Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua syarikat menang kontrak sedia tempat cas pantas EV

Jun 14, 2024 | 4:06 PM
Tempat mengesas kenderaan elektrik yang dikendalikan CDG Engineering di tempat meletak kereta bertingkat HDB di Jurong West.
Tempat mengesas kenderaan elektrik yang dikendalikan CDG Engineering di tempat meletak kereta bertingkat HDB di Jurong West. - Foto CDG ENGIE

Dua syarikat pengendali pengecasan kenderaan elektrik (EV) telah diberikan kontrak menyediakan tempat mengecas pantas EV di seluruh Singapura.

Pada 14 Jun, anak syarikat Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), EV-Electric Charging (EVe), berkata ia memberi kontrak masing-masing kepada Volt Singapore; dan ComfortDelGro (CDG) Engie yang merupakan usaha sama antara CDG dengan syarikat utiliti berbilang negara Perancis, Engie.

Ini adalah kontrak penyediaan pengecas EV awam pertama sejak LTA memberi tender berskala besar kepada lima pengendali pengecasan EV pada November 2022, lapor The Business Times (BT).

Di bawah kontrak baru, CDG Engie dan Volt Singapore akan secara progresif menempatkan tempat mengecas EV di 20 tapak di seluruh pulau menjelang 2025.

Tapak pertama dijangka siap menjelang akhir 2024.

Tempat mengecas EV yang akan dipasang itu adalah pengecasan pantas dan terletak di kompleks komersial Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan tempat letak kereta yang boleh diakses oleh orang ramai.

Penarafan kuasa minimum mereka adalah daripada 7.4 kilowatt (kW) untuk pengecas arus ulang-alik, hingga 50 kW untuk pengecas arus terus.

Tapak di mana tempat mengecas ini akan dipasang termasuk di Pusat Beli-belah Taman Jurong, Plaza Pasir Ris West dan Kompleks Masyarakat Tampines Central.

EVe berkata, kontrak itu adalah sebahagian daripada rancangan pemerintah menempatkan 120 pengecas pantas di sekitar 60 tempat letak kereta di kompleks komersil HDB, bandar dan pusat kejiranan, dengan tumpuan pada lokasi yang sering dikunjungi, seperti pemandu kereta sewa privet.

Ketua pegawai eksekutif EVe, Encik Derek Tan, berkata antara “hasrat utama” pemandu EV adalah untuk mempunyai lebih banyak pusat pengecas pantas, terutama di tempat letak kereta awam berhampiran kemudahan seperti kedai kopi.

Ini berdasarkan “maklum balas berharga” daripada pemandu teksi dan kereta sewa privet, katanya.

“Pengecasan pantas akan membantu meminimumkan masa henti para pemandu EV, walaupun ketika mereka berehat sebentar. Kami berharap pengecas pantas baru di pelbagai kompleks komersial HDB akan memberi mereka rangsangan yang amat diperlukan,” tambahnya.

CDG Engie dan Volt Singapore adalah antara lapan pengendali pengecasan EV pra-kelayakan yang dipilih untuk fasa penempatan tempat pengecasan EV awam seterusnya.

Sehingga Januari 2024, terdapat 2,400 tempat mengecas EV di sekitar 700 tempat letak kereta di semua bandar dan estet HDB, kecuali Tengah.

Pada masa ini, perkhidmatan mengecas kenderaan berharga antara 54 sen dengan 59 sen bagi setiap kilowat sejam (kWh).

Sehingga akhir September 2023, terdapat 9,998 kereta elektrik di jalan raya, naik 53.1 peratus daripada 6,531 pada akhir 2022.

Ini membentuk hanya 1.5 peratus daripada jumlah kereta di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg