Seorang lelaki didakwa bukan saja enggan memberi kerjasama apabila seorang pegawai keselamatan wanita SMRT meminta untuk memeriksa beg galasnya, malah menolaknya sehingga beliau terjatuh ke belakang dan cedera di kepala.
Pada 19 Ogos, Alina Meridian, 30 tahun, didakwa menyebabkan kecederaan kepada wanita itu dengan melakukan perbuatan terburu-buru.
Menurut The Straits Times, Meridian berada di stesen MRT Lorong Chuan sejurus sebelum 8 pagi pada 17 Ogos apabila pegawai itu meminta untuk memeriksa beg galasnya.
Dalam satu kenyataan pada 19 Ogos, polis menyatakan: “Lelaki itu tidak memberi kerjasama dan mula menjerit kepada pegawai keselamatan.
“Semasa pertikaian tersebut, lelaki itu didakwa mencengkam lengan dan menolaknya, menyebabkan beliau terjatuh ke belakang sebelum dia berjalan menuju ke platform kereta api.”
Pegawai itu, yang dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital, kemudian dibenarkan pulang dan diberi cuti sakit selama lima hari.
Pegawai dari Divisyen Polis Ang Mo Kio berjaya mengenal pasti identiti Meridian dengan bantuan imej daripada kamera polis dan kamera litar tertutup (CCTV).
Mereka menahannya pada 18 Ogos.
Pada 19 Ogos, dia diperintahkan direman di Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan kesnya ditangguh ke 2 September.
Kerana menyebabkan kecederaan kepada orang lain dengan melakukan perbuatan terburu-buru, pesalah boleh dipenjara sehingga setahun dan denda sehingga $5,000.
Menjawab soalan Parlimen pada Mei 2023, Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata secara purata, terdapat kira-kira 23 kes penderaan atau gangguan yang melibatkan pegawai keselamatan setiap bulan dalam tiga bulan pertama tahun itu.
Ini adalah lebih tinggi daripada purata 13 kes yang dilaporkan sebulan antara 2018 dengan 2021.
Encik Shanmugam, yang juga Menteri Undang-undang, menambah: “Kementerian Dalam Negeri memandang serius terhadap penderaan dan gangguan terhadap pegawai keselamatan.
“Inilah sebabnya kami meminda Akta Industri Keselamatan Swasta pada Oktober 2021 untuk meningkatkan perlindungan bagi pegawai keselamatan, dengan penalti yang ditetapkan lebih tinggi daripada jika mereka dilakukan terhadap orang awam.”
Pindaan tersebut berkuat kuasa pada 2022.
Antara lain, kesalahan baru turut diperkenalkan di bawah Akta tersebut bagi menangani jenis gangguan dan penderaan yang dihadapi oleh pegawai keselamatan semasa menjalankan tugas rasmi.
Kesalahan baru itu termasuk menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang pegawai daripada menjalankan tugasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg