Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

Keperluan berzakat di alaf teknologi

Sekitar 6,800 keluarga Islam kurang berkemampuan menerima sumbangan agihan wang zakat setiap bulan
Nov 30, 2023 | 12:25 PM



Setiap tahun, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengadakan kempen zakat bagi meningkatkan kesedaran awam tentang pentingnya menunaikan zakat.

Selain itu, tujuan kempen tersebut juga bagi memberi panduan berguna kepada masyarakat Islam setempat tentang cara-cara yang tepat untuk menunaikan zakat ke atas pelbagai aset yang dimiliki, seperti wang simpanan, saham, insurans, wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan zakat perniagaan, serta maklumat penting berhubung pengagihan zakat kepada lapan asnaf seperti yang telah ditentukan syarak.

Semasa pandemik, sebahagian besar pembayar zakat, atau istilahnya muzakki, menunaikan zakat menerusi kaedah digital atau tanpa tunai (seperti menggunakan cek). Ini kerana kebanyakan pusat-pusat zakat, seperti masjid-masjid setempat, terpaksa ditutup bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.


Namun pada pascapandemik ini, sebahagian muzakki mula kembali memanfaatkan wadah-wadah fizikal untuk menunaikan zakat menerusi kaedah seperti wang tunai dan cek.


Meskipun demikian, Penolong Pengarah Kanan, Dana Masyarakat di Muis, Encik Shamsul Hadi Jangarodin, berkongsi dalam usaha Muis memastikan muzakki terus memilih dan menerima pembayaran melalui platform digital, badan berkanun itu telah mempertingkatkan portal zakat.sg dan memperbaharui pengalaman pengguna di laman tersebut bagi memudahkan para muzakki menunaikan zakat.


Muis juga telah memperkenalkan ‘Kios Layan Diri’ di 16 pusat pungutan zakat (16 masjid terpilih) bagi menyediakan peluang kepada muzakki yang ingin menunaikan zakat menggunakan kad debit mereka semasa berkunjung ke masjid-masjid tersebut dengan mudah dan ringkas. Muis merancang memperluaskan lagi khidmat kios-kios layan diri tersebut dengan memasangnya di lebih banyak pusat pungutan zakat.


Antara sebab Muis menggalak pembayaran digital ialah adanya ciri-ciri keselamatan serta penyimpanan dan pengesanan rekod yang lebih baik berbanding bayaran fizikal seperti menggunakan wang tunai. Ini penting kerana Muis menggalas tanggungjawab yang besar terhadap amanah mentadbir dan menguruskan wang zakat masyarakat dengan baik, telus dan berwibawa.

“Dengan langkah pemerintah untuk memansuhkan penggunaan cek dalam masa terdekat ini, pihak Muis mendorong untuk menyediakan wadah-wadah digital yang ringkas dan mudah digunakan bagi semua lapisan masyarakat. Ini bagi memastikan masyarakat sedia membuat perubahan dan mempunyai lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan kaedah pembayaran digital yang baru,” jelas Encik Shamsul.

Keperluan zakat kepada masyarakat Islam di Singapura

Meskipun Singapura dilihat sebagai sebuah negara yang maju, namun terdapat sebilangan masyarakat yang masih memerlukan sokongan dan bantuan dalam memastikan keperluan seharian mereka dapat dipenuhi. Misalnya, Muis menerusi masjid-masjid setempat membantu sekitar 6,800 keluarga memerlukan secara tetap setiap bulan menerusi agihan wang zakat.

“Selain menerima bantuan tetap dari Muis, golongan memerlukan ini turut menerima bantuan tambahan pada bulan Ramadan dan akhir tahun, khususnya bagi meringankan beban kos keperluan persekolahan bagi keluarga yang mempunyai anak-anak di bangku persekolahan,” kata Encik Shamsul.

Satu elemen penting berkenaan bantuan zakat di Singapura ialah ia saling melengkapi bantuan di peringkat nasional. Memandangkan sumber nasional lebih besar, mereka yang menerima zakat turut disaran agar membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan tambahan seperti ComCare dan sebagainya. Langkah sedemikian membolehkan penerima zakat mendapatkan bantuan yang lebih menyeluruh dan mampu membantu usaha mereka untuk mencapai kemandirian keluarga.

Selain bantuan kewangan, Muis juga turut menyediakan program pemerkasaan bagi keluarga penerima zakat yang sesuai. Secara keseluruhan, lebih separuh dari kesemua kutipan zakat setiap tahun diperuntukkan bagi program bantuan dan pembangunan asnaf fakir dan miskin.

Di samping golongan fakir dan miskin, zakat juga merupakan dana sokongan yang menyentuh segenap lapisan masyarakat. Ini termasuk lebih 5,400 pelajar, asatizah, amil masjid, pegawai agama masjid, dan naib kadi menerusi program pembangunan profesional, program pendidikan Islam aLIVE & ADIL, Skim Bantuan Dana Kemajuan Madrasah (Promas), Anugerah Pengajian Sistem Madrasah Bersama (JMS) dan dermasiswa menerusi Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Dalam pada itu, zakat merupakan dana penting yang menggerakkan dan membangunkan institusi bantuan yang menyokong program dakwah dan pendekatan bagi golongan mualaf di Darul Arqam; banduan serta belia berisiko di rumah-rumah tumpangan dan peralihan; dan masyarakat umum menerusi wadah digital yang dikendalikan masjid-masjid setempat .

Dekati masyarakat Islam dengan wadah media sosial

Meskipun sebahagian besar muzakki merupakan mereka yang berusia 40 tahun ke atas, namun Muis terus memperluaskan usaha kesedaran awam menerusi wadah-wadah media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok bagi mendekati golongan yang lebih muda. Ini kerana Muis sedar pentingnya menerapkan maklumat yang tepat dan telus berhubung zakat di peringkat awal. Kuasa media sosial yang luas serta pengaruhnya yang kuat juga dapat menggalak golongan muda untuk menjadi penyumbang zakat apabila sudah tiba masanya kelak, iaitu apabila harta mereka sudah cukup nisab dan haul.


Namun demikian, media sosial membentuk hanya separuh daripada usaha silang wadah yang diterajui Muis dalam menyebarkan kesedaran awam tentang zakat secara berkesan. Wadah-wadah media tradisional, seperti akhbar, radio dan televisyen, masih menjadi wadah pilihan dan dimanfaatkan bagi mendekati golongan yang lebih berusia – sekali gus menjadikan kempen zakat Muis satu usaha yang menyeluruh dan terangkum.

Masyarakat Islam mempunyai banyak platform lain untuk melakukan zakat mereka.

Encik Shamsul turut memberitahu Berita Harian (BH), Muis menyediakan pelbagai platform untuk masyarakat Islam setempat menunaikan rukun Islam ketiga mereka. Platform atau wadah pembayaran ini boleh dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu wadah fizikal dan wadah dalam talian.

Wadah Fizikal

Wadah fizikal menjadi pilihan bagi kebanyakan muzakki yang lebih berusia yang gemarkan interaksi bersama para amil yang dilatih. Mereka lazimnya menggunakan kaedah pembayaran tunai atau cek, dan ada juga sebahagian yang menggunakan kad pembayaran digital seperti NETS. Namun dengan bertambahnya wadah-wadah pembayaran digital dan elektronik, jumlah muzakki yang memilih untuk memanfaatkan wadah fizikal semakin berkurangan.


“Meskipun begitu, Muis akur terdapatnya segelintir golongan masyarakat yang masih ingin membuat bayaran menerusi kaedah fizikal. Mereka inginkan bantuan para amil untuk membantu dalam perkiraan zakat mereka, dan bagi amil yang juga merupakan para asatizah masjid, muzakki boleh mendapatkan nasihat dan rujukan agama, sekali gus membantu mempertingkatkan kehidupan keagamaan mereka.


“Atas sebab tersebut, Muis akan menyokong masjid-masjid kita untuk terus menyediakan khidmat fizikal sedemikian bagi memastikan ia bersifat inklusif kepada semua lapisan masyarakat,” tambah Encik Shamsul.

Wadah Dalam Talian

Sejak bermula wabak Covid-19 pada tahun 2020, Muis telah mengemas kini dan mempertingkatkan laman www.zakat.sg dengan menyediakan lebih banyak kaedah pembayaran seperti PayNow dan Kad Debit. Pengalaman pengguna di laman tersebut juga telah disegarkan dan diolah bagi memberikan para muzakki kepuasan yang serupa membayar di kaunter-kaunter fizikal. Antaranya pembayar yang selesai menjalani transaksi digital di laman tersebut akan dibawa kepada video seorang amil yang membacakan doa untuk para pembayar – serupa pengalaman yang dilalui sekiranya mereka membuat pembayaran di kaunter-kaunter fizikal.


Muis juga telah memperbaharui kalkulator zakat di laman itu bagi membolehkan para muzakki membuat perkiraan zakat mereka dengan tepat sebelum membuat pembayaran. Sejurus pembayaran, muzakki juga akan diingatkan tentang haul mereka yang akan datang sebagai persiapan.


Salah satu komponen baharu dan menarik dalam laman www.zakat.sg ialah keupayaan muzakki untuk membuka akaun dan mengemaskini butiran masing-masing dengan sendiri. Menerusi akaun tersebut, muzakki juga boleh membuka dashboard masing-masing dan dapatkan maklumat terkini serta rekod terdahulu mereka berhubung pembayaran Zakat.


Pengurusan Zakat Yang Baik

Bagi memastikan dana zakat ditadbir dan diurus dengan baik, Muis melaksanakan audit secara kerap bagi mengesan sebarang kelemahan atau salah laku dalam pengurusan wang zakat. Proses audit yang kukuh ini juga dijangka mampu memberi jaminan yang lebih baik kepada para muzakki bahawa wang zakat yang mereka keluarkan ditadbir, diurus dan diagihkan kepada asnaf dengan cara yang baik dan bertanggungjawab.


“Bagi memastikan para amil di masjid dibekalkan dengan kemahiran yang secukupnya untuk berkhidmat kepada masyarakat dan para muzakki, mereka perlu menjalani latihan dan wajib lulus ujian yang dikeluarkan Muis. Selain itu, mereka juga kerap dipanggil untuk dilatih bagi sebarang perubahan dan peningkatan pada sistem zakat yang digunakan. Selain zakat, para amil juga dilatih untuk memberi nasihat dan membuat perkiraan bagi bayaran fidyah dan kaffarah. Semua ini dilakukan demi memberikan pengalaman dan khidmat yang terbaik buat jemaah, muzakki dan anggota masyarakat Islam di Singapura,” katanya lagi.


Untuk maklumat dan pertanyaan mengenai zakat, orang ramai boleh melungsuri laman www.zakat.sg untuk perincian lanjut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >