Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari tukang kasut ke calon presiden

Jun 15, 2023 | 5:00 AM
SEDIA BERTANDING: Ahli perniagaan mapan, Encik George Goh, dalam wawancara bersama Berita Harian di sebuah restoran yang menjual hidangan timur tengah di Bussorah Street pada Khamis lalu.
SEDIA BERTANDING: Ahli perniagaan mapan, Encik George Goh, dalam wawancara bersama Berita Harian di sebuah restoran yang menjual hidangan timur tengah di Bussorah Street pada Khamis lalu. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Jika anda melihat warga emas menolak kereta sorong mengangkut kadbod di tepi-tepi jalan, pedati sorong tersebut adalah hasil derma Yayasan Kebajikan Border Mission yang ditubuhkan oleh Encik George Goh bersama isterinya, Cik Lysa Sumali, pada 2015.

Projek Urban Recyclers yang dipelopori oleh Encik Goh itu bertujuan memperkasa pengumpul kadbod di Singapura untuk memperoleh pendapatan lebih baik.

Yayasan itu bukan sahaja memberi bantuan kepada warga emas yang mengumpulkan kadbod tetapi juga kepada golongan kurang upaya serta keluarga mereka di Singapura, dan masyarakat yang terpencil di Himalaya.

Selain itu, Encik Goh mahu memperkasa para atlet Olimpik melalui sokongan dan latihan yang diperlukan, memberi mereka peluang untuk berkembang dan mencapai kejayaan dalam bidang sukan.

“Kami membantu mereka menerusi sistem ‘custom made’, atau direka khas mengikut kesesuaian mereka berdasarkan keperluan masing-masing dan bukan hanya seperti memberi minyak masak kepada mereka yang mungkin tidak mereka perlukan,’‘ ujar Encik Goh.

Encik Goh menyingkap kegiatan amalnya dalam satu temu bual eksklusif bersama Berita Harian di sebuah restoran timur tengah di Bussorah Street Khamis lalu, sebelum beliau mengumumkan hasratnya untuk bersaing bagi jawatan Presiden Singapura.

“Saya pernah susah dan hidup miskin semasa di kampung. Mereka yang kurang berkemampuan perlu kita bantu,’‘ ujarnya.

Kepimpinan keusahawanan

Bagi membantu ibu bapanya, anak sulung daripada lapan adik-beradik itu melakukan pelbagai kerja, seperti tukang sapu dan tukang kasut, seawal usia 15 tahun.

Dengan tekad keluar daripada kepompong kemiskinan, Encik Goh mempelajari kemahiran membuat kasut hingga akhirnya dapat membuka sebuah kilang kasut pada usia 22 tahun.

“Semasa belajar membuat kasut dari ‘master’, saya terpaksa membelikan kopi untuknya sebagai upah untuk belajar.

“Dengan kemahiran (membuat kasut) itu, saya dan adik-beradik saya telah memulakan usaha membikin kasut dengan jenama sendiri yang dijual di Singapura, seperti di Sungei Road.

“Ketika itu saya masih belum ada duit dan bekerja keras setiap hari, siang dan malam membuat kasut. Saya menangis kerana kesukaran hidup. Saya sering lapar dan makan hanya roti dan kopi setiap hari untuk meneruskan hidup,’‘ ujarnya.

Secara beransur-ansur Encik Goh mempelajari kemahiran berniaga dan menjadi usahawan dengan membina empayar perniagaan yang merangkumi 14 negara dan menjadi pengasas bersama kumpulan pelaburan bersama dua adik-beradiknya, Encik Steven Goh Ching Huat dan Encik Joe Goh Ching Lai.

Beliau lebih dikenali sebagai pengasas Harvey Norman Ossia, yang mengedar produk elektronik pengguna dan perabot di Asia di bawah jenama berpangkalan di Australia.

“Ketika memulakan niaga, saya langsung tidak faham apa itu pemilikan tunggal atau syarikat sendirian berhad. Saya belajar dan belajar untuk memahirkan diri,’‘ tambahnya.

Dalam tempoh 40 tahun, Encik Goh telah memiliki lebih 100 syarikat, termasuk lima yang tersenarai di bursa saham Singapura dan United Kingdom. Secara keseluruhan kesemua syarikat itu mempunyai nilai permodalan pasaran sebanyak $3.15 bilion.

Diplomat

Daripada seorang usahawan, Encik Goh mahu mencuba bidang baru dan tidak menolak apabila ditawarkan tugas diplomat untuk berkhidmat kepada Singapura sebagai duta bukan pemastautin ke Maghribi pada 2017.

“Maghribi, dengan penduduk 99.9 peratus Muslim, meningkatkan kefahaman saya tentang budaya dan agama masyarakat Muslim. Saya juga memudahkan rakyat Maghribi memohon visa ke Singapura kerana sebelum ini mereka perlu ke Eropah untuk mendapatkan visa. Saya juga membuka peluang untuk peniaga Singapura menceburi bidang perhotelan di Maghribi,’‘ ujarnya yang kini sedang menjalani notis tiga bulan peletakan jawatan untuk menyertai persaingan bagi jawatan Presiden Singapura. 

Pencinta seni dan budaya

Encik Goh, yang mendapat ijazah sarjana muda dalam muzik yang memberi fokus pada nyanyian klasik daripada Kolej Trinity London itu, turut melebar luaskan minatnya dalam seni dan budaya dengan memilih menjadi penasihat kepada Institut Silang Budaya Puan Noor Aishah (PNAICI). Institut yang dinamakan sempena isteri Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak.

Beliau juga merupakan anggota lembaga Persatuan Seni-Budaya Kreatif Melayu (CMAC).

Dengan kemahiran (membuat kasut) itu, saya dan adik-beradik saya telah memulakan usaha membikin kasut dengan jenama sendiri yang dijual di Singapura, seperti di Sungei Road. Ketika itu, saya masih belum ada duit dan bekerja keras setiap hari, siang dan malam membuat kasut. Saya menangis kerana kesukaran hidup. Saya sering lapar dan makan hanya roti dan kopi setiap hari untuk meneruskan hidup.”
Encik George Goh, pengasas Harvey Norman yang bakal bertanding sebagai calon presiden.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg