Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Tubuh Syairpura mahu kongsi pelbagai irama syair Nusantara

Sep 23, 2019 | 05:30 AM



SEBAIK sahaja tamat pertandingan Konsert Syair Alam Melayu Nusantara pada 2016, Afi Hanafi mendapat ilham melakukan sesuatu demi kelangsungan syair di Singapura.



Mewakili Singapura dalam acara tersebut, beliau hanya berbekalkan satu irama syair yang menjadi kebiasaan buatnya.



Setelah menjadi perwakilan tersebut, Afi Hanafi, atau nama sebenarnya Hanafi Idrus, terdedah dengan pelbagai jenis irama syair yang wujud di pelosok Nusantara.



Lalu, beliau mula terdetik mahu berkongsi tentang pengetahuan itu dengan menubuhkan sebuah kumpulan syair yang dikenali sebagai 'Syairpura'.



Dalam masa enam bulan, beliau merencana pelbagai kegiatan dan rancangan demi memartabatkan kegiatan Syairpura.



Namun, kekurangan pelapis bagi generasi baru juga tidak dapat dielakkan dalam kesenian syair.



"Saya merupakan penyanyi tradisional. Kalau menyanyi, kita akan dapat lihat ramai penyanyi yang ada membuat persembahan.



"Tetapi, jumlah pendendang syair tidak begitu ramai seperti penyanyi lagu tradisional.



"Ia bukan sesuatu yang tidak bagus melihat orang yang sama, tetapi kami juga berhasrat dan ingin melihat muka baru untuk diketengahkan.



"Kami tidak menyalahkan keadaan. Mungkin, saya perlu berusaha dengan lebih gigih bagi mengajak orang ramai, barulah saya akan mendapat bakat baru," ujarnya.



Menyedari tentang kepentingan bakat baru, Afi Hanafi cuba menyebarkan puisi tradisional ini ke peringkat sekolah.



"Sejauh ini, saya tidak mengadakan acara langsung untuk menarik minat pelapis baru, tetapi saya tumpukan pada usaha menyebarkannya di sekolah-sekolah.



"MOE (Kementerian Pendidikan) banyak menyokong. Guru-guru juga ingin belajar tentang syair ini, kemudian mereka akan ajarkan kepada murid mereka.



"Di sekolah yang berminat memanggil kami, di situlah kami akan tanamkan budaya syair kepada pelajar.



"Saya juga sering mengendalikan bengkel seni dan budaya buat pelajar di sekolah tertentu.



"Mungkin, dalam masa tiga empat tahun, mereka akan ke depan. Dalam perancangan, saya juga berminat mengadakan pertandingan buat mereka.



"Apabila tiba masanya nanti, kita akan lihat anak di sekolah mendendangkan pelbagai jenis irama syair. Maka, kesenian ini akan lebih berwarna-warni," katanya penuh teruja.



Afi Hanafi bergabung tenaga dengan rakannya untuk bekerjasama dengan penulis yang boleh mengarang syair, dan bergerak bukan hanya memperkenalkan irama baru, malah ingin mengetengahkan penulis dengan karya syair mereka.



Beliau dan Anis Qurratu'aini Azman menguruskannya dari sudut persembahan dan bertanggungjawab mencari pendendang syair.



Ada nama seperti Cik Khaziah Yem, Cik Siti Zahrah Mahmod, Megat Muhammad Firdaus dan ramai lagi dalam Syairpura.



"Syairpura sangat berterima kasih kepada NLB (Lembaga Perpustakaan Negara) atas sokongannya yang sentiasa memberikan ruang untuk kami mempersembahkan syair.



"Cikgu Asnida Daud, Cikgu Abdul Manaf, juga antara individu yang kuat menyokong Syairpura," terangnya.



Walaupun sudah 16 tahun melibatkan diri dalam bidang kesenian, Afi Hanafi tidak terlepas daripada mengharungi cabaran dalam kegiatan syair.



Beliau memahami tentang kekurangan penerimaan masyarakat dalam puisi tradisional.



"Masyarakat tidak begitu mengetahui secara mendalam tentang kerja kebudayaan. Ada yang beranggapan syair itu seperti Tok Selampit bercerita.



"Mereka tidak begitu yakin dengan kesenian dan kebudayaan yang penuh dengan irama dan banyak benda yang boleh dipelajari melalui kegiatan ini.



"Namun, kita hanya perlu menjawab dengan tenang bagi meyakinkan mereka tentang kepentingan pengekalan budaya ini di Singapura.



"Kadang-kadang kita kena tebalkan muka juga untuk menjawab soalan masyarakat," jelasnya.



Biduan Syair bagi Festival Syair Internasional 2018 itu turut menyatakan hasratnya melihat masyarakat Melayu Singapura mampu menggunakan kisah-kisah sejarah Singapura dalam syair, seiring dengan nama 'Syairpura'.



"Saya ingin mereka melihat perkaitan syair dengan pelbagai khazanah, budaya, bahasa dan nilai kemelayuan secara lebih meluas.



"Saya berharap agar kesenian syair ini akan lebih berwarna-warni dan ia akan menyumbang kepada perkembangan penulisan persuratan Melayu Singapura," ujar Afi Hanafi.




Saya ingin mereka melihat perkaitan syair dengan pelbagai khazanah, budaya, bahasa dan nilai kemelayuan secara lebih meluas. Saya berharap agar kesenian syair ini akan lebih berwarna-warni dan ia akan menyumbang kepada perkembangan penulisan persuratan Melayu Singapura.
- Afi Hanafi. "




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >