Anggota Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) boleh menikmati sarapan pagi berupa roti bakar bersalut kaya dan telur dengan harga $1 di lebih 60 kedai Kopitiam serata Singapura sehingga 31 Ogos ini, lapor The Straits Times.
Set Sarapan Signature Kopitiam bernilai $1 ditawarkan oleh Yayasan FairPrice dengan kerjasama Kopitiam untuk meraikan ulang tahun ke-59 Singapura, kata FairPrice Group (FPG) dalam satu kenyataan pada 1 Ogos.
Dari jam 7 pagi hingga 11 pagi setiap hari, anggota NTUC boleh menikmati promosi dengan mengemukakan kad NTUC perak secara fizikal atau digital mereka di cawangan Kopitiam seperti di Jem, Jurong Point, Plaza Singapura, AMK Hub, Paya Lebar Quarter dan Vivocity.
Mereka perlu memohon e-baucar semasa membuat pembayaran dengan menggunakan aplikasi FPG.
Pelanggan juga boleh menikmati tawaran ‘beli satu percuma satu’ bagi Milo Original Chocolate Malt Drink Powder (400g tin) dari 1 hingga 4 Ogos di semua pasar raya FairPrice.
Serbuk minuman itu dijual pada harga $6.75 setiap tin 400g dan promosi terhad kepada dua set setiap pelanggan bagi setiap urus niaga.
Pengunjung di Lau Pa Sat, yang diuruskan oleh Kopitiam, boleh menikmati pelbagai hidangan $5.90 seperti quesadilla ayam, briyani masala telur dan ramen miso berkrim sehingga 31 Ogos.
Pengunjung juga boleh menikmati aiskrim susu Hokkaido berharga 59 sen di pusat penjaja.
Untuk memeriahkan semangat menyambut Hari Kebangsaan, FPG juga akan menganjurkan dua acara perjumpaan bawah blok di Woodlands dan Boon Tiong Road di estet perumahan Bukit Merah pada 3 Ogos ini.
Beberapa persembahan secara langsung serta permainan mesra keluarga diadakan selain kehadiran trak minuman Milo di Woodlands.
Pengunjung juga akan menerima beg kitar semula percuma apabila mereka membelanjakan sekurang-kurangnya $20 dalam satu transaksi di trak FairPrice on Wheels, sementara stok masih ada.
“FPG telah membawa acara perjumpaan bawah blok ke kawasan kejiranan di seluruh pulau sejak Ogos 2023. Sejak pelancarannya, inisiatif itu telah mengumpulkan hampir 8,000 penduduk dalam meraikan pelbagai majlis perayaan,” kata peruncit dan perusahaan sosial itu.
Ia menambah bahawa beg cenderahati yang diisi dengan barangan keperluan harian berjenama FairPrice seperti kopi dan oat juga diedarkan kepada keluarga berpendapatan rendah di acara perjumpaan bawah blok.
Sebelum ini, sempena Hari Pekerja pada 1 Mei, FPG mengumumkan ia akan menggandakan usaha untuk memastikan keperluan harian mampu dibeli melalui penjimatan dan diskaun bernilai lebih $4.5 juta bagi semua anggota NTUC dan NTUC Link.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg