Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

1 maut, beberapa cedera dalam insiden tembakan di Texas

Apr 10, 2021 | 5:30 AM
KEADAAN MENCEMASKAN: Seorang kakitangan dibenarkan keluar daripada lokasi tembakan. -Foto AFP
KEADAAN MENCEMASKAN: Seorang kakitangan dibenarkan keluar daripada lokasi tembakan. -Foto AFP -

BRYAN, (Amerika Syarikat): Seorang maut dan beberapa lagi mangsa kritikal dalam kejadian tembakan di kawasan perniagaan di Texas kelmarin - hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden menyifatkan kekerasan senjata api sebagai satu wabak atau epidemik dan mengemukakan rancangan untuk menangani krisis itu.

Menurut Jabatan Polis bandar Bryan di timur Texas di mana serangan itu berlaku, suspek kini berada dalam tahanan.

Pegawai berkata, suspek yang menembak dan mencederakan seorang anggota polis dalam kejadian itu adalah pekerja kilang pengeluar barangan kabinet, di mana insiden berlaku.

Ketua Polis Eric Buske berkata petugas menerima panggilan kira-kira 2.30 petang mengenai serangan di Kent Moore Cabinets.

"Seorang meninggal di tempat kejadian dan empat dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal dengan kecederaan akibat ditembak," katanya kepada wartawan.

Jabatan Polis Bryan mengesahkan sejumlah tujuh mangsa, termasuk seorang cedera ringan dan seorang lagi dengan masalah perubatan berbeza susulan kejadian itu.

Jabatan Keselamatan Awam Texas melaporkan bahawa seorang anggota polis cedera ditembak ketika mengejar seorang individu yang disyaki terbabit dalam insiden tembakan di Bryan.

Mangsa berada dalam keadaan serius tetapi stabil.

Tidak dipastikan sama ada anggota itu termasuk dalam jumlah mangsa yang disahkan oleh Jabatan Polis Bryan.

"Seperti yang anda bayangkan, ini sangat rumit kerana ada ramai pekerja di gudang, oleh itu kita menyusun dan menemu bual saksi serta bercakap dengan orang ramai untuk mengetahui apa yang berlaku," kata Buske.

Pada 22 Mac lalu di Boulder, Colorado, Polis sahkan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh termasuk seorang pegawai polis dalam kejadian tembakan rambang di sebuah pasar raya King Soopers, di sini.

Ketua Polis, Maris Herold berkata, pegawai polis yang maut itu dikenali sebagai Eric Talley, 51, yang pertama tiba di lokasi selepas menerima laporan kejadian itu.

"Kita terima 10 orang terkorban dalam kejadian ini termasuk pegawai polis dari sini, Tally adalah pegawai kita yang pertama tiba di lokasi dan dia terkena tembakan," katanya.

Cik Herold berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tembakan rambang pada 2.30 petang (waktu tempatan).

Pada 20 November tahun lalu, lapan individu dilaporkan cedera dalam kejadian tembakan di pusat beli-belah di Wisconsin pada Jumaat.

Jabatan Polis Wauwatosa dalam kenyataan berkata, penembak melarikan diri sebelum anggota kecemasan tiba di lokasi kejadian.

Menurut kenyataan itu, mangsa yang cedera membabitkan tujuh dewasa dan seorang remaja dengan kesemua mangsa dikejarkan ke hospital.

Datuk Bandar Wauwatosa, Dennis McBride memberitahu ABC news bahawa kecederaan mangsa tidak serius sehingga boleh mengancam nyawa.

Penembak dikenal pasti polis sebagai lelaki berkulit putih berusia lingkungan 20-an atau 30-an.

Sejumlah pekerja di pusat beli-belah berlindung dalam bangunan ketika tembakan dilepaskan, menurut video yang tular di media sosial.

Mahkamah Amerika pada 1 Oktober tahun lalu meluluskan penyelesaian berjumlah AS$800 juta ($1.07 bilion) terhadap mangsa tembakan rambang terburuk di negara itu yang mengorbankan 58 mangsa dengan lebih 800 lagi cedera di Las Vegas, dua tahun lalu.

Dalam insiden pembunuhan beramai-ramai pada Oktober 2017 itu, lelaki dikenali sebagai Stephen Paddock melepaskan tembakan menggunakan senapang berkuasa tinggi dari tingkat 32 di Pusat Peranginan dan Casino di Mandalay Bay.

Paddock melepaskan lebih 1,000 kali tembakan ke arah orang ramai yang sedang membanjiri kawasan sekitar pusat peranginan itu bagi menghadiri festival muzik.

Menurut perintah mahkamah, pemilik casino, MGM Resorts International, bersetuju membayar AS$49 juta melalui dananya sendiri manakala selebihnya datang dari syarikat insuransnya. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg