Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pencalonan bagi Anugerah Jauhari 2024 dibuka

Jul 22, 2024 | 2:38 PM
Hantarkan permohonan bagi calon-calon yang sesuai yang layak mendapat gelaran pemenang Anugerah Jauhari 2024.
Hantarkan permohonan bagi calon-calon yang sesuai yang layak mendapat gelaran pemenang Anugerah Jauhari 2024. - Foto BH

Siapakah pemenang Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) 2024?

Pencalonan bagi anugerah tahunan BH kini dibuka bagi mencari individu atau pertubuhan dalam masyarakat Melayu/Islam yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang yang diceburi.

Tahun 2024 merupakan tahun ke-26 BH menganjurkan anugerah penuh berprestij ini.

Pemenang Anugerah Jauhari 2023 dimenangi mantan Pengarah Urusan SMRT Laluan Thomson-East Coast (TEL), Encik Shahrin Abdol Salam, yang kini menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SingPost Singapura sejak 1 Mei.

“Bertemakan ‘Mencorak Perjalanan Baru’, anugerah ini ingin mencari ‘jauhari’ yang berwawasan di Singapura yang berani merintis perjalanan baru di tengah-tengah gangguan, mengubah cabaran menjadi peluang dan mencapai kejayaan luar biasa dalam bidang masing-masing,’‘ ujar Editor BH, Encik Nazry Mokhtar.

Pencapaian pemenang ini akan menjadi inspirasi dan membuka jalan ke arah kecemerlangan bagi generasi seterusnya.

Sejak 26 tahun lalu, BH telah mengiktiraf individu berjaya dalam pelbagai bidang, termasuk perbankan, keusahawanan, bantuan kemanusiaan, fesyen, sukan dan budaya.

Mereka termasuk mantan Presiden, Puan Halimah Yacob; mantan CEO Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari; pereka fesyen, Encik Ashley Isham; pakar jantung, Dr Abdul Razakjr Omar; dan Imam Masjid Ba’alwie yang juga pejuang keharmonian antara agama, Habib Syed Hassan Al-Attas.

Sebuah panel pengadil Anugerah Jauhari BH, yang dibentuk pada 2023, akan memilih pemenang.

Panel pengadil terdiri daripada empat orang dan diterajui oleh Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed, dan dianggotai Encik Nazry Mokhtar; mantan Anggota Parlimen (AP) yang juga Profesor Madya Kelompok Perniagaan, Perhubungan dan Rekaan di Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Timbalan Pengarah Pusat Kepimpinan Masyarakat dan Inovasi Sosial SIT, Dr Intan Azura Mokhtar; serta Zamil Kanan yang juga Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.

Di samping Anugerah Jauhari, pencalonan bagi Anugerah Jauhari Harapan juga dibuka.

Individu yang dicalonkan bagi anugerah tersebut harus berusia 30 tahun atau ke bawah dan telah menunjukkan pencapaian dan potensi dalam bidang tersendiri.

Pemenang Jauhari Harapan 2023 ialah penggubah lagu dan penyanyi muda, Shazza, atau nama asalnya, Shareefa Aminah Abdul Shariff.

Pemenang Anugerah Jauhari Harapan yang lain termasuk petinju profesional, Muhammad Ridhwan ‘The Chosen Wan’; pendayung negara dan atlet Olimpik, Saiyidah Aisyah Mohamed; dan penerima biasiswa presiden, Muhammad Dhafer Muhammad Faishal.

Mereka yang ingin membuat pencalonan boleh mengisi borang elektronik di https://event.sph.com.sg/bhaoy24.

Sertakan juga pencapaian dan sebab individu atau pertubuhan tersebut layak menerima anugerah ini.

Sertakan juga nama penuh pencalon dan kaitan pencalon dengan individu atau pertubuhan yang dicalonkan.

Pencalonan ditutup pada 11 Ogos. Anugerah ini dipersembahkan oleh FairPrice Group.

BUTIRAN ANUGERAH

ANUGERAH JAUHARI BERITA HARIAN

Mengiktiraf sumbangan dan pencapaian cemerlang individu atau pertubuhan Melayu/Islam dalam bidang masing-masing.

ANUGERAH JAUHARI HARAPAN

Individu harus berusia 30 tahun atau ke bawah, dan telah menunjukkan pencapaian dan potensi dalam bidang tersendiri.

CARA BUAT PENCALONAN

Isi borang elektronik (https://www.gevme.com/bhaoy2024) lengkap dengan senarai pencapaian dan sebab individu atau pertubuhan tersebut layak menerima anugerah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg