Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

27 struktur warisan Turf City, dua kawasan hutan di sekitar dikekal

May 23, 2024 | 6:53 PM
Gambaran artis dua astaka besar dan ruang terbuka yang akan diterapkan dalam projek pembangunan kawasan kediaman di tapak Turf City di Bukit Timah.
Gambaran artis dua astaka besar dan ruang terbuka yang akan diterapkan dalam projek pembangunan kawasan kediaman di tapak Turf City di Bukit Timah. - Foto URA

Pihak berkuasa sedang mengkaji untuk mengekalkan dan menggunakan semula 27 bangunan dan struktur yang membentuk sebahagian daripada tapak Turf City di Bukit Timah, untuk disertakan dalam kawasan kediaman yang akan dibangunkan di tapak itu.

Dua kawasan hutan berhampiran bekas padang lumba kuda itu – Bukit Tinggi dan Hutan Eng Neo Avenue – juga akan dikekalkan.

Pada 23 Mei, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengumumkan di majlis pelancaran pameran yang memaparkan rancangan untuk estet Turf City Bukit Timah bahawa dua kajian – penilaian kesan warisan (HIA) dan penilaian kesan alam sekitar (EIA) – telah selesai dijalankan.

Kajian itu dilakukan supaya tapak itu boleh dibangunkan semula secara sensitif, katanya.

HIA mendapati beberapa bangunan dan struktur mempunyai kepentingan warisan, termasuk astaka besar atau grandstand Utara dan Selatan, litar lumba, Rumah Kelab Pelana Bukit Timah dan kandang kuda.

Ini dinilai berdasarkan gabungan nilai sejarah, sosial, estetik, seni bina dan kontekstual, kata Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Agensi itu menambah bahawa secara amnya, kepentingan warisan tapak itu dikaitkan dengan padang lumba kuda – yang kedua di Singapura – yang berfungsi dari 1933 hingga 1999, sehingga Kelab Lumba Kuda Singapura berpindah ke Kranji.

Selain mengkaji pengekalan bangunan, pihak berkuasa juga akan membangunkan ruang terbuka baru di hadapan astaka yang akan “memberi penghormatan kepada warisan sukan di tapak itu”, kata URA.

Ruang baru ini, dengan bentuk bujur yang merujuk kepada geometri litar lumba di tapak lama, akan menjadi kira-kira dua kali ganda saiz Padang, lapor The Straits Times.

Warisan bekas tapak Kelab Lumba Kuda juga akan didokumenkan, dengan pihak berkuasa meneroka cara untuk mendedahkan lebih ramai orang kepada sejarahnya.

Bagi EIA, ia mendapati 177 spesies tumbuhan dan 25 spesies haiwan mempunyai kepentingan pemuliharaan di kawasan itu, kebanyakannya di Hutan Eng Neo Avenue dan Bukit Tinggi.

Spesies yang dikesan termasuk burung baram atau burung barau-barau, spesies terancam di dunia dan tenggiling Sunda.

URA berkata bahawa selaras dengan saranan EIA, pihak berkuasa akan “mengekalkan sebahagian besar Hutan Eng Neo Avenue dan Bukit Tinggi, dan mengkaji bagaimana ia boleh disepadukan ke dalam rangkaian taman masa depan kita”.

Ia menambah bahawa sambungan taman baru yang dipenuhi “tanaman subur” selebar 100 meter akan diwujudkan antara Hutan Eng Neo Avenue dengan Bukit Tinggi untuk menghubungkan kedua-dua habitat dan memudahkan pergerakan spesies antara dua kelompok hutan itu.

Encik Lee berkata secara keseluruhannya, kira-kira satu pertiga daripada estet Turf City akan diketepikan untuk kawasan hijau seperti taman, kawasan lapang dan kehijauan semula jadi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg