Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar faedah Akaun Khas CPF, MediSave, Persaraan naik kepada 4.08%

Dec 6, 2023 | 7:28 PM
KADAR FAEDAH NAIK: Kadar faedah bagi Akaun Khas dan Akaun MediSave (SMA) bagi pencarum CPF akan dinaikkan daripada 4.04 peratus kepada 4.08 peratus.
KADAR FAEDAH NAIK: Kadar faedah bagi Akaun Khas dan Akaun MediSave (SMA) bagi pencarum CPF akan dinaikkan daripada 4.04 peratus kepada 4.08 peratus. - Foto ST

Kadar faedah bagi Akaun Khas dan Akaun MediSave (SMA) bagi pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan dinaikkan daripada 4.04 peratus kepada 4.08 peratus setahun, untuk tempoh dari 1 Januari hingga 31 Mac 2024.

Kenaikan kadar faedah itu disebabkan oleh peningkatan dalam hasil purata Sekuriti Pemerintah Singapura 10 tahun (10YSGS) dalam tempoh 12 bulan. Kadar faedah SMA disandarkan kepada hasil itu.

Demikian menurut Lembaga CPF, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan bersama pada 6 Disember.

Kadar faedah bagi Akaun Persaraan (RA) juga akan naik daripada 4 peratus kepada 4.08 peratus untuk tempoh sama. Mulai 2024, tambatan kadar faedah RA akan diselaras dengan akaun Khas dan akaun MediSave, dan dikira setiap suku tahun dan tidak lagi setiap tahun.

“Perubahan ini akan membolehkan kadar faedah RA menjadi lebih responsif kepada persekitaran kadar faedah semasa,” kata kenyataan itu.

Kadar faedah Akaun Biasa (OA) kekal tidak berubah pada 2.5 peratus untuk tempoh sama.

“Pemerintah akan terus memastikan tambatan kadar faedah CPF kekal relevan dalam persekitaran operasi semasa dan pada masa sama, mengambil kira prospek jangka panjang,” tambah kenyataan itu.

Jumlah Penjagaan Kesihatan Asas (BHS) akan dinaikkan daripada $68,500 kepada $71,500 untuk pencarum CPF berusia bawah 65 tahun mulai 1 Januari.

Mereka yang berusia 66 tahun dan ke atas pada 2024 tidak akan melihat sebarang perubahan kepada BHS mereka.

BHS adalah anggaran simpanan untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan asas bersubsidi pada usia tua. Ia diselaras setiap tahun untuk pencarum berusia bawah 65 tahun dalam usaha mengikuti rentak peningkatan dalam penggunaan MediSave.

Kadar faedah konsesi bagi pinjaman perumahan HDB, yang ditambat pada 0.1 peratus melebihi kadar faedah OA, kekal tidak berubah pada 2.6 peratus setahun dari 1 Januari hingga 31 Mac 2024.

Di samping itu, pencarum CPF berusia bawah 55 tahun akan terus memperoleh faedah tambahan 1 peratus bagi $60,000 pertama jumlah simpanan gabungan mereka, dihadkan pada $20,000 bagi OA.

Mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas akan terus memperoleh faedah tambahan 2 peratus pada $30,000 pertama simpanan gabungan mereka, dan tambahan 1 peratus bagi $30,000 seterusnya, dihadkan pada $20,000 bagi OA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg