Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

PERSATUAN PEMUDI ISLAM SINGAPURA (PPIS)

Melahirkan generasi maju jaya sepanjang 40 tahun

Oct 03, 2023 | 04:58 PM



Melentur biarlah waktu rebung. Hakikat inilah yang mendorong Prasekolah 7oaks menawarkan pendidikan awal kanak-kanak yang bermutu pada kos yang wajar kepada setiap kanak-kanak tidak kira latar belakang.

Pusat yang bermula di bawah naungan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan dikenali sebagai Taman Asuhan PPIS pada 1983 menawarkan pembelajaran menerusi kaedah bermain yang ketika itu merupakan sesuatu yang unik.

Pusat yang kini dinamakan 7oaks Preschool, atau Prasekolah 7oaks, baru-baru ini membuka dua lagi cawangan di Tampines dan Kallang sekali gus mengembangkan jumlah keseluruhannya kepada sembilan pusat.

Lapan daripada pusat tersebut terletak di kawasan kejiranan sementara cawangan utamanya terletak di kawasan indah di Bukit Batok yang berlatarkan sekitaran alam yang segar menghijau.

Sejauh ini, Prasekolah 7oaks menyediakan tempat bagi lebih 1,000 kanak-kanak. Empat daripada pusatnya mengendalikan bayi berusia dua bulan hingga kanak-kanak enam tahun sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan rendah. Lima yang lain menawarkan kelas bagi kanak-kanak berusia tiga tahun hingga enam tahun.

Pusat prasekolah yang inklusif ini menerima pelajar daripada setiap kaum dan agama dalam kalangan rakyat dan penduduk tetap.

Antara pencapaiannya selama ini ialah memperoleh pensijilan SPARK – pengiktirafan mutu dalam proses pengajaran, pembelajaran dan pengurusan.

Presiden PPIS, yang juga Pengerusi Oaks Plus Limited, yang menguruskan kesembilan-sembilan pusat prasekolah tersebut, Cik Hazlina Abdul Halim, menekankan peri pentingnya pembelajaran menyeluruh dan holistik yang menjadi kelebihan pusat tersebut selain kurikulum yang menarik.

Kata Cik Hazlina:

“Kurikulum kami mengamalkan pendekatan bersepadu kepada pembelajaran berdasarkan tema-tema daripada rangka kerja Memupuk Pelajar Awal (N.E.L) daripada Kementerian Pendidikan (MOE). Garis panduan utama rangka kerja N.E.L. telapun diterjemahkan kepada prinsip P.E.E.L (Play. Explore. Experience. Learn).”

Menjelaskan lebih lanjut tentang kurikulum, Pengurus, Penglibatan Pekerja dan Pembangunan Keupayaan, Cik Anizah Mohd Saleh, yang mempunyai tiga dekad pengalaman dalam pengendalian prasekolah berkata:

“Kanak-kanak mempelajari menerusi kaedah belajar sambil bermain semasa meneroka hal-hal yang menarik.

“Bagi kanak-kanak di bawah umur tiga tahun, mereka mengikuti kegiatan-kegiatan bersasarkan pemerhatian guru-guru yang mengutamakan pembangunan holistik melalui kaedah W.E.A.N. Ini bermaksud (Watch. Evaluate. Activities. Notes of Development). Kaedah ini sangat penting agar guru-guru terus mengikuti prinsip menjaga kanak-kanak secara hormat dan responsif.”

Satu keistimewaan Prasekolah 7oaks ialah pembelajaran yang berinspirasikan Reggio yang terkenal di Italy. Malah satu lawatan ke Italy pada 2019 telah dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Khidmat Kanak-Kanak, Cik Rahayu Mohamad, bersama tiga kakitangan demi mempelajari kaedah Reggio ini.

Salah seorang kakitangan yang menyertai lawatan tersebut ialah Cik Zulaihabe Talip, yang merupakan Penolong Pengurus Operasi dan Projek Istimewa. Beliau menjelaskan:

“Pembelajaran berinspirasikan Reggio mendorong kanak-kanak kami meneroka, menyoal dan menyuarakan pandangan dan intepretasi mereka sementara membina kemahiran berfikiran kritikal dan minat belajar.”

Kurikulum tersebut juga menampilkan nilai-nilai murni seperti saling menghormati dan sikap bertanggungjawab yang dipupuk dalam diri anak-anak menerusi keadaan persekitaran.

Salah satu ruang unik Pusat Prasekolah 7oaks ialah The Atelier, sebuah ruang yang membolehkan kanak-kanak mengekspresi diri secara artistik. Kanak-kanak digalakkan menjalankan projek atau kajian berdasarkan tajuk pilihan mereka.

Jelas Cik Hazlina:

“Dengan cara ini, kanak-kanak belajar melakukan projek secara berkumpulan dan bekerjasama bagi menggalakkan mereka berinteraksi daripada usia kecil.

“The Atelierista, atau Guru Atelier, juga bekerjasama dengan guru di pusat-pusat kami yang lain serta kanak-kanak, ibu bapa dan masyarakat untuk merangsang lagi pengalaman pembelajaran.”

Selain itu, Prasekolah 7oaks juga menawarkan program tambahan bagi meningkatkan nilai pengalaman pembelajaran pelajar kanak-kanak mereka.

Misalnya, ia menawarkan program pengayaan bahasa Arab di semua pusat, manakala pusatnya di Bukit Batok menganjurkan program ‘Nature Yoga’, di mana pelajar kanak-kanak mempelajari senaman yoga serta cara menenangkan diri.

Kata Cik Hazlina:

“Berdasarkan maklum balas guru dan ibu bapa, program itu membantu mempertingkatkan daya tumpuan dan keupayaan kemahiran motor pelajar kanak-kanak. Mereka belajar berasa tenang apabila menghadapi stres.”

Lebih menarik lagi, pusat terbarunya di Kallang yang terletak di Blok 115A, Jalan Ayer, buat julung-julung kalinya bakal menawarkan pembelajaran bahasa Mandarin.

Perkembangan Prasekolah 7oaks adalah komitmen PPIS sebagai rakan kongsinya untuk menawarkan pendidikan awal kanak-kanak yang bermutu buat masyarakat.

Nilai-nilai utama Prasekolah 7oaks ialah Collaborative (Kerjasama), Humility (Rendah Hati), Integrity (Integriti), Leadership (Kepimpinan) dan Drive (Dorongan), atau akronimnya CHILD.


Pada tahun ini, Prasekolah 7oaks yang dahulunya dikenali sebagai Taman Asuhan PPIS, menyambut ulang tahunnya yang ke-40 melalui kempen media sosial yang bertema ‘40 Refleksi untuk 40 Tahun’.

Satu Pesta Pembelajaran untuk meraikan kejayaannya selama 40 tahun telah diadakan pada 7 Oktober 2023, 10 pagi hingga 4 petang, di Lifelong Learning Institute. Pesta ini menampilkan persembahan oleh kanak-kanak Pusat Prasekolah 7oaks, bengkel untuk ibu bapa, kanak-kanak dan pendidik, dan kegiatan gerai yang tersebar di lima zon: Project Forti’tude, Groove to Move, Plug I.T., In Nature’s Lap dan ARTis✓.

“Dengan PPIS sebagai rakan kongsi Prasekolah 7oaks, kami harap lebih ramai keluarga dan ibu bapa mendapat sokongan dalam memastikan agar anak-anak mereka mempunyai akses kepada pendidikan awal kanak-kanak yang bermutu. Kami akan sentiasa membantu mereka yang memerlukan sokongan dan pertolongan,” kata Cik Hazlina.

Pada masa yang sama, Prasekolah 7oaks mengutamakan kakitangan dan pendidiknya agar terus mempertingkatkan diri.

Kata Pengurus Besar Oaks Plus Limited, Encik Syed Abu Bakar Mohamed Alsagoff:

“Kami telah menubuhkan jabatan ‘Penglibatan Pekerja’ yang dipimpin Cik Anizah. Jabatan ini memastikan agar kami mengenal pasti keperluan tenaga pendidik kami dan menggalakkan mereka menjalani latihan.”

Tambah Cik Anizah:

“Setiap kanak-kanak mempunyai keperluan yang berbeza. Justeru, setiap pendidik perlu mempunyai kemahiran untuk menyesuaikan pendekatan mereka menurut keperluan kanak-kanak tersebut.”

Mengakhiri wawancara khas ini, Cik Hazlina berkata:

“Setiap guru pendidikan awal kanak-kanak mesti bersedia memainkan pelbagai peranan dan terus mempertingkatkan kemahiran supaya mereka kekal relevan. Mereka juga perlu mempunyai minat dan kesabaran untuk mengasuh kanak-kanak di bawah jagaan mereka dengan penuh ikhlas dan ikhsan.”

Layari laman web, 7oaks.sg, untuk maklumat lanjut tentang Prasekolah 7oaks.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >