba Aiman fikir. Kalau tiada kematian di dunia, bagaimana manusia hendak rasa nikmat syurga Allah?”

Jawapan dari Ustaz buat aku tersentak. Aku tidak pernah sekalipun fikir sebegitu. Apakah selama ini aku sudah lalai dengan kebenaran?

“Maksud Ustaz, saya tidak harus bersedih atas pemergian ibu saya? Begitu?”

“Bukan itu maksud saya. Kesedihan itu salah satu perasaan manusiawi apabila kehilangan orang yang kita sayang. Tapi tidak seharusnya terlalu sedih. Insya-Allah kita akan ditemukan lagi di akhirat kelak.”

Sekarang aku sedar bahawa selama ini aku bersikap jahil. Aku telah menolak insan yang sebenarnya mahu menolong aku kembali ke pangkal jalan. Bukan itu sahaja, aku sudah mungkar pada Yang Maha Berkuasa.

“Saya minta maaf, Ustaz.”

“Eh, kenapa awak kata begitu, Aiman?”

“Saya sudah banyak buat silap dengan Ustaz. Selama ini, saya sering tidak mempedulikan nasihat Ustaz.”

“Tidak usah khuatir, Aiman. Ustaz sudah lama maafkan kamu. Sejak hari pertama kamu di sini, Ustaz nekad untuk membantu kamu.”

Berlinangan air mata di pipi. Aku tidak sangka Ustaz memaafkan aku tanpa sebarang dendam.

“Lagipun, Allah Yang Maha Pengampun. Kalau Dia boleh memaafkan pendosa yang paling teruk sekalipun, apatah lagi kita?”

“Mulai pada hari ini, saya akan cuba untuk menjadi seorang muslim yang lebih taat kepada Tuhan.”

“Insya-Allah, Aiman. Saya sedia membantu.”

Aku sudah serik. Aku tidak mahu lagi terpisah dengan agamaku. Sudah terlalu jauh aku tersesat. Sudah tiba masanya aku kembali ke jalan yang mustakim.

-------------------------------------

“Bismillahirrahminirrahim...”

Bacaan Surah Al-Fatihah bergema, didengari seluruh Masjidil Haram. Kemerduan bacaan Imam Sheikh Sudais menusuk kalbu. Perasaan sebak menyelubungi. Tidak pernah termimpi seorang jahil seperti aku berpeluang untuk mendirikan solat di hadapan Kaabah.

Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-A’raf, ayat 153).

BIODATA PENULIS

Akif Budiman Mohamad Hasren, pelajar Maktab Rendah Tampines Meridian (TMJC), dilahirkan pada 1 Mac 2005. Beliau meminati karya Allahyarham Buya Hamka dan bercita-cita menjadi guru Bahasa Melayu sejak kecil.

Laporan berkaitan
Andaikan Kita Bertemu Di SanaApr 30, 2025 | 4:18 PM
Bunga Kebingungan Apr 30, 2025 | 4:18 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg