Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERTOT

Toska

Certot adalah ringkasan kepada cerita kontot. Akronim ini terdapat dalam buku tulisan 'Teori Penulisan Kreatif' oleh bahasawan Malaysia, Dr Othman Puteh, tetapi sejauh ini masih tidak diwartakan di dalam Kamus Dewan. Berbeza dengan cerpen, iaitu akronim bagi cerita pendek yang jumlah perkataannya mesti melebihi 500 patah perkataan, certot haruslah lebih pendek daripada itu. Strukturnya mesti kemas dan sempurna. Certot merujuk kepada cerita kontot yang jumlah perkataannya kurang daripada 500 patah perkataan. Kini terdapat sebilangan penulis muda yang menunjukkan kecenderungan menghasilkan certot. Berikut kita ikuti dua lagi certot.
Dec 04, 2022 | 05:30 AM



GELOMBANG biru menindih ladang hijau di perkampungan Bistari setiap hujung tahun.



Percampuran warna itu menghasilkan pemandangan biru pirus yang luar biasa indahnya - menarik yang jauh dan dekat untuk berkumpul dan berkhemah untuk menyaksikan fenomena itu selama mana ia berlangsung.



Tetapi keindahan itu rapuh bak daun kering yang meluruh kerana gelombang biru itu hanya menyinggah sementara waktu selagi kehijauan subur itu masih wujud.



Apabila semua yang menghijau habis dimamah, gelombang biru itu berpindah ke tempat lain, meninggalkan hampas dan harapan para peladang yang terhempas.



Puas penghulu dan penduduk Kampung Bistari mencari akal dan jalan keluar yang berhemah buat kebaikan semua.



Peladang buah berry semua menggigit jari apabila buah yang sedang meranum di ladang mengundang ribuan kawanan burung grandala menyinggah untuk berpesta.



Apabila ada yang bersuara menghapuskan burung-burung tersebut demi menyelamatkan tanaman mereka, ada pula yang membantah lantang membela nasib burung tersebut kerana mereka bukan perosak biasa.



Lagipun, pengamat burung yang berkumpul setahun sekali di perkampungan Bistari selama dua minggu itu akan pasti memprotes besar-besaran jika burung-burung grandala itu dihapuskan.



Tetapi bagaimana pula dengan sumber rezeki para peladang di Kampung Bistari?



"Beginilah Tok Penghulu," ada yang menyarankan - "Kita tukar sahaja jenis tanaman kita agar burung-burung itu tidak kembali ke sini."



"Tetapi kita tidak pasti ia akan menjamin sedemikian! Lagi pun menukar tanaman bukan perkara mudah. Kita perlu belajar dari mula seperti bayi yang baru lahir.



"Tanaman warisan kita telah menjadikan kita pakar dalam penanaman berry di rantau ini!" suara keras seorang lain membangkang.



Ada suara-suara yang turut mengiya dan menidakkan. Apa yang pasti, semua penduduk kampung hairan mengapa burung-burung biru pekat itu tiba-tiba muncul selama beberapa tahun kebelakangan ini untuk merosakkan tanaman mereka walhal perkara itu tidak pernah terjadi sebelumnya.



"Ini pasti sebab perubahan iklim yang sedang berlaku! Burung-burung ini pasti sudah kehilangan punca makanan di suatu kawasan tertentu sebab iklim yang tidak menentu dan ladang kita sekarang menjadi gantinya." Seorang lagi mencelah.



Pelbagai andaian dan cara penyelesaian diketengahkan di mesyuarat itu tetapi jalan keluar bistari masih tetap belum ditemukan. Ramai yang mengeluh.



Satu suara halus tiba-tiba ke depan mencuri perhatian yang ada.



Berdehem sedikit sebelum bermula, si halus menyarankan, "Apa kata kalau kita mengambil bayaran dari mereka yang datang untuk melihat kejadian ini?



"Kita boleh menjana pendapatan penduduk jika kita semua bekerjasama mengambil peluang menjadikan fenomena ini sebagai satu tarikan pengunjung ke kampung kita.



"Kita boleh adakan khidmat bayaran 'homestay' buat yang berkhemah di kampung kita. Kita juga boleh menjual berbagai cenderamata yang berkaitan dengan fenomena ini.



"Pendeknya, pendapatan yang hilang daripada hasil ladang boleh kita ganti dengan meraih pendapatan daripada lawatan yang dibuat orang luar ke tempat kita."



Sepi menyinggah sejenak dalam dewan mesyuarat seakan semua sedang menghadam buah fikiran yang baru dihidangkan. Suku jam kemudian, dewan mula berdengung dan ramai mengangguk-angguk dengan cadangan yang diberi.



Semenjak hari itu para penduduk memagari kawasan kampung dan ladang mereka dan mengenakan bayaran untuk pelawat yang berkunjung.



Mereka kini berladang bukan untuk menuai hasil ladang tetapi untuk memberi makan burung perosak grandala yang menarik pelawat dari jauh dan dekat ke Kampung Bistari.




BIODATA PENULIS



TITI MURNI MONIR seorang guru.



Beliau menyertai pertandingan Mencari Kristal 2016 dan 2019.



Beberapa cerpen lainnya pernah diterbitkan di Berita Harian/Berita Minggu, seperti 'Sentuhan Almyra', 'Warkah Untuk Puteri' dan 'Mentari Malam'.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >