Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biasiswa baru ITE tawar latihan di sektor kewangan, anugerah $3,000

May 14, 2024 | 4:44 PM
Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong (kanan), berbual mesra dengan pelajar (dari kiri) Encik Sim Xuan Ming​, Encik Khyber Ang Wei Jie, Encik Sean Yun dan Cik Nur Rehana Abdul Hamed di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej East pada 14 Mei.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong (kanan), berbual mesra dengan pelajar (dari kiri) Encik Sim Xuan Ming​, Encik Khyber Ang Wei Jie, Encik Sean Yun dan Cik Nur Rehana Abdul Hamed di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej East pada 14 Mei. - Foto ST

Pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) kini boleh memohon biasiswa dengan peluang menjalani latihan amali dalam sektor kewangan di institusi seperti Maybank Singapura, OCBC dan JPMorgan.

Dalam pengaturan sekali sahaja ini, seramai 50 pelajar ITE yang layak akan menerima anugerah pengajian sebanyak $3,000 dan latihan amali selama lima bulan selain ditawarkan elaun $800 sebulan.

Biasiswa itu terbuka kepada pelajar warga Singapura yang menuntut di tahun akhir kursus Nitec Lanjutan di Sekolah Perniagaan dan Perkhidmatan serta Sekolah Elektronik dan Teknologi Infokom.

Pelajar mesti mempunyai gred purata mata (GPA) 2.8 dan ke atas pada masa permohonan dibuat.

Pemohon juga perlu mempunyai perilaku dan kehadiran yang baik, serta gigih untuk menceburi sektor kewangan atau mengikuti Diploma Bekerja dan Belajar ITE dalam perkhidmatan kewangan selepas tamat pengajian.

Ditawarkan oleh Institut Perbankan dan Kewangan (IBF) sempena ulang tahunnya yang ke-50, biasiswa itu merupakan kerjasama antara IBF, ITE dengan 13 institusi kewangan, lapor akhbar The Straits Times.

Berucap di majlis pelancaran biasiswa tersebut di ITE Kolej East pada 14 Mei, Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, berkata sektor kewangan sedang berkembang dan beliau mahu melihat lebih ramai rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang menceburi kerjaya dalam industri berkenaan.

“Lulusan ITE adalah sebahagian daripada kumpulan bakat dan biasiswa ini akan membolehkan mereka mendapat pendedahan industri dan meneroka peluang kerjaya dalam sektor kewangan,” kata Encik Gan, yang juga timbalan pengerusi Penguasa Kewangan Singapura.

Permohonan dibuka secara dalam talian dari 14 Mei hingga 3 Jun. Pemohon yang layak perlu menghadiri temu duga pada Julai.

Pemohon yang berjaya akan ditawarkan biasiswa pada Ogos dan menjalani latihan amali dari Oktober hingga 28 Februari 2025.

Encik Khyber Ang, 19 tahun, yang kini melanjutkan pengajian dalam Nitec Lanjutan dalam Perakaunan di ITE Kolej East, berkata beliau berharap dapat meningkatkan minatnya dalam perakaunan melalui biasiswa tersebut, sambil membina kerjaya yang stabil.

Pelajar akan dapat memanfaatkan pengalaman pakar industri dan mentor, serta memperoleh kemahiran industri yang relevan semasa latihan, tambah Encik Gan.

Di bawah Diploma Bekerja dan Belajar ITE dalam Prasarana dan Operasi Pusat Data, Encik Mohamad Nor Arfan, pelajar berusia 25 tahun, merupakan perantis di JPMorgan.

Tugasnya termasuk menjaga pengendalian prasarana teknologi maklumat firma itu.

“Keluarga saya bukan orang senang dan kami mengalami masa yang sukar,” akuinya ketika ditanya mengenai motivasinya untuk menceburi sektor kewangan.

Beliau merupakan lulusan Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Mekatronik daripada ITE Kolej Central pada 2020 dan kini meningkatkan pelajarannya untuk memburu diploma pula.

“Saya sentiasa mencari peluang untuk memajukan kerjaya saya dan meningkatkan kemahiran diri. Saya benar-benar bertuah kerana mendapat peluang ini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg