Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

Mudir Madrasah Aljunied yang baru pernah pimpin Madrasah Al-Arabiah selama 12 tahun

Nov 24, 2023 | 05:30 AM



Beliau telah bertugas dalam bidang pendidikan selama lebih 25 tahun. Hampir separuh daripada masa itu dihabiskan sebagai mudir, atau pengetua, Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah.

Sebelum itu, Encik Herman Cher Ma’in juga berpengalaman sebagai naib pengetua di dua sekolah aliran nasional, Sekolah Menengah Queensway (Disember 2007 hingga April 2011) dan Sekolah Menengah Teck Whye (Januari 2006 hingga November 2007).

Walaupun telah meraih pengalaman lebih daripada 15 tahun sebagai antara anggota kepimpinan beberapa sekolah, beliau masih tidak memandang mudah pertukaran ke Madrasah Aljunied Al-Islamiah sebagai mudir madrasah itu.

Encik Herman, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Herman, mula memegang jawatan mudir Madrasah Aljunied sejak Jun tahun ini.

“Walaupun dengan pengalaman tersebut, perubahan tidak pernah mudah. Walau bagaimanapun, kepercayaan dan keyakinan oleh Lembaga Pentadbir Madrasah Aljunied terhadap saya, kuatkan azam saya untuk menyahut cabaran dan lakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada pelajar, asatizah, guru dan kakitangan madrasah,” katanya.

Tambahnya lagi, untuk menyesuaikan diri dengan set tradisi di Madrasah Aljunied perlukan masa dan usaha.

Namun, itu tidak sedikit pun memudarkan semangat beliau untuk memupuk budaya pembelajaran berterusan dan peningkatan dalam kalangan kakitangan dan pelajar Madrasah Aljunied, serta memperkasa mereka untuk mencapai prestasi potensi penuh mereka.

Pada hari pertama sekolah, selepas cuti sekolah bulan Jun, mudir berusia 56 tahun itu telah meminta para pelajar menulis surat kepadanya untuk memperkenalkan diri mereka. Beliau ingin mengetahui apakah yang mereka suka tentang madrasah, apakah yang mereka ingin diperbaiki di madrasah dan cita-cita mereka.

“Saya terkejut menerima lebih daripada 400 surat pada hari itu. Daripada surat-surat itu, saya dapat menangani beberapa kebimbangan mereka dengan segera dan berusaha ke arah menangani penambahbaikan sistematik sewaktu Latihan Perancangan Strategik tiga tahun Madrasah Aljunied yang akan berlangsung pada minggu ketiga atau keempat bulan ini (November),” kongsinya.

Antara perubahan yang telah beliau laksanakan termasuk memastikan mutu makanan di kantin madrasah dipertingkat hasil maklum balas daripada pelajar. Beliau juga turut memberi penjelasan kepada mereka tentang kenaikan harga makanan, satu lagi keprihatinan yang ditimbulkan pelajar.

Selain pelajar, Encik Herman juga giat mendekati asatizah dan guru-guru madrasah untuk mendapatkan maklum balas mereka. Hasilnya, Madrasah Aljunied kini mempunyai bilik sakit, atau ‘sick bay’, yang lebih selesa untuk pelajar yang kurang sihat berehat dan menunggu ibu bapa mereka.


Baginya, penting setiap pelajar dan kakitangan mempunyai platform untuk berkongsi dengannya pendapat dan kerisauan mereka demi peningkatan madrasah.

Selain usaha memperbaiki keadaan di madrasah itu sendiri, Encik Herman juga ingin mengambil pendekatan lebih makro demi menggalakkan keupayaan pelajar dan memperkasa pelajar agar mengambil peranan kepimpinan dalam masyarakat madrasah.

Ini termasuk melakarkan program bimbingan, latihan kepimpinan, dan peluang untuk pelajar melibatkan diri secara aktif dalam proses membuat keputusan.

“Menggalakkan budaya kerjasama dan tanggungjawab, kami berhasrat untuk memupuk mutu kepimpinan yang diilhamkan oleh prinsip Islam, memupuk semangat perkhidmatan, kerendahan hati, dan keupayaan untuk membimbing dan memberi ilham kepada orang lain. Sesi maklum balas yang kerap dan pengiktirafan terhadap usaha kepimpinan juga akan menjadi penting kepada kejayaan program,” jelasnya.

Tambahnya, madrasah menekankan pertumbuhan holistik pelajar dengan memberi tumpuan kepada aspek rohani, moral, akademik, dan pembangunan sosial pelajar. Ini termasuk memupuk nilai-nilai seperti asas yang kukuh dalam ajaran Islam, keikhlasan, integriti moral, belas kasihan, empati, berkhidmat kepada orang lain, kecemerlangan akademik, dan pemupukan kemahiran berfikir secara kritis.

Matlamatnya adalah untuk memupuk individu yang berpengetahuan luas yang menyumbang positif kepada masyarakat di samping menegakkan prinsip akidah Islam, ujarnya, sambil melahirkan rasa optimis tentang masa depan para pelajar madrasah setelah tamat pendidikan.

“Saya menjangka pelajar madrasah kami memberi sumbangan bermakna dengan menjadi tunggak komuniti mereka, pemimpin yang menggalakkan keharmonian, dan individu yang terlibat secara aktif dalam usaha amal dan kemanusiaan. Pendidikan mereka melengkapkan mereka untuk menyumbang secara positif kepada masyarakat, memupuk persefahaman dan menjiwai nilai-nilai belas kasihan dan keadilan yang terkandung dalam ajaran Islam,” katanya.

Encik Herman juga berpendapat lulusan madrasah di Singapura boleh menyumbang kepada masyarakat dalam pelbagai kapasiti, contohnya, sebagai pendidik, penyelidik atau pemimpin masyarakat, mengambil bahagian secara aktif dalam dialog antara agama dan menggalakkan pemahaman agama.

Selain itu, katanya, mereka boleh cemerlang dalam bidang seperti kaunseling, kerja sosial, dan pembangunan komuniti dengan memanfaatkan kekuatan asas moral mereka untuk memberi sumbangan positif kepada masyarakat Singapura yang pelbagai dan sekular.

Tambahnya, matlamatnya adalah agar lulusan madrasah dapat berintegrasi dengan lancar ke dalam pelbagai bidang profesional sambil menegakkan nilai-nilai Islam mereka.

“Lulusan madrasah yang mempunyai kerjaya dalam sektor bukan agama boleh aktif menyokong sektor agama dengan mengintegrasikan nilai mereka ke dalam kehidupan profesional mereka. Sebagai contoh, peguam boleh memperjuang keadilan dan amalan etika, ahli sains boleh melibatkan diri dalam penyelidikan yang sejajar dengan pertimbangan etika, dan karyawan dalam pelbagai bidang boleh menyumbang kepada projek pembangunan masyarakat,” ujarnya.

Selain itu, tambahnya, mereka boleh mengambil bahagian dalam program bimbingan, berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka dengan individu yang bercita-cita tinggi dalam sektor agama dan menerapkan prinsip-prinsip Islam dalam kerja mereka.

Jelasnya lagi, lulusan madrasah boleh memberi sumbangan bermakna kepada kedua-dua profesion mereka dan komuniti agama yang lebih luas.

Bagi bakal pendidik dan pemimpin dalam sektor agama, Encik Herman menasihatkan agar mengutamakan pemahaman yang mendalam tentang kedua-dua prinsip pendidikan dan pegangan iman mereka.

Nasihatnya:

“Cari tujuan hidup anda dan tentukan misi hidup anda. Sokong pembelajaran berterusan, kekal terbuka untuk pelbagai perspektif, dan membangunkan kemahiran komunikasi yang kuat untuk menyampaikan pemikiran dan idea anda dengan berkesan. Tanamkan kerendahan hati, kerana ia penting dalam membimbing orang lain, dan dapatkan bimbingan daripada pemimpin yang berpengalaman.

“Akhir sekali, terlibat secara aktif dengan komuniti anda, fahami keperluan mereka, dan bekerja secara kolaboratif untuk memupuk persekitaran pendidikan yang positif dan inklusif.”

LATAR BELAKANG MUDIR


Nama: Herman Cher Ma’in


Umur: 56 tahun


Pendidikan:


1. Sarjana, Kepimpinan dan Perubahan Pendidikan, Teachers College, Universiti Columbia. 
2. Diploma, Kepimpinan dalam Pendidikan, Universiti Teknologi Nanyang.
3. Diploma Pengurusan Jabatan, Universiti Teknologi Nanyang.
4. Diploma Possiswazah Pendidikan (Menengah), Matematik, Desain & Teknologi, Universiti Teknologi Nanyang.

Pekerjaan: Pengetua, Madrasah Aljunied Al-Islamiah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >