Sebuah laman web pekerjaan khusus untuk sektor perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) telah dilancarkan untuk menarik lebih ramai rakyat Singapura menyertai kerjaya tersebut.
Dikenali sebagai FABJobs, atau singkatan untuk pekerjaan F&B, ia dibangunkan bersama oleh Persatuan Restoran Singapura (RAS) dan FastCo, syarikat di sebalik portal FastJobs, portal cari kerja bagi pekerja kolar biru lapor The Business Times.
Satu trend utama yang dihadapi oleh sektor perkhidmatan makanan ialah peningkatan persaingan untuk pekerja, kata Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, di majlis pelancaran portal itu pada 26 Jun.
Beliau menyatakan demikian dalam Restaurant Asia tahun ini, acara utama untuk perusahaan F&B di seluruh rantau ini. Acara ini dianjurkan oleh RAS dan Kumpulan Pameran Italy.
Idea untuk melancarkan laman web pekerjaan bagi sektor perkhidmatan makanan pertama kali dicetuskan setahun yang lalu “sebagai tindak balas kepada masalah berkaitan cabaran tenaga kerja kami yang berterusan”, kata Presiden RAS, Encik Andrew Kwan.
Tidak seperti portal pekerjaan umum, FABJobs disesuaikan dengan keperluan dan keutamaan syarikat perkhidmatan makanan dan pencari kerja.
Syarikat boleh menyesuaikan halaman masing-masing untuk menyerlahkan cadangan bernilai unik mereka, membolehkan mereka “merekrut dengan lebih bijak dan mungkin melatih semula calon yang betul”, katanya.
Pencari kerja pula boleh mengenal pasti peluang pekerjaan menggunakan metrik utama seperti lokasi dan jenis majikan – contohnya, sama ada pekerjaan sepenuh masa atau separuh masa ditawarkan.
Cik Low berkata: “Peluasan reka bentuk sedemikian penting untuk sektor perkhidmatan makanan, dan ini akan memudahkan padanan yang lebih lancar antara keperluan syarikat F&B dengan keutamaan pencari kerja.”
FABJobs juga berhasrat untuk menarik penyertaan tenaga kerja yang lebih besar daripada pencari kerja yang tidak aktif, tambahnya.
Beliau memberi contoh, laman web itu mempunyai ciri khusus untuk suri rumah tangga “bertujuan untuk mengurangkan halangan yang dihadapi oleh mereka untuk menyertai semula tenaga kerja”.
Pelancaran FABJobs didorong oleh beberapa inisiatif untuk melabur dalam modal insan untuk industri F&B.
Perancangan Perubahan Pekerjaan untuk sektor perkhidmatan makanan telah dilancarkan pada Mei 2023, manakala Enterprise Singapore telah bekerjasama dengan institut pengajian tinggi dan rakan kongsi industri untuk membangunkan buku latihan khusus industri berkenaan.
Dilancarkan baru-baru ini, buku tersebut berupa panduan langkah demi langkah bagi membantu syarikat perkhidmatan makanan mengenal pasti bidang tumpuan mereka, dan menstruktur latihan amali untuk bakat muda.
“
“Peluasan reka bentuk sedemikian penting untuk sektor perkhidmatan makanan, dan ini akan memudahkan padanan yang lebih lancar antara keperluan syarikat dengan keutamaan pencari kerja.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg