Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seab: Sekolah ulang audio peperiksaan pendengaran GCE ‘O’ kerana ada gangguan bunyi

Pelajar luah perasaan dalam Reddit, silap kenal pasti pencipta kandungan sebagai teks audio
Oct 18, 2024 | 3:57 PM
Lima sekolah memainkan semula sebahagian daripada trek audio dalam satu atau dua bilik darjah kerana masalah gangguan bunyi.
Lima sekolah memainkan semula sebahagian daripada trek audio dalam satu atau dua bilik darjah kerana masalah gangguan bunyi. - Foto ISTOCKPHOTO

Pelajar menduduki peperiksaan Pendengaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ pada 16 Oktober meluahkan kekecewaan mereka dalam satu perbincangan di talian Reddit kerana sesetengah sekolah memainkan semula trek audio itu.

Ini boleh memberi pelajar di sekolah-sekolah itu kelebihan tidak adil kerana mereka dinilai berdasarkan pemahaman mereka tentang teks audio itu, lapor The Straits Times.

Menjawab pertanyaan media, Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (Seab) berkata dalam satu kenyataan pada 18 Oktober bahawa lima sekolah memainkan semula sebahagian daripada trek audio dalam satu atau dua bilik darjah mereka.

Ini disebabkan gangguan seperti loceng berbunyi atau kenderaan berat bergerak, atau bilik tersekat daripada pembesar suara.

Jumlah itu adalah daripada 140 pusat tempat peperiksaan tersebut berlangsung.

Seab mengatakan pusat peperiksaan dibenarkan memainkan semula trek untuk memastikan penilaian adil bagi pelajar terjejas, dan kakitangan peperiksaan akan menilai impak dan menentukan sama ada ulangan diperlukan.

“Dalam peperiksaan GCE ‘O’ bagi Pendengaran Bahasa Inggeris, format penilaian memerlukan trek dua hingga enam dimainkan dua kali. Oleh itu, dalam kes ulangan, bahagian terjejas akan dimainkan semula mengikut bilangan yang diperlukan,” tambahnya.

Perbincangan dalam talian mengenai peperiksaan itu bermula pada 16 Oktober apabila satu hantaran pada papan pesanan bertajuk ‘r/SGExams’ mendakwa Sekolah Anglo-Chinese (Bebas) (ACSI) memainkan semula sebahagian daripada trek audio sebanyak empat kali.

Hantaran itu telah dipadamkan.

Hantaran berkenaan menerima pelbagai balasan, dengan beberapa pengguna yang mengenalkan diri mereka sebagai pelajar, melahirkan kekecewaan kerana ini akan memberi kelebihan kepada pelajar ACSI.

Ada yang melaporkan bahawa sekolah mereka juga memainkan semula trek.

Pelajar juga tersilap mengenal pasti seorang pencipta kandungan di YouTube dari Amerika Syarikat, yang nama penggunanya AliciaintheMountains, sebagai sumber salah satu trek audio itu, dan mula menyerang akaun YouTube miliknya dengan komen kebencian.

Salah satu trek audio itu menyebut tentang seorang wanita bernama Alicia Hopwood, yang sedang mendaki di kawasan yang sama yang pernah disiarkan oleh pengguna YouTube itu.

Pelajar meninggalkan komen seperti “benci dari Singapura,” manakala yang lain berkata AliciaintheMountains “menyebabkan beribu-ribu pelajar Singapura kesakitan”.

Pencipta kandungan itu kemudian meninggalkan komen yang menjelaskan beliau bukan wanita dalam trek audio itu, dan Alicia Hopwood bukan namanya.

Menjawab pertanyaan mengenai perkara ini, Seab menjelaskan pencipta kandungan itu bukan sumber trek audio yang digunakan dalam peperiksaan itu.

Lagipun, tiada persamaan antara video tersebut dengan teks audio yang digunakan dalam peperiksaan itu.

Teks yang digunakan dalam peperiksaan itu adalah karya asli, jelas Seab.

Peperiksaan Pendengaran Bahasa Inggeris peringkat GCE 2024 dibangunkan oleh sebuah panel pakar penilaian daripada Pendidikan Antarabangsa Cambridge dan Seab serta pakar kurikulum daripada Kementerian Pendidikan (MOE), tambah Seab.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg