Polis Jepun telah meminta Kedutaan Singapura membawa seorang diplomat kembali ke Jepun untuk disoal siasat mengenai gambar budak lelaki tidak berpakaian di rumah mandi awam di Tokyo yang diambilnya, lapor media tempatan.
Permintaan oleh Jabatan Polis Metropolitan itu dibuat melalui Kementerian Luar Jepun, lapor akhbar Asahi Shimbun pada 14 Mei, menurut The Straits Times.
Diplomat berusia 55 tahun itu seorang kaunselor di Kedutaan Singapura di Jepun semasa dia mengaku pada Februari telah merakam secara rahsia seorang budak lelaki di tempat mandi awam di Tokyo.
Ia antara perbuatan mengintai yang dikatakan dilakukannya.
Dia kemudian digantung tugas untuk membantu siasatan, kata Kementerian Luar Singapura (MFA) pada 2 Mei.
Media tempatan melaporkan dia didapati menggunakan telefon pintar untuk merakam seorang remaja lelaki tidak berpakaian di bilik persalinan di tempat mandi awam pada 27 Februari.
Penyiasat yang menggeledah telefonnya menemui rakaman budak lelaki itu dalam keadaan bogel, serta rakaman berbilang pelanggan lelaki yang kelihatan diambil di bilik persalinan umum di bilik mandi.
Diplomat itu mengaku kepada penyiasat bahawa dia juga telah mengambil gambar secara rahsia di tempat mandi awam lain. Sekurang-kurangnya 700 imej yang diambil dalam tempoh enam bulan – yang dipadamkannya pada malam 27 Februari – ditemui pada telefon bimbitnya.
Polis tidak dapat menahannya ketika itu, kerana sebagai diplomat, dia mempunyai kekebalan diplomatik daripada ditahan di Jepun.
MFA berkata pada 2 Mei ia bersedia mengetepikan kekebalan diplomatik itu untuk memudahkan siasatan jika fakta yang didakwa itu terbukti.
Lelaki itu telah menyelesaikan tugasnya mengikut jadual dan pulang ke Singapura pada April.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg