Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

600kg tembakau tanpa asap dirampas di Little India, 27 orang disiasat

Jul 11, 2024 | 3:28 PM
Tembakau tanpa asap yang dirampas dalam operasi di Little India adalah tembakau yang boleh digunakan tanpa dibakar, seperti dihidu, dikunyah dan diselitkan di bibir atas dalam mulut.
Tembakau tanpa asap yang dirampas dalam operasi di Little India adalah tembakau yang boleh digunakan tanpa dibakar, seperti dihidu, dikunyah dan diselitkan di bibir atas dalam mulut. - Foto Penguasa Sains Kesihatan (HSA)

Seramai 27 orang, berumur antara 24 dengan 77 tahun, sedang disiasat kerana menjaja dan memiliki produk tembakau tanpa asap di Little India.

Menurut The Straits Times, Penguasa Sains Kesihatan (HSA), yang bekerjasama dengan polis, merampas lebih 600 kilogram tembakau tanpa asap dengan nilai jalanan lebih daripada $100,000 hasil satu operasi di kawasan itu dari 15 Mei hingga 30 Jun, kata pihak berkuasa pada 11 Julai.

Tembakau tanpa asap adalah tembakau yang boleh digunakan tanpa dibakar, seperti dihidu, dikunyah dan diselitkan pada bibir atas di dalam mulut.

Dalam operasi itu, para pegawai menemui tembakau tanpa asap tersembunyi di bawah penutup longkang dan disumbat ke dalam tong sampah dan kotak elektrik di Chander Road dan Veerasamy Road, kata pihak berkuasa.

Tembakau tanpa asap adalah bahan terlarang di Singapura. Ia mengandungi karsinogen, atau bahan kimia yang diketahui boleh menyebabkan kanser.

Jika didapati bersalah mengimport, mengedar, menjual atau menawarkan untuk menjual tembakau tanpa asap, pesalah kali pertama boleh didenda sehingga $10,000, dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Pesalah berulang boleh didenda sehingga $20,000, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan memiliki, membeli dan menggunakan tembakau tanpa asap boleh didenda sehingga $2,000.

Menurut pihak berkuasa, 27 orang itu juga disiasat atas kesalahan harta benda lain, walaupun polis tidak memberi butiran lanjut mengenai kes berkenaan.

HSA berkata ia akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain untuk mengekang penjualan produk tersebut.

Pada Januari 2023, pegawai kastam merampas lebih 800 kilogram tembakau kunyah dalam masa enam hari di Pusat Pemeriksaan Tuas.

Tinjauan yang dijalankan pada Disember 2023 mendapati peningkatan dalam penggunaan produk tembakau alternatif seperti vape, walaupun perokok biasa mengurangkan pengambilan harian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan haram tembakau tanpa asap boleh menghubungi Cawangan Peraturan Tembakau HSA di talian 6684-2036 atau 6684-2037 pada waktu pejabat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg