10 hari kuarantin di Indonesia untuk pengunjung warga asing
10 hari kuarantin di Indonesia untuk pengunjung warga asing
JAKARTA: Indonesia telah meningkatkan tempoh kuarantin wajib bagi semua ketibaan antarabangsa daripada tujuh hari kepada 10 hari, berkuatkuasa pada Jumaat (3 Dis), sedang varian Omicron terus tersebar di serata dunia. Pemerintah itu awal minggu ini melarang warga asing yang berada di Afrika Selatan, Botswana, Namibia, Zimbabwe, Lesotho, Mozambique, Eswatini, Malawi, Angola, Zambia dan Hong Kong dalam tempoh dua minggu sebelum berlepas ke Indonesia. Pengecualian diberikan kepada warga Indonesia yang pulang dari negara-negara itu, yang dikenakan kuarantin 14 hari. Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Encik Luhut Binsar Pandjaitan, yang memimpin respons Covid-19 pemerintah di Jawa dan Bali, berkata tempoh kuarantin yang lebih lama diarahkan oleh Presiden Joko Widodo. "Dasar ini akan dinilai dari semasa ke semasa sedang kami memahami dan terus mencari maklumat lanjut mengenai varian baru ini," kata Encik Luhut pada Rabu. "Kami juga menggesa orang ramai agar tidak melancong ke luar negara pada masa ini bagi memastikan keadaan wabak negara terkawal." Pemerintah itu juga akan melarang pegawai pemerintah daripada melancong ke luar negara, melainkan mereka ditugaskan untuk misi diplomatik yang penting. Tidak banyak yang diketahui tentang varian Omicron pada masa ini. Bagaimanapun, bukti awal menunjukkan bahawa ia mungkin lebih mudah disebarkan daripada Delta, yang merupakan varian Covid-19 yang paling menular setakat ini. Walaupun kadar penularannya agak membimbangkan, data sementara menunjukkan bahawa simptom Omicron mungkin kurang teruk daripada Delta, menurut Menteri Kesihatan, Encik Budi Gunadi Sadikin. Varian baru itu telah dikesan di sekurang-kurangnya 24 negara setakat ini, termasuk Australia, Britain, Jerman, Israel, Italy, Amerika Syarikat, Belgium dan Arab Saudi. Tiada kematian yang berkaitan dengan varian itu telah dilaporkan sejauh ini. Indonesia masih belum menemui sebarang kes varian Omicron tetapi pemerintah telah meningkatkan langkah untuk meminimumkan kesan yang mungkin berlaku sekiranya ia sampai ke negara itu. - JAKARTA POST/ASIA NEWS NETWORK

