Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Terdorong jadi kakitangan penjagaan masyarakat selepas jaga warga emas demensia

Sep 14, 2023 | 9:49 AM
TUKAR KERJAYA: Cik Siti Fatimah Mustaffa, 53 tahun, yang pernah berkecimpung dalam bidang pemasaran dan menganjur acara sekitar selama 25 tahun terdorong untuk memulakan kerjaya baru sebagai kakitangan penjagaan masyarakat (CCA) di Rumah Jagaan NTUC Health (Geylang East) selepas membantu menjaga ibu temannya yang mengalami penyakit dementia dan Parkinson.
TUKAR KERJAYA: Cik Siti Fatimah Mustaffa, 53 tahun, yang pernah berkecimpung dalam bidang pemasaran dan menganjur acara sekitar selama 25 tahun terdorong untuk memulakan kerjaya baru sebagai kakitangan penjagaan masyarakat (CCA) di Rumah Jagaan NTUC Health (Geylang East) selepas membantu menjaga ibu temannya yang mengalami penyakit dementia dan Parkinson. - Foto NTUC Health

Daripada membantu menjaga ibu temannya yang mengalami penyakit demensia dan Parkinson pada 2021, Cik Siti Fatimah Mustaffa, 53 tahun, terdorong untuk memulakan kerjaya baru sebagai kakitangan penjagaan masyarakat (CCA).

Ini kerana, semasa menjaga ibu temannya yang berusia 86 tahun itu, beliau mendapati dirinya tidak mengetahui pelbagai perkara tentang teknik menjaga warga emas. Antaranya, seperti cara mengangkat seseorang pesakit dengan betul.

“Misalnya, saya rasa cara saya memindahkan ibu teman saya daripada tempat tidurnya ke kerusi duduk mandi salah atau saya seharusnya mengetahui jenis makanan yang lebih sesuai untuknya, memandangkan beliau selalu mengalami masalah sembelit,” kata Cik Siti Fatimah.

Justeru, apabila seorang lagi teman Cik Siti Fatimah memberitahunya tentang sebuah kursus kakitangan penjagaan masyarakat (kursus CCA), beliau berminat hendak mempelajarinya.Selepas melayari laman web tentang kursus CCA itu, Cik Siti Fatimah membuat permohonan pekerjaan bersama NTUC Health pada 2022, di mana beliau kemudian diterima untuk mengikuti kursus CCA selama tiga bulan dan layak menjadi kakitangan jagaan masyarakat.

Kini, Cik Siti Fatimah yang sudah bertugas selama sembilan bulan di Rumah Jagaan NTUC Health (Geylang East) dan ditempatkan di wad demensia mendapati bahawa beliau telah menimba pelbagai pengetahuan berkaitan penjagaan kesihatan, terutama buat warga emas yang mengalami masalah demensia, menerusi tugasannya.

“Saya sekarang sudah tahu teknik memindahkan warga emas daripada katil ke kerusi roda, cara menyuap makanan, memerhatikan jika mereka boleh menelan makanan atau susu yang diberikan, cara menukar lampin pakai buang atau menyapu ubat krim dengan betul dan sebagainya. Semua yang saya pelajari sebenarnya adalah maklumat yang saya boleh gunakan untuk diri sendiri atau ahli keluarga,” kata Cik Siti Fatimah.

Beliau yang sebelum ini telah menceburi bidang pemasaran selama 25 tahun juga tidak lagi berasa kekok menjalankan tugasan hariannya.

“Saya sebenarnya agak khuatir jika saya boleh menyesuaikan diri dalam khidmat jagaan masyarakat kerana sebelum ini, saya melakar strategi pemasaran dan menganjur acara buat syarikat lain dan juga syarikat sendiri. Tetapi, syarikat saya terjejas apabila saya tidak mempunyai tawaran untuk menganjurkan acara semasa pandemik Covid-19 dan membuat keputusan untuk menukar kerjaya dalam khidmat jagaan masyarakat yang kian berkembang di Singapura,” kata Cik Siti Fatimah yang mempunyai lima orang anak dan dua cucu.

Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) telah melancarkan inisiatif mereka bentuk semula pekerjaan bagi sektor jagaan masyarakat pada 2021, mensasarkan mereka yang mempertimbangkan peralihan kerjaya kepada sektor jagaan masyarakat.

Inisiatif tersebut telah bermula dengan empat pertubuhan jagaan masyarakat iaitu St Luke’s Eldercare, Hospital Ren Ci, NTUC Health dan Hospital Masyarakat St Andrew’s.

Menerusi inisiatif itu, peranan CCA diperkenalkan, di mana kakitangan CCA menawarkan penjagaan harian yang bermutu untuk warga emas di rumah jagaan atau pusat jagaan warga emas.

Mereka akan dilatih dalam bidang silang fungsi seperti kejururawatan dan terapi.

Mereka juga bekerjasama dengan pasukan klinikal dan terapi untuk memastikan warga emas dilengkapi dengan kemahiran untuk hidup berdikari.

Kakitangan CCA juga dilatih untuk menggunakan alat teknologi dan produktiviti yang seterusnya, supaya mereka boleh meluangkan lebih banyak masa untuk penjagaan langsung warga emas, termasuk menjalankan terapi asas dan tugas-tugas kejururawatan.

Kakitangan CCA pula boleh menjangkakan kemajuan dalam kerjaya mereka daripada CCA kepada CCA Kanan, Eksekutif Penjagaan Masyarakat dan Pengurus Penjagaan Masyarakat.

Sektor khidmat jagaan masyarakat bermatlamat membantu warga emas hidup dengan lebih baik dan melalui tempoh penuaan dalam keadaan sejahtera di rumah atau di kalangan masyarakat.

Bagi Cik Siti Fatimah yang menjaga seramai 24 residen di wadnya dan bekerjasama bersama sekitar lima kakitangan lain, peluang pekerjaan baru ini juga telah memberikan kepuasan padanya.

“Walaupun saya menjaga warga emas yang mengalami masalah demensia, mereka sudah kenal saya dan saya dapat rasakan mereka gembira apabila melihat saya. Maka, pekerjaan ini bukan sahaja membolehkan saya membantu warga emas, tetapi ia juga bak terapi buat diri saya di mana mereka memberi saya semangat untuk menjadi insan yang lebih baik,” kata Cik Siti Fatimah.

Dalam pada itu, beliau mempunyai peluang untuk terus mempertingkatkan diri, di mana beliau akan menghadiri kursus pendek hampir setiap bulan, antaranya berkenaan penjagaan kesejahteraan diri.

Menggalakkan mereka yang berminat dalam sektor khidmat jagaan masyarakat, Cik Siti Fatimah berkata: “Singapura mengalami penduduk yang kian meningkat usia dan industri penjagaan kesihatan memerlukan lebih ramai kakitangan dalam sektor jagaan masyarakat. Maka, mengapa tidak anda mempertimbangkan pekerjaan sebagai kakitangan jagaan masyarakat.

“Walaupun belum ada pengalaman dalam bidang penjagaan kesihatan, anda akan diberi peluang untuk mempelajari cara menjaga warga emas. Yang penting, anda mempunyai kesabaran dan empati terhadap mereka.”

Rencana ini dipersembahkan oleh Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC).

Untuk pertanyaan lanjut sila hubungi talian 1800-650-6060 atau lungsuri laman, youalreadycare.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg