Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Variasi kumpulan seni pertama terima $22,222 dari Yayasan Salleh Marican

Dec 05, 2022 | 05:30 AM



VARIASI Performing Arts menjadi kumpulan seni pertama menerima sumbangan daripada Yayasan Salleh Marican sejak yayasan itu ditubuhkan pada Jun lalu.



Kumpulan itu menerima sumbangan sebanyak $22,222 baru-baru ini untuk menyokong program seni dan budaya buat masyarakat, khususnya untuk belia yang berisiko, keluarga berpendapatan rendah, serta belia dan pelajar.



Pengasas dan Presiden Yayasan Salleh Marican, Encik Salleh Marican, berkata usaha Variasi mewujudkan wadah bagi artis lain berkarya, dan mendekati masyarakat menerusi seni dan budaya itu wajar disokong.



"Dahulu, saya fikir seni dan budaya tidak penting. Fikiran saya dahulu, kalau nak tolong, tolong orang yang betul-betul susah.



"Tetapi seni ialah sebahagian daripada budaya kita, dan ia penting sekali. Ia menjadikan kita lebih bertamadun. Budaya juga membantu masyarakat menjadi lebih teratur. Melalui seni dan budaya, anda tahu siapa diri anda, sejarah anda," ujar Encik Salleh, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Second Chance Properties.



Beliau turut menjelaskan bahawa usaha menyokong pembangunan kumpulan seni dan budaya kecil di Singapura merupakan antara lima matlamat yayasannya.



Bidang tumpuan lain termasuk menyokong pendidikan kanak-kanak daripada keluarga kurang bernasib baik, menyokong pembangunan masjid dan sekolah agama, meningkatkan mutu kehidupan masyarakat terabai, serta membantu orang miskin.



Variasi menyampaikan penghargaan mereka kepada Encik Salleh dalam satu pertemuan di pejabatnya di Tanjong Katong Complex baru-baru ini.



Presiden dan Pengarah Artistik Variasi, Raja Hamzah Raja Zulkifli, berkata pihaknya teruja mendapat sumbangan dana daripada yayasan yang baru ditubuhkan itu.



"Ini menunjukkan ada juga ahli korporat dalam masyarakat kita prihatin dan ambil peduli tentang sektor seni dan budaya.



"Dengan adanya dana daripada sektor korporat, ia dapat membantu kami menstabilkan kedudukan kewangan. Apatah lagi dengan inflasi dan kos meningkat yang turut menjejas sektor ini," ujarnya.



Kata Raja Hamzah lagi, variasi akan menggunakan wang itu untuk perbelanjaan program seni sedia ada bagi membangun kemahiran bakat belia dalam seni persembahan, Projek Eksplorasi 'Ruang' dan kos operasi pusat Variasi.



Kumpulan itu turut giat menggerakkan kerja masyarakat melibatkan kumpulan khusus seperti belia berisiko, kanak-kanak dan keluarga.



Raja Hamzah akur bukan mudah bagi sebuah pertubuhan seni dan budaya mendapatkan dana yang tetap untuk menjalankan program atau membiayai kos operasi.



Seperti syarikat atau kumpulan yang lain, Variasi membuat persiapan awal seperti pelan kerja bagi tahun mendatang termasuk perancangan belanjawan.



"Kami harus padankan program atau projek kami dengan dana yang disediakan. Tidak semua dana sesuai atau senang dimohon.



"Ia mengambil proses yang panjang untuk diluluskan dan juga menerima wang tersebut. Itu yang kadangkala kelewatan pembayaran berlaku dengan ramai tidak faham atau mereka menganggap kumpulan seni ini pandang ringan dalam hal tersebut," ujar Raja Hamzah.



Jumlah sumbangan $22,222 itu juga bermakna kepada Variasi yang bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-22 pada Februari tahun depan. Ditubuhkan pada 2001, Variasi merupakan pertubuhan seni dan budaya yang menyediakan wadah untuk belia bergiat aktif dan menghasilkan karya melalui program perintis.



Berfungsi sebagai sebuah syarikat berhad, Variasi akan meneruskan kerja seni seperti yang dilakukan selama ini, dengan tumpuan kepada model 'inklusif' di bawah tiga teras - memperkasa belia, mempertingkat kemahiran dan mendekati masyarakat.



Tahun depan, Variasi akan menerajui dua program utama iaitu Projek Jalinan - Mekar Mentari, satu kempen untuk menyokong pesakit kesihatan mental, dari Februari hingga Mei depan; serta festival pembelajaran seni Akar pada September.



"Kami berharap dalam beberapa tahun akan datang Variasi akan menjadi sebuah syarikat yang menjadi jambatan untuk belia mencapai impian dan kecemerlangan mereka dalam bidang seni, serta menyokong dan membantu mereka dari segi dana program, subsidi latihan serta ruang untuk berkarya," ujar Raja Hamzah.




"... seni ialah sebahagian daripada budaya kita, dan ia penting sekali. Ia menjadikan kita lebih bertamadun. Budaya juga membantu masyarakat menjadi lebih teratur. Melalui seni dan budaya, anda tahu siapa diri anda, sejarah anda."
- Pengasas dan Presiden Yayasan Salleh Marican, Encik Salleh Marican, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Second Chance Properties.



"Dengan adanya dana daripada sektor korporat, ia dapat membantu kami menstabilkan kedudukan kewangan. Apatah lagi dengan inflasi dan kos meningkat yang turut menjejas sektor ini."
- Presiden dan Pengarah Artistik Variasi, Raja Hamzah Raja Zulkifli.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >