Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tidak sangka menang peraduan bercerita dalam bahasa Melayu

Kejayaan beri dorongan untuk terus pertingkat penggunaan bahasa ibunda
Mar 29, 2021 | 5:30 AM
MENINGKAT KEYAKINAN DIRI: Walaupun tidak biasa bertutur dalam bahasa Melayu, Almyra berkata dengan memenangi pertandingan ini, ia telah meningkatkan keyakinannya untuk terus berlatih dan bertutur dalam bahasa ibundanya. - Foto BH oleh ALPHONSUS CHERN
MENINGKAT KEYAKINAN DIRI: Walaupun tidak biasa bertutur dalam bahasa Melayu, Almyra berkata dengan memenangi pertandingan ini, ia telah meningkatkan keyakinannya untuk terus berlatih dan bertutur dalam bahasa ibundanya. - Foto BH oleh ALPHONSUS CHERN -

Seramai 29 peserta telah menyertai Peraduan Bercerita anjuran Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) akhir bulan lalu. Peserta ditugas menghasilkan video yang memaparkan kisah nilai daya bingkas. BERITA HARIAN mewawancara beberapa pemenang peraduan itu. Ikuti laporan berikut.

MEMULAKAN pendidikannya di prasekolah yang tidak menawarkan bahasa Melayu dalam kelas, Almyra Asmadi tidak biasa bertutur dalam bahasa Melayu.

Namun, setelah memulakan pengajiannya di Sekolah Rendah Perempuan Raffles tahun ini, dia bertekad untuk menjadi lebih baik ketika dia mulai mengikuti kelas bahasa Melayu di sekolah secara formal.

Menyahut cabaran untuk memperbaiki dirinya dalam bahasa itu dan meningkatkan keyakinannya, Almyra didorong oleh gurunya untuk menyertai Peraduan Bercerita Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS).

Dengan sokongan dan bantuan daripada guru serta keluarganya, Almyra berjaya meraih tempat pertama dalam peraduan tersebut.

Walaupun merupakan seorang yang agak pemalu, murid darjah satu itu berkata ia telah membina keyakinan dirinya.

"Guru bahasa Melayu saya sebenarnya telah memberitahu saya untuk menyertai pertandingan ini kerana beliau ingin saya bercakap dalam bahasa Melayu.

"Jadi apabila saya memenangi peraduan ini, saya tidak sangka," kata Almyra, yang berusia enam tahun.

Untuk menyertai pertandingan ini, peserta perlu menghantar sebuah video yang tidak melebihi lima minit.

Dalam pertandingan itu, Almyra telah memilih untuk menceritakan mengenai kisah 'Sang Gagak yang Bijak'.

Mengulas mengenai proses menyediakan video tersebut, Almyra berkongsi bahawa dia telah menghadapi beberapa cabaran.

Ini termasuk menghafal skripnya serta menyediakan prop untuk digunakan semasa rakaman video bercerita.

"Saya sebelum ini jarang bercakap dalam bahasa Melayu, jadi ketika ingin menghafal skrip, agak sukar untuk saya.

"Ada satu ketika saya agak penat, dan tidak dapat menghafalkan skrip saya dengan baik, saya rasa agak kecewa.

"Selain itu, saya juga perlu menyediakan beberapa prop yang berlainan untuk digunakan dalam cerita saya," kata Almyra sambil menambah dia telah mengambil masa dua hari untuk merakam videonya.

Meskipun menghadapi beberapa cabaran, Almyra bukan hanya menceritakan kisah si gagak yang mempunyai nilai daya bingkas tetapi juga belajar daripada cerita itu.

"Saya rasa kalau tidak mendapat bantuan daripada guru dan ibu bapa saya, saya mungkin tidak dapat melakukannya.

"Ini merupakan kali pertama saya menyertai peraduan.

"Memenangi peraduan ini memberi saya keyakinan untuk terus mempelajari bahasa ibunda saya dan menyertai peraduan-peraduan yang lain pada masa akan datang," katanya.

* Versi awal artikel ini mengeja nama Almyra Asmadi sebagai Alymra Asmadi. Kami mohon maaf atas kesilapan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg