Peluang pekerjaan baru yang muncul daripada ekonomi Singapura yang sedang berkembang menyaksikan jawatan baru diwujudkan mencapai tahap tertinggi 47.3 peratus daripada semua kerja kosong pada 2023.
Ini meningkat daripada 38.7 peratus pada 2022, dan merupakan bahagian terbesar yang direkodkan sejak Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mula menjejak angka tersebut pada 2018, lapor The Straits Times (ST).
Pekerjaan yang tertumpu pada teknologi kekal kukuh pada 2023 walaupun terdapat penstrukturan semula dan pemberhentian dalam firma teknologi, kata MOM pada 25 Mac.
Pembangun perisian, web dan multimedia mendapat permintaan paling hangat dalam kalangan golongan karyawan, pengurusan, eksekutif dan teknisyen (PMET), menyumbang bahagian terbesar kepada jawatan kosong PMET pada 2023 – sama seperti pada 2022.
Jawatan kosong untuk penganalisis sistem juga kekal dalam senarai 10 jawatan teratas bagi PMET.
MOM berkata dalam satu kenyataan yang mengiringi laporan peluang pekerjaan setahun penuhnya bahawa majoriti jawatan yang baru diwujudkan timbul disebabkan pengembangan perniagaan ke dalam fungsi sedia ada dan baru.
“Ini mencerminkan sifat berkembangnya ekonomi kita dan perubahan yang disertakan dalam permintaan tenaga kerja,” tambahnya.
Secara keseluruhannya, pasaran pekerja kekal ketat kerana bilangan kerja kosong terus melebihi jumlah pencari kerja, kata kementerian itu.
Terdapat 174 jawatan bagi setiap 100 pencari kerja pada Disember 2023, meningkat daripada 164 pada September 2023.
Bahagian jawatan kosong untuk PMET terus meningkat, mencapai 57.2 peratus pada 2023 – naik daripada 56 peratus pada 2022 dan 39.2 peratus pada 2013.
MOM berkata permintaan yang lebih tinggi untuk pekerja mahir sepanjang dekad ini dapat dilihat terutama dalam sektor seperti maklumat dan komunikasi, perkhidmatan kewangan dan insurans, perkhidmatan profesional, serta perkhidmatan kesihatan dan sosial.
Laporan itu berkata, selain permintaan kukuh untuk pekerjaan teknologi pada 2023, peluang pekerjaan untuk pembangunan perniagaan dan profesional jualan meningkat apabila syarikat berusaha mengembangkan perniagaan dan meningkatkan kecekapan proses.
Permintaan untuk jururawat berdaftar dan penolong jururawat berdaftar juga kekal kukuh apabila sektor penjagaan kesihatan terus berkembang.
MOM juga berkata majikan sanggup membayar lebih tinggi untuk mengisi jawatan itu berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, bahagian jawatan kosong yang tidak diisi selama sekurang-kurangnya enam bulan berkurang daripada 27.1 peratus pada 2022 kepada 23.5 peratus pada 2023.
Penurunan sepanjang dekad, daripada 40.3 peratus pada 2013 didorong oleh kekosongan jawatan bukan PMET, kata MOM.
Ia berkata anjakan itu mencerminkan kejayaan usaha mengurangkan masalah tenaga kerja bagi pekerjaan bukan PMET melalui akses kepada tenaga kerja asing, penggunaan teknologi, reka cipta semula pekerjaan, peningkatan kemahiran serta usaha menaikkan gaji melalui Model Gaji Progresif (PWM).
Model tersebut merujuk kepada tangga gaji yang disandarkan kepada peningkatan kemahiran dan produktiviti dalam pekerjaan bergaji rendah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg