Seorang lelaki yang sudah berumah tangga mencari dan mengumpul bahan-bahan seksual melibatkan kanak-kanak secara dalam talian sehingga mencecah 304 rakaman video.
Pada 4 November, Mohamad Fadli Kamaral Jaman, 36 tahun, dijatuhi hukuman penjara dua tahun satu bulan dan empat sebatan selepas dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan memiliki bahan penderaan seksual kanak-kanak, lapor The Straits Times.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Benjamin Low memberitahu mahkamah bahawa pada 2022, Fadli sedang melayari laman web lucah apabila dia menemui video seorang kanak-kanak melakukan aktiviti seksual dengan orang dewasa.
Tidak lama selepas itu, dia menggunakan program perkongsian fail untuk mencari bahan “praremaja” dan memuat turunnya ke cakera padat untuk tontonannya sendiri.
Tanpa mendedahkan butiran, DPP Low berkata pegawai polis dari Cawangan Jenayah Khusus, Jabatan Siasatan Jenayah, kemudian menerima maklumat mengenai kesalahan yang Fadli lakukan.
Polis menyerbu rumahnya pada 20 Februari 2023.
DPP Low menambah: “Tertuduh kemudiannya dihubungi oleh isterinya... yang memaklumkan kepadanya bahawa pegawai polis berada di kediaman mereka dan meminta tertuduh pulang ke rumah dengan segera.”
Sejurus tiba di rumah, Fadli ditahan selepas dia mengaku kepada pegawai bahawa dia telah memuat turun bahan seksual melibatkan kanak-kanak.
Komputer dan cakera padatnya kemudiannya didapati mengandungi 304 video yang menunjukkan kandungan sedemikian.
Sebelum ini, seorang guru yang memuat turun bahan penderaan seksual kanak-kanak dan membuat filem lucah di unit kondominiumnya, dijatuhi hukuman penjara 13 bulan.
Semasa siasatan, Eugene Quake, 40 tahun, enggan memberikan polis kata laluan ke komputer riba, iPhone dan MacBooknya, yang mungkin mengandungi lebih banyak bahan lucah kanak-kanak.
Namun, pada 15 Ogos, Quake mengaku bersalah atas satu tuduhan memiliki bahan penderaan kanak-kanak, dan satu lagi tuduhan menghalang perjalanan keadilan.
Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Cik Sun Xueling, berkata pada September bahawa sejak 2020, terdapat kira-kira 140 siasatan polis terhadap kes yang melibatkan bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Kesalahan memiliki bahan sedemikian berkuat kuasa pada Januari 2020. Pesalah berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun, dan juga boleh didenda atau disebat dengan rotan.
Menurut perangkaan badan kehakiman Singapura, jumlah kes telah meningkat sejak 2020. Terdapat satu kes pada tahun itu, tetapi tiada sebarang kes pada 2021.
Namun, ia melonjak kepada lima kes pada 2022 dan tujuh kes pada 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg