Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

Peluang terbuka bagi asatizah capai kepimpinan tinggi

Pembaharuan kepimpinan dalam sektor madrasah sepenuh masa terus berubah demi kejayaan
Dec 01, 2023 | 05:30 AM



Setelah berkhidmat sebagai Naib Pengetua Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) selama dua dekad, Cik Aisha Abdul Manaf, menjangkakan beliau akan bersara daripada sektor pendidikan madrasah dalam jawatan yang sama.

Namun, pada Jun tahun ini (2023), Cik Aisha, 59 tahun, telah dilantik sebagai pemangku pengetua madrasah itu.

“Sebagai seorang introvert, saya paling selesa berada di belakang, memainkan peranan saya dan menyokong pengetua. Menjadi saluran antara pengetua dengan pengurus pertengahan dan mengemudi semua orang ke arah yang sama,” jelas Cik Aisha.


Pelantikan Cik Aisha merupakan sebahagian daripada kitaran pembaharuan kepimpinan dalam sektor madrasah sepenuh masa. Dalam kenyataannya ketika pengumuman pelantikan ini dibuat, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata:

“Saban tahun, madrasah kita telah membangunkan pasukan kepimpinan mereka demi memastikan kestabilan, serta menetapkan arah tuju dan membuat transformasi.

“Proses pembaharuan kepimpinan juga membolehkan madrasah kita meraih daripada perspektif baru dan mengupayakan pengetua berpengalaman untuk berkongsi amalan terbaik di serata madrasah.”

Malah Cik Aisha sendiri meraih manfaat daripada pengalaman bekerja dengan pengetua-pengetua terdahulu MAI, yang pernah bertugas dalam sektor keagamaan atau daripada pendidikan sekular.

“Daripada pengetua yang dilatih secara ukhrawi, saya belajar untuk memperbaiki dan meningkatkan pertumbuhan rohani saya sendiri melalui pelbagai ibadah dan amalan sunah yang dirancang dan dilaksanakan untuk pelajar dan kakitangan di madrasah seperti qiamullail, khatamul Quran, dan lain-lain. Datang daripada latar belakang bukan madrasah, yang ini bukan perkara biasa (bagi saya), ia adalah sesuatu yang paling saya hargai daripada mereka,” luahnya.


Bagi pengetua yang pernah memegang jawatan kepimpinan di sekolah nasional, beliau belajar tentang dasar pendidikan dan tadbir urus, serta pentadbiran dan pengurusan madrasah yang betul.

Katanya, beliau banyak belajar, terutamanya daripada Encik Herman Cher Ma’in. Mereka bekerjasama selama 12 tahun semasa Encik Herman menjadi mudir MAI. Kini, Encik Herman memegang jawatan mudir Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Cik Aisha merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Mount Vernon dan mengambil Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘A’ secara persendirian. Beliau mempunyai kelulusan Diploma Pendidikan daripada AEC-Universiti Edith Cowan dan sijil Program Antarabangsa Pemimpin dalam Pendidikan (LEPI) daripada Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Daripada pengalamannya sebagai naib pengetua dan pengetua, Cik Aisha percaya asatizah di madrasah mempunyai peluang meningkatkan diri dan mengikuti landasan kepimpinan jika mereka berminat dan berpotensi.

Menurutnya, secara dasarnya ada dua landasan – landasan kepimpinan dan landasan pengajaran.

Jelasnya, landasan kepimpinan adalah untuk mereka yang telah dikenal pasti bakal memainkan peranan penting dalam kepimpinan seperti menggalas jawatan ketua jabatan, naib pengetua atau pengetua.

Landasan pengajaran pula bagi guru-guru yang baru yang kemudian akan menjadi guru terlatih, koordinator dan ketua subjek.

Tambahnya, peranannya sebagai naib pengetua sebelum ini, bersama-sama pengetua, adalah memastikan kakitangannya diberi latihan yang relevan dan diberi peluang yang cukup untuk berkembang sebagai guru profesional dan meraih lebih banyak pengalaman. Beliau turut melihat jika mereka ada potensi untuk menyandang jawatan yang lebih tinggi.

“Di situlah perancangan penggantian kami dilaksanakan. Orang pertama yang kami lihat ialah ketua jabatan – siapa antara mereka yang kami rasa boleh diberi tanggungjawab yang lebih dan berkongsi tanggungjawab. Kami membimbing mereka untuk sama-sama membuat keputusan bersama kami. Kami jemput mereka untuk berbincang dan lihat cara pemikiran mereka,” jelasnya tentang proses memupuk kepimpinan baru.

Antara kakitangan yang telah dikenal pasti ialah Encik Abdul Ghani Mohd Isa, yang baru dilantik sebagai naib pengetua MAI bermula Jun ini. Sebelum ini, beliau menyandang tugas sebagai ketua jabatan di MAI.

Encik Abdul Ghani, 42 tahun, bermula sebagai guru matematik di Sekolah Rendah Elias Park. Beliau bertugas selama 10 tahun di situ sebelum beralih ke sektor madrasah atas pelawaan rakan-rakan guru yang terlebih dahulu membuat peralihan itu.

Bekas pelajar Maktab Rendah Temasek itu mempunyai ijazah sarjana muda dalam pendidikan dengan pengkhususan dalam Pendidikan Matematik daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan merupakan seorang guru terlatih daripada Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Beliau pernah bertugas di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah dan Sekolah Pathlight sebelum menyertai MAI pada tahun 2017.

“Madrasah memberi lebih banyak peluang untuk seorang guru membangunkan (keupayaan) diri dengan meningkatkan kemahiran sebagai persediaan untuk (memegang) jawatan kepimpinan. Madrasah juga menawarkan program-program, seperti menghantar guru-guru yang berpotensi memegang jawatan yang lebih tinggi, ke kursus-kursus kepimpinan di NIE,” kata Encik Abdul Ghani.

Beliau juga merupakan antara mereka yang telah meraih manfaat daripada program sedemikian. Semasa masih menjawat ketua jabatan di MAI, Majlis Ugama Islam Singapura, (Muis) telah menghantarnya menghadiri program 17 minggu dalam Pengurusan dan Kepimpinan di Sekolah (MLS) di NIE.

Hasil penyertaan dalam program itu, Encik Abdul Ghani mempelajari bagaimana untuk melihat sesuatu isu, masalah atau cabaran daripada pelbagai sudut pandangan.

Selain kursus kepimpinan di NIE, semasa Encik Abdul Ghani mengambil kursus Sarjana Pendidikan dengan pengkhususan dalam bidang Penilaian Pendidikan, sebahagian yuran kursus sarjana itu dibiayai Muis.

Katanya, pembiayaan separa bagi kursus sarjana itu merupakan satu lagi cara Muis membantu guru madrasah yang ingin memegang jawatan kepimpinan, meningkatkan diri mereka.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >