Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

Jaga anak titipan demi kebaikan masyarakat

Tahun ini, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyambut Tahun Meraikan Sukarelawan (YCVolunteers) bagi menghargai sukarelawan yang menabur bakti dan membantu memperbaiki kehidupan anggota masyarakat yang memerlukan demi melahirkan masyarakat yang lebih penyayang. Antara sukarelawan tersebut ialah ibu bapa titipan muda, Cik Far’ain Jaafar, dan suaminya, Encik Syafiq Sunardi, yang telah membuka rumah, hati dan minda mereka untuk menjaga lima anak titipan.
Feb 02, 2024 | 03:04 PM



Hasrat pendidik dan penulis buku, Cik Far’ain Jaafar, 36 tahun, mahu menjadi ibu titipan tercetus ketika beliau giat menjadi sukarelawan di sebuah rumah kanak-kanak pada usianya 19 tahun.

Malah, beliau menyampaikan hasratnya itu kepada suaminya, Encik Syafiq Sunardi, 36 tahun, sebelum mereka mendirikan rumah tangga.

“Saya selalu bergurau dan berkata, menjadi ibu bapa titipan adalah satu perjanjian dalam perkahwinan kami,” kata Encik Syafiq, seorang pekerja awam.

Bercakap dengan nada yang lebih serius, Encik Syafiq menambah bahawa hatinya terbuka ingin menjaga anak titipan sebagai satu usaha membantu masyarakat.

Justeru, hanya selepas seminggu mereka berpindah ke flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pertama mereka dengan barangan masih di dalam kotak bungkusan pada 2016, Cik Far’ain membuat permohonan untuk menjaga anak titipan.

Hasrat Cik Far’ain menjadi nyata pada 2017 apabila permohonannya untuk menjaga anak titipan diluluskan dan dua beradik perempuan berusia lapan bulan dan melebihi setahun mula tinggal di rumah mereka.

Mengimbas pengalaman menjaga anak titipan pertama mereka, Cik Far’ain berkata:

“Kami sekeluarga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan baru itu – daripada menjaga seorang anak kandung yang berusia tiga tahun tatkala itu – tiba-tiba ada tiga kanak-kanak kecil di rumah kami.

“Kami perlu belajar memenuhi keperluan kedua-dua anak titipan itu. Misalnya, oleh sebab mereka minum susu formula berbanding anak saya yang menyusu badan, saya perlu mencari jalan lain untuk menenangkan mereka apabila mereka menangis.”

Kini, pasangan suami isteri itu mempunyai dua cahaya mata lelaki dan perempuan, masing-masing berusia sembilan tahun dan lima tahun.

Dalam pada itu, mereka belajar mengimbangi masa antara menjaga anak-anak dengan pekerjaan masing-masing.

Cik Far’ain baru mula menubuhkan syarikat pendidikannya dan menulis buku kanak-kanak pertamanya pada 2017.

Suaminya yang bekerja syif membuat permohonan untuk bekerja syif malam supaya beliau boleh membantu menjaga anak-anak kandung dan titipan mereka pada siang hari.

Namun, antara cabaran utama mereka pada saat-saat awal mereka menjaga anak titipan adalah mendapat sokongan daripada kedua-dua pasangan ibu bapa mereka.

“Apabila kami beritahu ibu bapa masing-masing tentang keputusan kami mahu menjaga anak titipan, kami disambut dengan soalan-soalan seperti kenapa kami mahu jaga anak titipan sedangkan kami masih muda dan ada anak kecil.

“Mereka khuatir kami tidak boleh urus atau kami tidak dapat beri perhatian sepenuhnya kepada anak-anak kandung kami. Selain itu, ada juga teman kami yang bertanya – kenapa kami mahu memikul masalah keluarga lain,” kata Cik Far’ain.

Namun, pada masa yang sama, komen atau pendapat negatif ahli keluarga dan teman-teman mereka menguatkan semangat mereka untuk memberi kasih sayang kepada anak-anak titipan mereka.

Peranan keluarga titipan penting dalam membantu menawarkan persekitaran yang selamat buat anak titipan dan memastikan agar anak-anak titipan membesar dengan sihat, mempunyai pembangunan baik selain memenuhi potensi mereka.

“Ahli keluarga dan teman-teman kami mula memahami niat kami untuk menjaga anak titipan apabila mereka melihat kedua-dua anak kandung dan titipan kami sama-sama berupaya membesar dengan baik,” kata Cik Far’ain.

Sejak itu, Cik Far’ain dan Encik Syafiq sudah menjaga lima anak titipan. Seorang anak titipan perempuan mereka yang kini berusia tujuh tahun sudah tinggal bersama mereka selama hampir tiga tahun. Bagi meningkatkan kemahiran mereka sebagai ibu bapa titipan, pasangan suami isteri itu telah menyertai pelbagai kursus berkenaan penjagaan anak titipan.

“Setiap anak titipan mengalami trauma atau cabaran unik tersendiri. Ada kalanya, anak titipan itu memerlukan bantuan lain selain suasana rumah yang selamat.

“Misalnya, kami sedar bahawa salah seorang anak titipan kami perlu menghadiri sesi terapi trauma, dimaklumkan untuk mengenal pasti pelbagai emosi yang dilaluinya,” kata Cik Far’ain.

Justeru, kerjasama bersama pekerja sosial anak titipan mereka amat penting bagi memastikan agar ibu bapa titipan mendapat sokongan yang memerlukan, menurut Cik Far’ain.

“Satu perkara yang saya belajar sebagai ibu titipan adalah jangan selindung kesukaran yang anda hadapi daripada pekerja sosial anda. Pekerja sosial itu berperanan menjaga keluarga titipan itu dan mereka dapat menawarkan nasihat dan langkah-langkah wajar sekiranya keluarga titipan memerlukan bantuan,” kata Cik Far’ain.

Hari ini, pasangan suami isteri itu lebih berbesar hati dengan membuka rumah mereka kepada penjagaan anak-anak titipan.

Kata Cik Far’ain:

“Anak-anak titipan ini bak kehilangan zaman kanak-kanak mereka dan mungkin tidak pernah rasa suasana kekeluargaan. Justeru, apabila mereka keluar dari rumah kami, berbekalkan kemahiran hidup dan pengalaman indah sebagai kanak-kanak, ia memberi saya kepuasan sebagai ibu titipan.”

Kata Encik Syafiq pula:

“Apa sahaja ujian dan cabaran yang kami hadapi semasa menjaga anak-anak titipan, kami kembali kepada niat asal kami iaitu mahu menjaga mereka sebaik mungkin dengan memberi tempat perlindungan, kasih sayang dan kemahiran hidup kepada mereka.”

TAHUN MERAIKAN SUKARELAWAN


Setiap orang mempunyai peranan untuk membina masyarakat yang penyayang dan inklusif menerusi kesukarelawanan dan sifat memberi dengan murah hati. Individu dan pihak korporat boleh bekerjasama bersama agensi-agensi sosial dalam usaha untuk menyumbang masa dan kemahiran sukarelawan untuk membantu golongan memerlukan.

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mempunyai pelbagai program yang mengalu-alukan kesukarelawanan menerusi MSF Care Network yang menghubungkan sukarelawan yang berfikiran sama dengan peluang sukarelawan dan kemas kini daripada MSF-Family dan rakan kongsi mereka.

Layari laman YCVolunteers, go.gov.sg/YCVolunteers, untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Penjagaan anak-anak titipan

Setiap kanak-kanak berhak memiliki tempat perlindungan untuk dijadikan rumah mereka. Malangnya tidak semua kanak-kanak memilikinya.

Sesetengah kanak-kanak tidak dapat bersama dengan keluarga kandung mereka dan memerlukan tempat tinggal yang selamat, stabil dan penuh dengan kasih sayang.

Kanak-kanak mungkin berada dalam penjagaan keluarga titipan atas sebab-sebab berikut:

• Mereka telah didera, diabaikan atau ditinggalkan.

• Ibu bapa mereka tidak mampu menjaga mereka atas sebab:

o Pemenjaraan

o Penyakit fizikal atau mental

o Kematian salah seorang atau kedua-dua ibu bapa

Penjagaan anak titipan merupakan penjagaan sementara dan matlamat utamanya adalah untuk menyatukan kanak-kanak itu bersama keluarga kandung mereka apabila keluarga kandung mereka didapati sudah boleh menjaga semula kanak-kanak tersebut.

Kriteria untuk menjadi ibu bapa titipan

Sebagai ibu bapa titipan, anda dikehendaki:

• Berusia sekurang-kurangnya 25 tahun dan sudah berumah tangga

• Merupakan penduduk Singapura

• Sihat untuk menjaga kanak-kanak

• Mempunyai pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya $2,000 sebulan dan PCI sekurang-kurangnya $700*

• Mempunyai sekurang-kurangnya pendidikan sekolah menengah

• Bersedia untuk memastikan persekitaran rumah selamat bagi kanak-kanak

• Berpengalaman menjaga kanak-kanak

*Kriteria yang disenaraikan di atas merupakan panduan sahaja, semua pemohon akan dinilai berdasarkan kes tersendiri.

*PCI = Pendapatan Per Kapita = (Jumlah pendapatan isi rumah) / (Jumlah bilangan orang dalam isi ahli keluarga yang tinggal bersama).

Sokongan daripada MSF

Jika anda menjadi ibu bapa titipan, anda akan menerima pelbagai sokongan sepanjang tempoh perjalanan anda sebagai ibu bapa titipan:

• Sesi induksi dan latihan, bahan sumber rujukan dan kelengkapan lain untuk mempertingkatkan kemahiran anda

• Sokongan tetap daripada Pegawai Penjagaan Kanak-kanak dan Talian Kecemasan 24 Jam

• Kad Pengecualian Yuran Perubatan (MFEC) untuk membiayai sepenuhnya kos perubatan kanak-kanak tersebut di poliklinik dan hospital pemerintah

• Subsidi untuk penjagaan kanak-kanak dan pelajar

• Elaun bulanan untuk menanggung kos makanan, pakaian, pengangkutan, yuran sekolah dan keperluan lain kanak-kanak tersebut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >