Wanita dipenjara tipu 12 mangsa lebih $106k
Seorang wanita yang menipu 12 mangsa berjumlah lebih $106,000 dalam pelbagai skim penipuan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda $2,000 pada 3 Julai.
Priscilla Shamani Manoharan, 33 tahun, yang ditahan reman, telah menipu seorang lelaki sebanyak $57,250 dengan alasan seperti perlu membayar urus niaga Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). Tertuduh juga menipu mangsa dengan menyatakan anak perempuan dan anak lelakinya telah meninggal dunia, lapor The Straits Times.
Dia juga menipu lelaki itu dengan memalsukan kematiannya sendiri, berpura-pura menjadi peguam dan menghantar mangsa invois palsu untuk “yuran guaman tertunggak”.
Pada 20 Jun, Priscilla mengaku bersalah atas enam pertuduhan, termasuk beberapa pertuduhan menipu.
Empat belas pertuduhan lain diambil dalam pertimbangan ketika hukuman dijatuhkan.
Hakim Daerah John Ng berkata bahawa pesalah warga Singapura itu telah “menunjukkan kedegilannya” walaupun semasa dia diikat jamin.
Hakim juga menegaskan bahawa kes itu melibatkan banyak mangsa dan sejumlah wang yang besar.
Priscilla, ibu dua anak, mula lakukan jenayah pada 2022 dengan menyiarkan iklan di Facebook dan Telegram, mendakwa mempunyai flat HDB untuk disewa antara $1,500 dengan $1,800 sebulan sedangkan dia tidak berniat untuk menyewakan flatnya.
Ramai yang menghubunginya dan dia minta mereka membayar deposit.
Lebih 22 kali antara 17 April dengan 27 Mei 2022, dia menipu sembilan orang sebanyak $37,283.
Beberapa mangsa kemudian pergi ke flat tertuduh dan bapa Priscilla memberitahu mereka telah ditipu.
Dia ditangkap pada 1 Jun 2022, dan didakwa di mahkamah dua hari kemudian, sebelum dia dibebaskan dengan ikat jamin pada 8 Jun tahun itu.
Pada tahun berikutnya, Priscilla menyasarkan seorang pelajar berusia 23 tahun yang dia temui dalam kumpulan dalam talian semasa pandemik Covid-19.
Pada 24 Julai 2023, dia beritahu mangsa bahawa anak perempuannya telah meninggal dunia dan memerlukan wang untuk membayar perkhidmatan pengebumian. Pelajar itu menyerahkan $600 kepadanya pada hari itu.
Dia menipunya lagi 23 kali melibatkan wang sebanyak $57,250 dengan membuat dokumen palsu dan rekod elektronik untuk menyokong tuntutannya.

