Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PSA tingkat kapasiti untuk atasi kesesakan di pelabuhan

May 31, 2024 | 4:01 PM
PSA Singapura sedang meningkatkan tenaga kerja dan kapasiti pengendalian kontena di tengah-tengah kelewatan penghantaran yang disebabkan kesesakan pelabuhan.
PSA Singapura sedang meningkatkan tenaga kerja dan kapasiti pengendalian kontena di tengah-tengah kelewatan penghantaran yang disebabkan kesesakan pelabuhan. - Foto AFP

Pengendali pelabuhan PSA Singapura sedang meningkatkan tenaga kerja dan kapasiti pengendalian kontena di tengah-tengah kelewatan penghantaran yang disebabkan oleh kesesakan pelabuhan.

PSA telah mengaktifkan semula dermaga dan limbungan lama di Terminal Keppel.

Ini sekali gus telah membantu meningkatkan bilangan kontena yang dikendalikan setiap minggu daripada 770,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kepada 820,000 TEU.

Tiga dermaga baru juga dijangka memulakan operasi di Pelabuhan Tuas pada hujung 2024, kata Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam satu kenyataan pada 30 Mei.

Pelabuhan Tuas kini mempunyai lapan dermaga.

Kenyataan MPA dikeluarkan ketika Singapura mengalami peningkatan besar dalam jumlah kontena dan kapal yang tiba di luar jadual akibat gangguan rantaian bekalan.

Singapura mengendalikan sejumlah 13.36 juta TEU dalam empat bulan pertama 2024 - peningkatan 8.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Gangguan itu juga menyebabkan beberapa kapal memilih melepaskan lebih banyak kontena di Singapura dan meninggalkan pelayaran seterusnya supaya mereka dapat mengejar jadual seterusnya, tambah MPA.

MPA berkata bahawa purata masa menunggu untuk tempat berlabuh bagi kapal kontena boleh mengambil masa dari dua hingga tiga hari.

MPA berkata PSA telah bekerjasama dengan kapal kontena untuk menyelaraskan jadual ketibaan jika boleh untuk mengurangkan kesesakan.

Laman web risikan industri kapal kontena Linerlytica melaporkan pada 28 Mei bahawa kesesakan pelabuhan di Singapura telah memaksa beberapa kapal untuk tidak berhenti di sini kerana kelewatan boleh mencecah sehingga tujuh hari.

Global Airfreight International, yang mengendalikan kedua-dua kargo udara dan laut sebagai penghantar, telah menyaksikan 70 peratus penghantaran lautnya ditangguhkan, lapor The Business Times pada 30 Mei.

Selain kapal-kapal kontena, kapal lain yang berkunjung ke Singapura - yang membentuk kira-kira dua pertiga daripada semua ketibaan kapal - tidak mengalami kelewatan, kata MPA.

Ia menambah bahawa tiada kesesakan di tempat berlabuh. Aktiviti bekalan semula dan punggah-memunggah yang berlaku di dalam pelabuhan, juga tidak terjejas.

“MPA dan PSA bekerjasama rapat dengan pihak perkapalan kontena dan pengendali serantau untuk mengemas kini ketersediaan dermaga mereka dan menasihati mereka mengenai masa ketibaan untuk meminimumkan kelewatan ketika berlabuh,” kata MPA lagi.

Pelabuhan Singapura mencatat satu pencapaian baru apabila jumlah muatan kapal yang tiba di negara ini pada 2023 mencapai rekod tiga bilion tan kasar (GT).

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, MPA berkata pelabuhan Singapura meraikan pencapaian itu dengan ketibaan kapal kontena ONE OLYMPUS di Terminal Pasir Panjang pada 25 Disember.

Kapal tersebut, yang mempunyai kapasiti 8,628 TEU dan muatan 98,799 tan kasar, membantu meningkatkan angka tahunan itu melewati paras tiga bilion - naik daripada 2.83 bilion pada tahun sebelumnya.

Pencapaian tersebut disambut dalam satu acara yang dianjurkan oleh MPA di PSA Horizons pada 26 Disember, dengan kehadiran Pemangku Menteri Pengangkutan ketika itu, Encik Chee Hong Tat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg