Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

$11b bagi kesihatan, perang Covid-19 dan kesejahteraan rakyat dalam pandemik

Oct 30, 2021 | 5:30 AM
PERANGI COVID-19: Seorang jururawat memberi vaksin Covid-19 kepada pelajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur, sedang Malaysia meningkatkan program vaksinasinya. Peruntukan bajet bagi Kementerian Kesihatan adalah yang kedua terbesar selepas Kementerian Pendidikan. - Foto REUTERS
PERANGI COVID-19: Seorang jururawat memberi vaksin Covid-19 kepada pelajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur, sedang Malaysia meningkatkan program vaksinasinya. Peruntukan bajet bagi Kementerian Kesihatan adalah yang kedua terbesar selepas Kementerian Pendidikan. - Foto REUTERS -

PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia memperuntukkan RM32.4 bilion ($10.52 bilion) bagi Kementerian Kesihatan dalam usaha berterusan memerangi pandemik Covid-19, di samping menjaga kesejahteraan rakyat di tengah-tengah penularan penyakit itu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata peruntukan bagi kementerian itu adalah yang kedua terbesar selepas Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata tambahan RM4 bilion disediakan bagi pengurusan Covid-19, dengan RM2 bilion adalah untuk program imunisasi kebangsaan dan RM2 bilion untuk meningkatkan kapasiti kemudahan perkhidmatan kesihatan awam seperti pembelian ubat, kit kesihatan dan peralatan perlindungan diri (PPE).

"Kerajaan juga bercadang untuk mendapatkan ubat antivirus yang berkesan melawan pelbagai virus, termasuk Covid-19," katanya semasa pembentangan Belanjawan 2022 di Parlimen semalam.

Jumlah kes Covid-19 di Malaysia semakin stabil di bawah 8,000 kes sehari sepanjang satu dua minggu lalu, setelah mencapai lebih 20,000 jangkitan sehari Ogos lalu.

Di Parlimen semalam, Tengku Zafrul juga menyatakan kerajaan telah menandatangani perjanjian untuk mendapatkan 88 juta dos yang bersamaan dengan lebih 140 peratus penduduk dan cukup untuk memberi dos ketiga kepada semua orang berumur 12 tahun ke atas.

Beliau menambah bahawa kerajaan juga merancang menyediakan potongan cukai individu dan majikan buat suntikan penggalak Covid-19 yang dibiayai sendiri.

Selain itu, beliau berkata RM100 juta diperuntukkan untuk menaja 3,000 pegawai perubatan dan pergigian kontrak mengikuti latihan kepakaran.

Sebanyak RM70 juta juga telah diperuntukkan bagi program dan sokongan kesihatan mental.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan penerima terbesar peruntukan dalam Belanjawan 2022, menerima sejumlah RM52.6 bilion.

Kementerian Pengajian Tinggi pula akan menerima RM14.5 bilion, kata Tengku Zafrul.

Selain itu, kerajaan memperkenal Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) menerusi Belanjawan 2022 dengan bantuan tunai tertinggi, iaitu RM2,000, bagi mengurangkan beban rakyat yang terkesan oleh pandemik Covid-19.

Tengku Zafrul berkata BKM dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion itu bakal membawa manfaatkan kepada kira-kira 9.6 juta penerima yang akan membabitkan isi rumah yang mempunyai tiga anak dan lebih, selain purata pendapatan bulanan di bawah RM2,500 sebulan.

"Bantuan kali ini adalah yang tertinggi berbanding sebelum ini di mana Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) hanya memperuntukkan sebanyak RM1,800.

"Bantuan tunai langsung itu ditambah baik dengan memperkenalkan BKM untuk memberi lebih tumpuan kepada mereka yang terkesan," katanya.

Menurut Tengku Zafrul, tumpuan kerajaan ialah meneruskan bantuan tunai langsung secara bersasar, memperkasa aspek pendidikan dan kesihatan awam dan terus menjana peluang pekerjaan. - The Star, BHM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg