Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cabul siswi di asrama NTU: Pegawai RSAF dipenjara 4 minggu

Mar 19, 2024 | 5:19 PM
Neo Aik Chiao mengaku bersalah pada 10 Jan atas satu pertuduhan kerana mencabul dan menceroboh.
Neo Aik Chiao mengaku bersalah pada 10 Jan atas satu pertuduhan kerana mencabul dan menceroboh. - Foto The Straits Times

Leftenan-kolonel Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) yang mencabul seorang pelajar perempuan di asrama Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 2022 dijatuhi hukuman penjara empat minggu pada 19 Mac.

Neo Aik Chiao, 47 tahun, yang telah menerbangkan helikopter, termasuk jenis Chinook, mengaku bersalah pada 10 Januari atas satu pertuduhan mencabul dan menceroboh.

Mahkamah diberitahu Neo telah memasuki bilik mangsa, 21 tahun, di tingkat yang dikhaskan untuk pelajar perempuan, lapor The Straits Times.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Kementerian Pertahanan berkata Neo telah digantung daripada semua tugas.

Kementerian juga berkata ia akan menilai dengan teliti keputusan kes sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Dalam prosiding awal, peguam bela Sunil Sudheesan dan Joyce Khoo berkata Neo pergi ke NTU, untuk mencari ketenangan kerana institusi tersebut menyimpan kenangan indah dan telah biasa di situ.

Menurut mereka, angin Neo tidak berapa baik sejak ayah angkat yang pernah menjaga dan sangat rapat dengannya meninggal dunia pada Jun 2022. Sebelum melakukan kesalahan itu, Neo telah minum bir.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Wong Shiau Yin memberitahu mahkamah bahawa mangsa sedang berbaring di atas katil di asramanya pada kira-kira 2 pagi pada 13 Nov 2022, apabila beliau terdengar ketukan di pintu.

Neo terus masuk, menutup pintu dan mengunci bilik tanpa kebenaran mangsa.

DPP Wong berkata mangsa hairan kerana Neo kelihatan letih dan berpeluh dengan banyak.

Pelajar berkenan menyuruhnya pergi mengambil minuman di penyejuk air di aras lain ketika dia meminta minuman.

Daripada pergi, Neo tetap duduk di atas katilnya dan bertanya mangsa sama ada beliau ingin memperoleh pendapatan tambahan $1,000 dengan menemaninya.

Mangsa berasa tidak selesa lalu menolak Neo yang terus menyentuh paha kiri dan lengan kiri mangsa.

Mangsa menjerit dan mengeluarkan telefonnya untuk menghubungi rakannya. Neo segera keluar dari bilik itu.

Pelajar itu menghubungi pegawai keselamatan kampus dan membuat laporan polis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg