KEMENTERIAN Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengekalkan pertumbuhan ekonomi Singapura sebanyak 4 hingga 6 peratus tahun ini.
Ini setelah ekonomi menguncup 5.4 peratus pada 2020 disebabkan pandemik Covid-19. Ia adalah lebih baik dari ramalan awal yang menjangkakan penguncupan 5.8 peratus.
MTI berkata ramalan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) tahun ini mengambil-kira kemajuan dalam perkembangan vaksin Covid-19 dan suntikan vaksin yang mula dilaksanakan di dunia.
Imuniti terhadap wabak itu dijangka dicapai dalam kalangan penduduk Amerika dan Zon Euro sekitar separuh kedua tahun ini yang dapat mendorong pemulihan ekonomi.
Namun, MTI menyatakan bahawa ekonomi masih menghadapi risiko yang akan menjejas ekonomi termasuk peningkatan jangkitan di negara-negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia yang menyebabkan sekatan pergerakan dilaksanakan sekali lagi.
Risiko lain termasuk tekanan terhadap sistem kewangan yang boleh menjejas pemulihan ekonomi dan ketegangan geopolitik.
Di dalam negeri, keadaan Covid-19 terkawal sehaluan dengan program vaksin yang sedang rancak dilaksanakan.
Mengulas mengenai prestasi tahun lalu, MTI berkata ia adalah kemelesetan terburuk dihadapi Singapura sejak merdeka akibat pandemik Covid-19.
Di sebalik kelemahan sektor pelancongan dan penerbangan, sektor perkilangan masih dapat bertahan dan tumbuh 7.3 peratus tahun lalu.
Sektor binaan menjunam 35.9 peratus, manakala industri perkhidmatan susut 1.6 peratus.
Pada suku keempat tahun lalu, ekonomi susut 2.4 peratus, lebih baik dari penguncupan 5.8 peratus pada suku ketiga.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg