MASJID Darul Makmur, yang berdiri megah di Yishun Avenue 2, kini memasuki usia ke-36 dan memulakan proses peningkatan kemudahan bagi mengekalkan hubungan dan memenuhi keperluan jemaah. Sejak beroperasi, jumlah jemaah yang beribadah di masjid ini tidak pernah susut, sehingga ramai terpaksa menunaikan solat Jumaat di kawasan terbuka masjid dan di bawah blok kejiranan semasa solat Jumaat serta solat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Menyusuri sejarah masjid ini, Pengerusi Eksekutif, Encik Izuan Mohd Rais, memberi pencerahan:
“Rancangan mendirikan sebuah masjid ini tercetus oleh sukarelawan dan pemimpin masyarakat di Yishun pada 1984. Masyarakat di estet perumahan kejiranan baru yang baru mula berkembang pada waktu itu memberikan sokongan yang amat menggalakkan.”
Masjid Darul Makmur telah dibuka secara rasmi pada Julai 1987 dan ahli Lembaga Pentadbir Masjid Darul Makmur penggal ke-15 bersama warga kerja masjid sepenuh masa kini sedang berusaha mengumpulkan dana bagi menampung kos peningkatan masjid. Antara peningkatan utama yang bakal dilakukan ialah pemasangan lif untuk memudahkan pergerakan jemaah dari aras satu ke aras tiga.
“Dengan adanya lif ini, golongan Muslimah, yang dewan solat mereka berada di aras tiga, akan dapat bergerak dengan lebih mudah. Kami amat prihatin berhubung keselesaan jemaah, terutama golongan warga emas yang terpaksa menghadapi kesusahan menaiki tangga hingga ke aras tiga,” ujar Encik Izuan.
Seorang jemaah masjid, Encik Mohd Noh Abdullah, 73 tahun, menyambut baik rancangan penambahan lif ini.
“Saya dan ramai lagi warga emas perlu menaiki tangga dari aras satu untuk ke dewan solat utama. Dengan adanya lif, ia akan sangat membantu golongan warga emas, terutama mereka yang menggunakan alat mobiliti peribadi (PMD),” ujarnya.
Pengumpulan dana peningkatan telah bermula sejak sambutan ulang tahun masjid yang ke-30 pada 2017. Pelbagai kegiatan pengumpulan dana telah dijalankan demi memastikan kewangan masjid mantap bagi menjalani proses peningkatan apabila tiba masanya.
Namun, usaha pengumpulan dana terpaksa dihentikan seketika dan tidak dapat dilaksanakan akibat penutupan masjid pada Mac 2023 ini. Penutupan ini turut menjejas tabung harian masjid Darul Makmur dan semua masjid di Singapura memandangkan ruang masjid dibuka dengan terbatas hanya kepada jumlah jemaah yang terhad untuk menunaikan solat fardu bersama.
“Dengan norma baru sekarang ini, kami mula mencari dana melalui media sosial dan juga sumbangan derma khas yang kami usahakan. Kami amat berharap sokongan dan sumbangan penderma agar projek peningkatan ini dapat dijalankan dengan lancar apabila ia bermula nanti,” kata Encik Izuan.
Masjid Darul Makmur yang kini ditutup telah mempersiap ruang kecil untuk solat harian yang mampu menampung kira-kira 60 orang. Ruang ini, yang dibuka di antara 10 pagi dengan 9 malam setiap hari, ditujukan untuk memberi ruang kepada pekerja dan pemandu untuk menunaikan solat. Selain itu, sebuah kaunter derma juga akan diadakan di kawasan ini untuk memudahkan masyarakat awam memberi sumbangan derma mereka.
Buat sementara waktu, tapak Sekolah Menengah North View di Yishun Ring Road telah disewa oleh pihak masjid untuk menganjurkan solat fardu Jumaat dan Hari Raya. Solat Jumaat telah dimulakan di tempat ini sejak 12 Mei 2023. Walaupun ruang di tempat ini terhad, pihak masjid menggalakkan jemaah yang memiliki kenderaan agar menunaikan solat Jumaat di masjid lain yang berdekatan.
Di samping pengumpulan dana dan peningkatan kemudahan, pihak Masjid Darul Makmur juga giat melaksanakan program-program khas dan kegiatan kemasyarakatan. Encik Izuan berkata:
“Bagaimanapun, kegiatan kemasyarakatan dan pengumpulan dana menerusi program dan kegiatan yang telah dirancang awal tahun ini terhenti seketika dan tidak dapat dilaksanakan akibat penutupan masjid pada Mac 2023 ini. Kami mencari jalan lain untuk terus berfungsi dan berkhidmat kepada masyarakat.”
Pihak masjid berharap dapat mengumpul lagi baki $7 juta dalam masa dua tahun ini untuk melancarkan dan menyelesaikan projek peningkatan ini. Mereka juga merayu kepada masyarakat memberikan sokongan dan sumbangan agar masjid ini dapat terus beroperasi dan menyediakan tempat ibadah yang selesa dan memadai untuk jemaah.
Penderma boleh memberi sumbangan kepada Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur dengan sumbangan kepada Dana Wakaf atau sumbangan Infaq Khas.
Sumbangan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melalui:
PayNow ke UEN: S87MQ0033J.
Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001.
Melalui cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke alamat 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.
Hadir ke Pejabat Masjid Darul Makmur atau di Masjid Assyafaah pada waktu pejabat.
Hubungi pejabat di talian 6752-1402 untuk pengambilan derma $500 ke atas dari rumah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg