Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Tiga Warkah

Nov 20, 2022 | 05:30 AM



PETANG Ahad yang mendung sejak pagi lagi ini, dalam diam ketika sunyi berdekam merayap ke seluruh rumah tiga bilik, puncaknya rimas memengap sambil mengunyah payau pangkal rasa, tidak pula diam.



Saya diriuhkan persoalan yang diajukan sebentar tadi menerusi panggilan telefon bimbit oleh seorang teman rapat yang tidak saya duga sama sekali.



Terasa pelik mengusik hati. Manakan tidak, kerana dalam banyak-banyak persoalan yang boleh dikemukakan, persoalan ini pula yang timbul ke permukaan sungai perasaan yang tercuit.



"Sahabat, kalau kamu ada kesempatan menulis tiga pucuk warkah buat sesiapa saja, sama ada yang sudah pergi atau masih menghirup udara di bumi Allah ini, kepada siapakah warkah itu ingin benar kamu tujukan?"



Saya benar-benar terkilan pula. Terasa kesal juga kerana mengapakah sampai tidak ada masa untuk memikirkannya sebelum ini? Soalan yang satu-satu ini sepatutnya bersarang di hati. Yang wajar menuntut semacam jawapan yang bernas yang tidak boleh diketepikan begitu saja.



Lebih-lebih lagi yang amat dekat di mata hati dan menggelinjang seluruh urat nadi dan jiwa raga sebagai manusia yang peka, perasa dan tahu menghargai anugerah-Nya sebelum terpadam lentera usia di bumi-Nya ini.



Ya, sesuatu yang pasti sebelum diri menjadi sebati dengan sekepal tanah suatu hari nanti. Tahukah saudara siapakah yang pertama yang akan saya tujukan? Apa? Orang rumah? Tidak tepat. Jauh sekali, kerana saya belum berumah tangga walaupun sudah mencecah usia 33 tahun. Jadi orang rumah atau isteri tidak bangkit.



Cuba lagi? Apa? Kekasih? Pun jauh meleset. Masakan, kerana saya sudah tidak ada wanita idaman dalam hati saya hingga ini, setelah cinta saya patah tahun sudah. Ah, ceritanya panjang. Kalau dikenang merana diri. Usah diungkit kisah lama. Saya ingin melupakannya.



Bunga tak sekuntum, lagipun tak lama layu. Kerana seorang lelaki berada dan berpangkat dan berdarjat, hati saya tersayat. Siapa kata wang tak boleh cinta? Marlina telah membuktikannya kepada saya. Jufri lebih-lebih lagi. Tapi saya tak akan titiskan air mata, kerana air mata sebenarnya adalah hiasan orang yang lemah. Lemah sifatnya bukanlah saya.



Baiklah, tanpa membuang masa, orang pertama yang akan saya tujukan adalah arwah nenek saya! Saya akan menulis begini: "Buat nenda yang amat cucunda kasihi. Terlebih dahulu, cucunda meminta maaf kerana sudah lama cucunda tidak dapat melayat pusara nenda. Dalam tempoh panjang pandemik Covid-19 ini bukan satu alasan yang baik untuk tidak berbuat sedemikian.



Begitu juga, kesibukan meniti hidup sehari-hari juga bukan satu dalil yang wajar buat seorang insan seperti nenda yang jasa nenda begitu mahal untuk dijual dan terlalu suci untuk dibeli.



Tapi ini tidak bermakna cucunda sudah melupakan nenda sama sekali. Sesekali tidak. Jasa nenda amat sarat menghambat hati. Nenda adalah 'ibu' yang tak pernah cucunda tahu kerana arwah bonda telah kembali ke rahmatullah beberapa bulan setelah melahirkan cucunda.



Dan 'bapa' yang cucunda tak pernah kenal erti kemesraan kerana seorang perempuan, kasih sayangnya terhadap nenda sebagai ibu mertuanya habis. Kasihnya terhadap cucunda sebagai anak kandung lelaki tunggal juga turut habis ketika cucunda berusia lima tahun.



Pada suatu hari, 28 tahun lalu, bapa keluar rumah membelah malam buta dan tak pulang-pulang. Tergamak melihat hati nenda dan cucunda walang tidak kepalang. Budi pekat nenda pula bagaikan susu lemak lazat penuh khaziat yang menambat jiwa yang tak mungkin mudah terbebat. Yang terbebat adalah bapa yang sampai hati tidak mengendahkan dua orang anak kepada perempuan bercerai hidup pilihannya.



Anak-anak itu pernah berkata penuh sinis, 'Bagi pak cik yang telah ambil isteri ayah kami yang tak bertanggungjawab taklah terasa sangat, tapi pak cik telah ambil ibu kami. Ya, ibu kami yang amat kami kasihi dan tak pernah mengetepikan kami. Tapi sejak kenal pak cik, semuanya ranap!' Nenda, setiap kali solat, cucunda tetap berdoa agar roh nenda terus aman dan tenang.



Ya, bersama arwah bonda cucunda yang malang kerana diserang penyakit barah payu dara yang garang. Sebenarya usia 31 tahunnya (3 tahun lebih muda daripada bapa) ketika itu jelas belum cukup ranum, tapi Tuhan lebih masak akan ciptaan-Nya sendiri.



Cucunda tak pernah lupa akan teguran nenda tiga tahun yang lalu (ketika nenda berusia 72 tahun) sebelum nenda menghembuskan nafas terakhir kerana uzur, "Cu, nenek ingin kamu terus menjadi seperti pokok yang berakar kukuh. Kerana dengan berakar kukuh sajalah, angin betapa amat kencang sekalipun tak akan menumbangkan pokok iman kamu''.



Dan amanat lentera nenda yang menjadi pedoman cucunda yang tak akan mudah padam selagi hayat di kandung badan ialah tentang rumah yang mesti ada hati. Ketiadaannya boleh mengeruhkan sungai suasana sebuah kehidupan.



Teguran keramat nenda, yang setiap satu kalimah, mengilhamkan cucunda menyusunnya baris demi baris, rangkap demi rangkap hingga tercipta puisi ini:



'RUMAH YANG TIADA HATI'



Pernahkah kau merasakan

bila sampai di muka pintu rumahmu

kau seperti disuntik keasingan

salammu tidak disambut

walaupun kerusi meja yang amat

akrab denganmu

dan bila pintu terhempas di belakangmu

angin turut melepaskan tumbukan keras

pada jendela kaca yang tak bermaya

bagaikan mengejek yang tak sudah

dalam diam yang tak diam mengusik

atma

membuat seluruh urat nadi

terbebat jenuh

dan bila kau tinggalkannya semula

angin itu tak henti-henti menyakat sinis

kawan, tahulah kau

itu tandanya rumahmu tiada hati.



Rumah yang tiada hati

segala-galanya bagaikan mati

hanya dihidupkan sebuah kesepian

berulit kesayuan yang berpanjangan.



Rumah yang tiada hati

nyata tidak bererti

walaupun berbilik-bilik dan tercantik

lagi termahal di dunia ini.



Nenda, pada tahap ini ada semacam kerinduan mengepung dalam hati cucunda. Terasa kemarau kasih di atma mula dibasahi oleh titisan hujan teguran nenda. Ya, langit suram tak lagi geruh. Hingga bertemu lagi di lain warkah, nenda tersayang, insya-Allah."



Suka saya tekankan, saya ingin terus menyanyi seperti burung yang berkicau riang, bersyukur mempunyai seorang nenek yang terbaik di dunia ini. Tidak perlu menghiraukan siapa yang mendengarnya atau apa-apa yang mereka sedang fikirkan.



Yang paling penting, hati saya pasti selalu berbisik halus mersik penuh syahdu, nenek saya memang tiada galang gantinya.



Warkah kedua, adalah buat kucing saya. Kucing belaan yang juga sudah lama pergi seperti nenek saya, selang beberapa hari setelah nenek saya kembali ke negeri-Nya yang satu itu.



Kucing saya bernama Suria tidak kurang mencetuskan semacam lebat sunyi dan pekat sepi dalam rumah tiga bilik ini. Sepanjang waktu, saya diriuhkan sarat renungan padat kenangan. Manakan tidak, kerana Suria menebalkan erti sebenar sebuah ikatan. Ikatan suci kasih sayang yang tidak kepalang.



"Salam Suria yang jauh di mata, tapi tetap teramat dekat di hati. Kamu ditemui nenek dalam keadaan yang amat comot, kurus dan tak bermaya serta tak terurus mengemis kasih sayang di tepi terusan yang airnya sentiasa mengalir keruh, seperti nenek tiada gantinya.



Saya tak dapat melupakan saat ketika nenek kembali ke negeri-Nya, suatu hari petang Jumaat yang mendung dan basah kerana hujan menikami bumi sepanjang pagi.



Pemergian nenek seperti langit yang runtuh menimpa bukan sahaja saya seorang tapi juga kamu. Kamu disuntik kehangatan rindu yang maha hebat, benar-benar kehilangan seorang insan mulia sampai kamu hilang selera makan dan tak tidur lena.



Kamu yang sentiasa bertenaga, mula mengiau racau, perlahan-lahan tidak lagi kekejangan pada kakimu. Semuanya semakin mengendur. Gerak badanmu semakin lemah. Matamu basah dan berair, perlahan-lahan layu dan akhirnya tertutup. Air liurmu yang berlenja membasahi perbaringanmu.



Denyut nafasmu semakin lama semakin perlahan juga. Kamu kaku sudahnya. Ya, pada hari ketiga di hujung petang yang redup, kamu benar-benar sudah pergi. Pergimu tak kurang sepilu perginya nenek saya sebelumnya.



Saya tak dapat melupakan ketika kamu tidur di atas kain sarung saya dan kadang-kadang nenek. Tak sampai hati kami mengalihkannya. Biarlah kamu tidur tanpa sebarang gangguan.



Yang paling tak dapat saya lupakan ialah bila tiba waktu solat subuh. Kamu akan pasti kejutkan saya dan nenek untuk solat dengan menguiskan kakimu ke kaki kami berdua yang berselimut tebal dalam bilik kami, bermula dengan nenek.



Ya, kamu akan mengiau-ngiau tanpa jenuh, sampailah saya dan nenek melakukannya kerja murni itu.



Pada bulan Ramadan, saban tahun, kamu akan setia berjaga di sisi saya dan nenek yang bersahur. Memandangkan semacam 'jasa' kamu, nenek mengambil peluang untuk mengingatkan saya, dengan berkata, "Cu, kamu lihat Suria ini. Kucing pun tahu seperti mengingatkan kita, 'Jangan leka dengan urusan muamalah sehingga lupa untuk bersolat.'' Masya-Allah.



Suria, saya tak tahu jika kamu masih dapat mendengar teguran nenek yang menyambung berkata, "Sifat lalai adalah sifat yang hampir sama dengan keras hati.



"Hati yang lalai ialah hati yang tidak sedar atau tidak peduli segala nasihat dan petunjuk Allah serta larangannya atau tidak mengendahkan sama sekali nasihat itu, kerana hati sudah dibelenggu sifat tamak, haloba, rakus dan lupa kehidupan di akhirat kerana terlalu mementingkan urusan keduniaan dan kepuasan nafsu. Seseorang itu dikira lalai bila tak meningati mati. Solat dapat mengajar kita supaya jangan lalai akan perkara-perkara hasanah du dunia.'



Suria, gelagat kamu yang mulus bagaikan terus mengingatkan saya bahawa solat adalah tiang agama. Sesiapa yang mendirikannya solat bermakna mereka menegakkan agama.



Kerja murni ini dapat mententeramkan jiwa seseorang. Solat menyediakan ruang luas untuk seseorang hamba-Nya meluahkan kedukaan, masalah dan mengadu penderitaan hidup kepada Allah. Melalui solat juga hubungan seorang hamba dan Allah dapat dijalin. Menunaikan solat tak membuang waktu.



Suria, saya anggapkan jika sesiapa saja yang amat kita sayangi atau cintai, seperti sebuah buku pinjaman dari rak-rak di kutubkhanah kehidupan. Apabila sampai masanya harus dipulangkan kembali. Benar bukan?



Kasih sayang saya terhadap kamu bak matahari. Ia tak akan hilang panasnya. Panasnya terasa hingga kini, walaupun kamu tiada lagi untuk mengingatkan aku untuk bersolat setiap kali azan berkumandang, lebih-leih lagi di subuh yang bening. Bagaimana dapat saya lupakan segala yang mengelus dan mengilhamkan?



Terima kasih, Suria. Terima kasih.



Dan warkah ketiga, tentulah kepada yang amat wajar, tiada lain tapi yang benar-benar wajar - diri saya sendiri yang tak kurang teramat disayangi. Manakan tidak, bagaimana kita boleh mencintai orang lain, juga makhluk lain kalau tidak bermula daripada diri sendiri.



Salam buat diri sendiri.



Usah kamu menzalimi diri sekalipun dalam mimpi. Menzalimi samalah seperti mengkhianati diri dan pengkhianatan adalah sesuatu sifat yang menjengkelkan hati. Tanda hati busuk.



Teruskan hidup di jalan godaan seperti yang kamu hasilkan sebuah lagi puisi yang berbunyi:



'TERUSKAN HIDUP DI JALAN GODAAN'



Di tengah suasana penuh getaran

menggugah lebat sunyi pekat sepi

diriuhkan sarat muhasabah padat pasrah

menggugah siang tenat malam melarat

disepikan cabaran menghambat

teruskan juga perjalanan ini,

biarkan gunung bercakap

sekalipun dalam gelap

biarkan sungai mengalir

sekalipun berarus khuatir

seperti batu-batu di jalanan

masing-masing ada bahasa tersendiri

meluahkan keteguhan jati diri

yang banyak boleh kita pelajari

betapa dalam diam dapat dirasakan

bagaimana perit dijarumi kepedihan

betapa dalam tak diam dapat disaksikan

bagaimana manis dielus kesyukuran

rajin mencari jalan pulang

pulang sebelum terlambat menambat

rajin mencari sinar benar

mentari yang tersembunyi di balik awan

jika terbebat sesekali usah gementar

kerana kita telah diajar

oleh orang-orang yang terdahulu

untuk mengotai sebuah ikrar

dan memelihara kejap segenggam sabar.



Jika esok tidak lagi dapat melihat

mentari tak mengapa, kerana hari ini

ada juga sinar yang mengelus hati

Dialah mentari hidup ini

yang tidak membiarkan kita sampai

mabuk

oleh suatu warna pesona

penuh kekeliruan dan kepalsuan

yang bagaikan menyihir tiada

kesudahan.



Teruskan perjalanan

di jalan godaan

sambil menangkap sebuah kesedaran

dengan warna rama-rama kasih sayang

kemanusiaan pun bersayap syahdu,

dan ketika kehausan memuncak

terkuit tekak

padatkan air dalam kolam keinsafan

tuangkan ke dalam sebiji cangkir cinta

agar dapat dinikmati tanpa keraguan

sentiasa basah dipercik keimanan

dalam sebuah kesementaraan.



Diri, ingatlah sentiasa sampai ke hujung usiamu nanti. Hidup mesti ada campuran keras dan lembut. Kalau keras sama keras, pasti pecah. Lihat saja sebiji telur, kalau jatuh ke atas batu, pecah. Kalau jatuh ke atas getah, mungkin tidak.



Begitu juga dengan suami isteri (jika kamu ditakdirkan mendapat jodoh sudahnya), kalau suami pemarah, isteri tak boleh sama-sama panas baran. Akhirnya, silap hari boleh berlagu pilu sebuah perpisahan. Jadi dalam hidup, mesti ada keras dan lembut. Baru aman damai.



Begitu juga dengan tulang, kuat bukan? Tapi otot tak pula. Namun, kedua-duanya, memerlukan antara satu dengan lain. Kereta pun begitu juga. Di luar, bentuk kereta logamnya keras dan kuat. Tapi tayar tidak pula - 'lembut' kerana terisi angin yang dipam.



Begitu juga dengan kapal terbang. Cuba bayangkan, kalau tayar keras, mana mungkin kapal terbang itu boleh mendarat dengan selamat! Sama juga dengan kereta tadi, mana mungkin boleh bergerak dengan tayar keras macam besi 'tubuh' kereta. Kamu tentu tak ingin menjadi seperti kereta kebal. Semuanya keras, sentiasa bersedia penuh taat dan angkuh serta amat gila untuk berperang saja.



Azizi, terus kekal sihat dan selamat dalam tempoh pandemik Covid-19 yang dahsyat ini, dan ingat amanat nenek penuh keramat dan juga gelagat kucingmu yang tak pernah terbebat hingga ke hujung usianya."



Saudara, benar bukan setiap warkah saya dapat disimpulkan betapa segala yang baik dan buruk perbuatan, juga sikap kita sebagai manusia, pucuk pangkal adalah pangkal rasa, ia itu HATI! Ya, jika hendak berbuat sesuatu yang hasanah, pangkal rasa kita pasti terelus.



Dan yang buruk pula, seperti kezaliman, pengkhianatan, pangkal rasa kita pasti tergigit. Dan saya tak mahu pangkal rasa hati saya tergigit bisa! Tidak sesekali.



Nenek dan Suria mengajar saya akan makna sebuah ikatan yang amat berkait rapat dengan cinta. Biasanya orang mencari seseorang untuk buat diri sendiri bahagia. Silap hari, ini akan buat diri kita kecewa. Cinta adalah untuk buat orang lain gembira. Dapat memberi manfaat kepada orang lain terlebih dahulu. Barulah cinta sejati akan muncul dalam hidup.



Saya ingin menangkap kemanusiaan dengan warna kasih sayang kerana perbuatan murni ini pasti bersayap syahdu. Yang dapat dipadatkan dengan kolam keinsanan ke dalam cangkir cinta agar dapat dinikmati tanpa keraguan basah dipercik rasa kemesraan.



Yang paling penting, apa yang saya lakukan, mudah-mudahan jangan sampai mabuk oleh susuk tubuh jelita apa saja nikmat dunia warna pesona yang amat fana.



Sekali tersasar pasti akan menjadikan saya seorang yang ujub dan sombong serta lupa Ilahi. Saya rasa saudara tak mahu begitu jadinya juga ke atas diri saudara, bukan?



Saya bagaikan sudah menjawab soalan tunggal sahabat saya, Murad, tentang tiga warkah. Saya juga ingin kemukakan soalan yang sama.



Bagaimana dengan saudara sendiri? Tiga warkah saudara untuk siapa? Terasa seperti giliran saya pula yang sudah bersedia menjadi pendengar yang setia seperti saudara yang amat sudi meluangkan masa bersama saya sebentar tadi.




CERPEN BIODATA PENULIS 



PETER AUGUSTINE GOH ialah nama pena Iskandar Goh.



Bidang penulisannya termasuk cerpen, novel dewasa, novel kanak-kanak, puisi, drama televisyen dan radio serta ulasan sastera.



Pesara polis Singapura ini kini seorang pembimbing penulisan kreatif untuk sekolah rendah dan menengah serta maktab rendah dan beliau juga penterjemah bebas.



Buku-buku terbarunya ialah sebuah kumpulan cerpen dan sebuah kumpulan puisi (sajak) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >