Dalam perkembangan mengejutkan, Encik George Goh yang merupakan pengasas bersama Harvey Norman Ossia, muncul sebagai calon yang dikaitkan untuk bertanding bagi Pilihan Raya Presiden yang akan datang.
Walaupun beliau belum membuat kenyataan rasmi mengenai hasratnya untuk bertanding, spekulasi begitu kuat menyatakan beliau berkemungkinan besar akan mengemukakan permohonannya bagi Pilihan Raya Presiden yang akan mula dibuka pada Selasa untuk memberi laluan bagi pemilihan seorang Presiden baru.
Dalam temu bual eksklusif bersama Berita Harian (BH), Encik Goh tidak mengesahkan mahupun menafikan minatnya dalam pencalonan tersebut sehingga mencetuskan pelbagai tanda tanya.
Apabila ditanya mengenai keputusan rasminya, beliau menjawab, “Saya tidak ada komen,” dan memilih untuk tidak memberikan sebarang komen lanjut buat masa ini.
Para pemerhati meramalkan Encik Goh, 63 tahun, bakal menjadi pesaing kepada Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam, yang telah mengumumkan hasrat untuk bertanding dalam jawatan Presiden kali ini.
Permohonan bagi Pilihan Raya Presiden yang dibuka Selasa akan ditutup permohonannya pada hari kelima selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan. Bakal calon yang ingin bertanding perlu membuat permohonan bagi Sijil Kelayakan serta mengemukakan Pengisytiharan Tergolong Dalam Masyarakat.
Encik Goh adalah pengerusi Ossia International, iaitu peruncit kasut, sukan dan fesyen yang disenaraikan dalam Bursa Singapura dan juga timbalan pengerusi Pertama Holdings Limited.
Selain daripada pencapaian dalam bidang perniagaan, beliau merupakan seorang duta berpengalaman yang dilantik sebagai duta ke Maghribi sejak 2017.
Dalam interviu bersama BH, Encik Goh berkata beliau telah meletakkan batu asas yang kukuh dalam menjalin hubungan antara Singapura dengan Maghribi dalam mengukuhkan hubungan dagang antara kededua negara. Beliau juga katanya bertanggungjawab dalam meningkatkan hubungan antara rakyat kededua negara.
Encik Goh bersama isterinya, Cik Lysa, telah menjadi pengasas pertubuhan amal Border Mission Limited pada 2015. Pertubuhan kebajikan itu dibiayai beliau dengan matlamat untuk memberikan bantuan kepada komuniti terpinggir dan miskin di Singapura dan di kawasan Himalaya.
Beliau juga merupakan penasihat kepada Institut Silang Budaya Puan Noor Aishah (PNAICI), dan anggota lembaga Persatuan Seni-Budaya Kreatif Melayu (CMAC).
“PNAICI dan CMAC telah mendekatkan saya dengan masyarakat Melayu. Ini menjadi penyambung kepada hubungan saya semasa di kampung lagi apabila kami hidup bersama dengan masyarakat Melayu, India dan Cina,’‘ ujarnya yang boleh berbahasa Melayu itu.
Pengamat politik, Profesor Madya Eugene Tan, dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU), menyatakan sejak kebelakangan ini Encik Goh dilihat menunjukkan minat ke arah ‘politik’.
Encik Tan berkata tanpa akses terhadap semua syarikat yang dipimpin oleh Encik Goh, sukar untuk mengetahui sama ada Encik Goh memenuhi syarat kelayakan yang ketat untuk menjadi Presiden.
“Terdapat kemungkinan Goh memang benar-benar sedang mempertimbangkan untuk bertanding serta dilihat telah dan sedang menguji respons dengan melibatkan dirinya di (sosial) media pada ketika ini. Pertandingan (Pilihan Raya Presiden) ini tidak seharusnya diketepikan pada waktu ni walaupun kita kini menyaksikan kualiti hebat yang dibawa oleh Encik Tharman,’‘ ujar Encik Tan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg