Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

1 maut, 12 cedera dalam tembakan rambang di pasar raya AS

Lelaki bersenjata turut tembak dan bunuh diri sendiri dalam kejadian di Tennessee
Sep 25, 2021 | 05:30 AM



NEW YORK: Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di dalam sebuah pasar raya di Collierville, Tennessee, Amerika Syarikat, kelmarin membunuh satu orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 12 yang lain sebelum menembak dan membunuh dirinya sendiri.



Daripada 12 orang yang cedera, seorang perlu menjalani pembedahan dan seorang lagi dalam rawatan intensif, selepas kejadian tembakan di pinggir bandar Memphis di Collierville itu, kata Ketua Polis Dale Lane kepada wartawan.



Mangsa ke-13 dirawat kerana serangan rasa cemas berlebihan, katanya.



Pegawai mengatakan mereka telah menerima laporan tembakan pada 1.30 tengah hari di dalam sebuah kedai Kroger di Collierville, kira-kira 50 kilometer ke timur Memphis.



Kereta polis pertama tiba pada 1.34 petang, dan pegawai polis membanjiri kawasan itu dan pergi dari lorong ke lorong, dan bilik ke bilik, membantu mangsa yang cedera dan mengawal pekerja keluar dari tempat persembunyian mereka.



"Kami temui orang bersembunyi di dalam peti sejuk dan di pejabat yang terkunci.



"Mereka lakukan apa yang telah dilatih untuk mereka lakukan - lari, bersembunyi, melawan," kata Encik Lane kepada wartawan, yang menyifatkan serangan senjata api itu sebagai "peristiwa paling mengerikan yang pernah berlaku dalam sejarah Collierville".



Beliau berkata penyerang telah terbunuh dan dipercayai kerana luka tembakan yang dilakukannya sendiri. Kenderaan penembak masih berada di tempat letak kereta, katanya.



WREG-TV melaporkan penembak itu adalah seorang pekerja yang dipecat kelmarin, menukil sumber daripada penguat kuasa undang-undang yang tidak disebut namanya.



Seorang pekerja Kroger, Cik Brignetta Dickerson, memberitahu WREG bahawa beliau mengarahkan rakan pekerja dan pelanggan, sedang kejadian tembakan itu berlaku, untuk mengikutinya ke belakang kedai dan menutup pintu, tetapi lelaki bersenjata itu mengekori mereka.



"Dia terus tembak dan tembak. Dia menembak seorang rakan sekerja saya di kepala dan kemudian menembak seorang pelanggan di perut," kata Cik Dickerson, sambil menambah bahawa penembak itu nampaknya mempunyai senapang gaya tentera.



Jabatan Polis Memphis mengatakan pegawainya berada di tempat kejadian dan membantu mengawal keadaan di tempat kejadian.



Stesen berita tempatan menunjukkan sebilangan ambulans berdekatan pasar raya itu, dan sekumpulan pekerja berkumpul di tempat letak kenderaan bersama pegawai polis.



Keganasan kelmarin itu adalah yang terbaru dalam rentetan penembakan besar-besaran di tempat kerja yang meletus di bandar AS, meragut puluhan nyawa dan menyebabkan banyak lagi cedera tahun ini.



Ia berlaku enam bulan selepas seorang lelaki bersenjatakan senapang separa automatik gaya tentera dan pistol melepaskan tembakan di sebuah pasar raya King Soopers di Boulder, Colorado, membunuh 10 orang, termasuk seorang pegawai polis.



Tidak ada motif yang dijelaskan secara terbuka bagi serangan itu, yang berlaku satu minggu setelah lapan orang ditembak mati di tiga spa di wilayah Atlanta.



Ini juga bukan kali pertama pasar raya Kroger menjadi lokasi keganasan.



Sepuluh orang terbunuh pada Mac lalu apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di pasar raya King Soopers milik Kroger di Boulder, Colorado.



Pada Oktober 2018, seorang lelaki kulit putih menembak dua orang kulit hitam di sebuah kedai Kroger di Jeffersontown, Kentucky, dalam serangan bermotif perkauman. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >