Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Palang Merah S’pura mahu penderma darah lebih muda

Jun 29, 2024 | 4:08 PM
Palang Merah Singapura berharap dapat tingkatkan  kumpulan penderma belia kepada 25 peratus daripada 15 peratus sekarang. Sepanjang dekad yang lalu, peratusan penderma belia telah merosot sebanyak separuh, daripada 31 peratus pada 2013.
Palang Merah Singapura berharap dapat tingkatkan kumpulan penderma belia kepada 25 peratus daripada 15 peratus sekarang. Sepanjang dekad yang lalu, peratusan penderma belia telah merosot sebanyak separuh, daripada 31 peratus pada 2013. - Foto ST

Inisiatif baru yang dilancarkan Palang Merah Singapura (SRC) kini menyasarkan untuk melibatkan 500 belia berumur 16 hingga 25 tahun dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menjelang 2030, organisasi itu juga berharap dapat meningkatkan kumpulan penderma belia kepada 25 peratus daripada 15 peratus sekarang.

Sepanjang dekad yang lalu, peratusan penderma belia telah merosot sebanyak separuh, daripada 31 peratus pada 2013.

“Trend ini menggariskan keperluan mendesak untuk melibatkan diri secara aktif dan melibatkan belia kita dalam menderma darah,” kata Menteri Negara Kesihatan, Cik Rahayu Mahzam, ketika melancarkan inisiatif tersebut sempena Hari Penderma Darah Sedunia di Ekspo dan Pusat Konvensyen Marina Bay Sands pada 29 Jun.

Cik Rahayu, yang juga seorang penderma darah, berkata penglibatan aktif belia hari ini adalah penting dalam memastikan kelestarian bekalan darah masa depan Singapura.

Inisiatif yang dipanggil YouthInspired, akan menyaksikan SRC cuba membina hubungan dengan golongan muda melalui acara dan kempen, lapor The Straits Times.

Salah satu kempen utama YouthInspired pada 2024 ialah Marathon Derma Darah Belia Asia Pasifik.

Apabila ia kali terakhir diadakan pada 2022, pelajar dari 14 universiti di Singapura, Hongkong dan Korea mengambil bahagian dalam inisiatif itu.

Dalam acara yang akan datang, lebih banyak negara dan institut pengajian tinggi akan mengambil bahagian, kata Cik Rahayu, yang juga Menteri Negara bagi Perhubungan dan Penerangan.

Pengerusi SRC, Encik Tan Kai Hoe, berkata bahawa setiap tahun, penderma darah membentuk kira-kira 1.8 peratus daripada penduduk yang bermastautin di Singapura - yang bermakna sekitar 77,000 penderma menyumbang bagi keperluan pemindahan darah di sini.

SRC akan terus melibatkan pelajar sekolah - termasuk mereka yang berumur 15 tahun ke bawah yang belum cukup umur untuk menderma - melalui perjalanan pembelajaran ke bank darah dan aktiviti pendidikan dan kegiatan lain di sekolah dan institut pengajian tinggi, ujarnya.

Kumpulan beruniform Belia Palang Merah, melalui Program Penderma Darah Belia, memupuk penyokong derma darah di sekolah rendah dan menengah.

SRC juga bekerjasama rapat dengan institusi pengajian tinggi untuk menganjurkan aktiviti jangkauan dan kempen derma darah di kampus.

Permintaan darah akan meningkat dengan penduduk Singapura semakin tua, kata Cik Rahayu sambil menyatakan bahawa penduduk berumur 65 tahun ke atas kini merupakan hampir satu perlima daripada penduduk Singapura, berbanding 11.7 peratus daripada sedekad lalu.

Kajian Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mendedahkan bahawa pesakit berumur 60 tahun ke atas menyumbang 60 peratus daripada penggunaan darah.

Apabila seseorang meningkat usia, kemungkinan mereka memerlukan pemindahan darah meningkat disebabkan oleh kerentanan yang lebih tinggi kepada anemia dan menghidap dua atau lebih penyakit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg