Seperti kebiasaan, anda bergegas dengan rutin harian. Tiba-tiba, kehidupan anda berubah. Seorang “rakan” menghubungi anda untuk meminjam wang; pengiklan media sosial mengumpan dengan tawaran lumayan; syarikat mempromosikan penjanaan pendapatan tambahan.
Anda membalas, tanpa menyedari bahawa anda juga kini termasuk dalam senarai 22,339 individu Singapura yang terjerat dengan sindiket penipuan kewangan dalam separuh pertama 2023.
Walaupun kesedaran terhadap kegiatan penipuan ini sudah lama meningkat, masih ramai yang terpedaya dengan taktik penipuan yang berleluasa hari ini. Keadaan tersebut semakin membimbangkan.
Pasukan Polis Singapura (SPF) mendedahkan, angka kes penipuan dari Januari hingga Jun 2023 telah meningkat sebanyak 64.5 peratus, berbanding tempoh yang sama pada 2022.
“Kita tidak menjangkakan penipuan terjadi dalam kehidupan harian. Mereka yang mungkin cekap digital dan selesa dengan kegiatan dalam talian, mungkin beranggapan bahawa ‘saya tidak akan terpedaya’, juga sebenarnya berisiko,” kata Timbalan Pengarah Jabatan Operasi, Pejabat Pendidikan Awam Penipuan (SPEO), SPF, Encik Jeffery Chin.
Para penipu mengambil kesempatan atas rasa ‘selamat’ tersebut.
“(Mereka) memerangkap mangsa menggunakan taktik pujukan, kemudian mendesak sehingga mangsa tidak mempunyai masa untuk berfikir panjang. Perkara ini menjerat diri sehingga mengakibatkan emosi dan tindakan yang kurang bijak.
“Ketika masing-masing sedang penat, tertekan atau sibuk, kemungkinan besar kita kurang waspada – dan itulah saat kita berada pada tahap yang senang diambil kesempatan,” jelas Encik Chin.
“SPF mengesyorkan langkah-langkah pencegahan seperti memuat turun aplikasi ScamShield dalam peranti pintar anda. Jika kurang pasti dengan sesuatu maklumat, periksa dengan sumber rasmi yang dipercayai. Ia akan menjadi perisai untuk anda melawan ancaman penipuan.”
Sejak kebelakangan ini, lonjakan kes penipuan menggunakan perisian hasad atau ‘malware’ adalah trend yang paling membimbangkan.
Dari Januari hingga Ogos 2023, sekitar 1,400 mangsa yang dianiaya angkara penipuan tersebut, dengan anggaran kerugian sekurang-kurangnya $20.6 juta.
Kebiasaannya, penipuan melalui ‘malware’ ini akan memperdaya mangsa memuat turun dan memasang aplikasi Android yang berbahaya.
“Penipu akan menghubungi mangsa melalui platform pesanan/mesej dan mengarahkan mereka agar memasang aplikasi-aplikasi tertentu sebagai langkah pembayaran perkhidmatan atau produk,” terang Encik Chin lagi.
“Sebaik sahaja aplikasi mengandungi ‘malware’ berjaya dimuat turun, penipu akan berupaya mengawal akses peranti mangsa bagi mendapatkan maklumat perbankan Internet dan kad bank.”
Bagi membanteras ‘malware’ dan pautan berbahaya, SPF menasihatkan orang ramai supaya memuat turun dan memasang aplikasi antivirus daripada stor aplikasi rasmi. Maklumat senarai aplikasi antivirus yang disyorkan boleh diperolehi di go.gov.sg/antivirusapps.
Singapura adalah sasaran utama. Secara purata, mangsa penipuan di Singapura mengalami kerugian paling banyak, kira-kira AS$4,031 ($5,506) bagi seorang mangsa, dedah laporan daripada The Global State of Scams 2023.
Switzerland pula mencatatkan kedudukan kedua dengan kerugian bernilai AS$3,767 bagi seorang mangsa, diikuti dengan negara Austria dengan kadar AS$3,484.
Apakah yang menyebabkan golongan penipu “tertarik” dengan rakyat Singapura?
“Singapura agak mewah,” kata Encik Chin.
“Hal ini bermakna, para penipu berpeluang mengaut pulangan yang tinggi atas usaha yang mereka lakukan. Kadar penembusan jaringan Internet berkuasa tinggi Singapura juga memudahkan kumpulan sindiket penipuan yang beroperasi di luar negara menjerat mangsa.”
Bolehkah anda mengenal pasti sesuatu penipuan? Lakukan tinjauan ringkas ini untuk mengetahui sejauh mana masyarakat kita dapat mengenal pasti skim penipuan yang berlaku di negara ini. https://surveys.lifepointspanel.com/survey/selfserve/1a9b/2312428?list=98&st=3
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg