Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

Forum akan kupas hikmah faraid, perjelas pelbagai instrumen agih harta

Kajian dapati ramai tidak tahu pelbagai instrumen perancangan legasi Islam selain faraid

Jul 18, 2023 | 05:30 AM



Tahap pemahaman masyarakat Melayu/Islam Singapura tentang perancangan legasi atau harta, termasuk hukum faraid, masih hambar.

Menyedari hal ini, satu portal berkongsi maklumat tentang perancangan legasi atau harta pusaka, OurWakaf.SG, telah dilancarkan.

Tinjauan yang dilakukan OurWakaf.SG mendapati sekitar 60 peratus individu Muslim yang ditemui tidak tahu tentang instrumen perancangan legasi Islam selain faraid.

“Ini membimbangkan kerana sedang aset masyarakat terus meningkat, ia boleh menimbulkan masalah kelak sekiranya tiada perancangan yang baik dilakukan,” kata seorang jurucakap OurWakaf.SG.

Antara instrumen perancangan harta dan peninggalan warisan Islam yang diketengahkan semasa tinjauan tersebut termasuk hibah, nuzriah dan wasiat.

Faraid merupakan hukum syariah berhubung pengagihan harta seseorang Muslim yang telah meninggal dunia, kepada ahli warisnya yang sah.

Antara aset peninggalan masyarakat Islam Singapura termasuk wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF), pelaburan, insurans, hartanah, wang tunai, barang kemas, simpanan bank dan kenderaan.

Islam membolehkan dan menggalak seseorang membuat perancangan terperinci – di atas agihan faraid – mengikut keperluan keluarga masing-masing, menggunakan instrumen lain seperti wasiat dan hibah.

Ini termasuk bagi Muslim yang mempunyai anggota keluarga seperti anak angkat, atau anak berkeperluan khas yang mungkin memerlukan lebih banyak sokongan setelah pemergiannya.

Bahkan Jawatankuasa Fatwa yang dipengerusikan Mufti Singapura telah memutuskan bahawa sistem pencalonan CPF dan insurans boleh dianggap sebagai bentuk hibah atau hadiah, dan tidak perlu diagihkan mengikut faraid.

Namun, menurut jurucakap OurWakaf.SG, masih ramai dalam kalangan masyarakat yang belum peka tentang keadaan dan fatwa ini dan tidak melakukan sebarang pencalonan CPF atau insurans.

“Perancangan legasi yang baik membolehkan seseorang itu memastikan harta peninggalan mereka dimanfaatkan dengan lebih berkesan, tanpa melanggar syariah.

“Ramai dalam kalangan masyarakat kita hanya bergantung pada faraid.

“Namun Islam membolehkan seseorang Muslim memanfaatkan pelbagai instrumen lain, antaranya hibah dan wasiat,” jelasnya.

Selain faraid, portal itu turut menjelaskan tentang penghasilan wasiat dalam Islam serta membincangkan peri penting melakukan pencalonan CPF dan insurans, termasuk memberi maklumat tentang produk utamanya iaitu Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).

Dalam usaha meningkatkan pemahaman masyarakat tentang perancangan legasi, OurWakaf.SG kerap mengadakan kempen pendidikan awam.

Pada Februari 2023 lalu, OurWakaf.SG mengadakan seminarnya yang pertama bagi membincangkan tajuk-tajuk berhubung perancangan harta.

Daripada maklum balas yang diterima menyusuli seminar tersebut, ramai peserta yang masih keliru tentang tajuk tersebut.

Antaranya, terdapat soalan mengenai wasiat yang meletakkan hanya anak kandung sebagai penerima agihan.

“Wasiat seperti ini tidak sah kerana anak kandung tidak boleh menerima agihan menerusi wasiat. Mereka merupakan benefisiari faraid dan hak mereka ada dalam agihan faraid,” kata jurucakap OurWakaf.SG.

Sebaliknya, sekiranya wasiat itu digunakan dengan betul dan adil, seseorang Muslim boleh memastikan bahawa mereka yang tidak termasuk dalam senarai benefisiari faraid, menerima agihan daripada hartanya selepas beliau meninggal dunia.

Ini termasuk anak angkat, ibu bapa yang berlainan agama, atau badan atau pertubuhan yang dirasakan layak menerima sebahagian harta mereka.

Pemahaman lebih baik tentang perancangan harta juga diharap dapat mengelakkan sebarang pergeseran antara anggota keluarga selepas kematian seseorang.

Selain itu, ia juga memudahkan ahli waris melaksanakan pengagihan harta. Misalnya, di Singapura, mereka boleh menerima keseluruhan wang tersebut dalam masa empat minggu sekiranya pencalonan CPF telah dibuat.

Sebaliknya, jika tiada pencalonan dibuat, prosesnya boleh mengambil masa sehingga enam bulan. Ini kerana ia perlu melalui pelbagai proses guaman, termasuk mendapatkan sijil warisan yang sah daripada Mahkamah Syariah.

“Bagi keluarga yang keadaannya lebih kompleks, prosesnya mungkin mengambil masa lebih lama,” kata jurucakap OurWakaf.SG.

Sebagai menyambung perkongsian ilmu tentang perancangan harta, OurWakaf.Sg bakal mengadakan acara kedua dalam rangka kempen pendidikan awam yang telah dimulakan pada awal 2023 ini.

Sebuah forum faraid bertajuk ‘Kerana Harta’ bakal diadakan di auditorium Masjid Sultan pada Sabtu, 5 Ogos 2023, 11 pagi hingga 2 petang.

Forum yang mengetengahkan panelis Timbalan Mufti, Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar, dan pengurus kanan sebuah pusat khidmat keluarga, Cik Nooraini Razak, bakal merungkai kerumitan dan salah faham umum serta hikmah di sebalik undang-undang faraid.

Forum tersebut juga dijangka mengongsi pelbagai instrumen perancangan harta lain – seperti pencalonan CPF dan insurans, serta menghasilkan sebuah wasiat – selain menggalak masyarakat mempertimbangkannya.

Selain merancang harta untuk anggota keluarga dan mereka yang tersayang, forum itu juga dijangka menyentuh tentang pertimbangan mengetepikan sedikit harta peninggalan untuk masyarakat menerusi instrumen contohnya WMS. Kini WMS telah dibuka untuk menerima ikrar daripada orang ramai.

Pengacara forum termasuk penerbit kandungan digital, Encik Sujimy Mohamad, dan pengacara yang juga ejen hartanah, Cik Ainon Talib.

Tiket berharga $10 seorang boleh didapatkan di https://keranaharta.eventbrite.sg/.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >