ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 13 hotel di Johor ditutup dengan kadar purata penginapan turun mendadak kepada hanya 27.66 peratus pada Ogos lalu, berikutan penutupan sempadan Malaysia-Singapura.
Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sektor pelancongan antara paling terkesan akibat penutupan sempadan Malaysia-Singapura sejak 18 Mac lalu, berikutan wabak Covid-19.
Beliau berkata secara perbandingannya, kadar purata penginapan di negeri itu mencatat kadar 57.3 peratus pada tahun lalu.
"Setakat ini sebanyak 13 hotel di Johor sudah ditutup dan pemandu pelancong hilang punca pendapatan, selain penurunan ketara jumlah pelawat di taman tema serta pusat beli-belah di negeri ini.
"Kerajaan Johor sedar betapa pentingnya pembukaan sempadan Johor-Singapura terutama kepada sektor pelancongan bernafas semula, sekali gus menggerakkan sektor lain. Itulah sebabnya Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, membawa isu pembukaan sempadan ke Putrajaya setiap minggu, bukan sahaja dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), bahkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), sekali gus menjadi negeri pertama diberi ruang membentangkan status ekonominya.
"Namun, kita semua maklum bagi agenda pembukaan sempadan Johor-Singapura, ia memerlukan persetujuan antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan semestinya, pemerintah Singapura, selain faktor kesihatan serta keselamatan, iaitu angka Covid-19 perlu rendah di kedua-dua negara," katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Zulkurnain Kamisan (BN-Seri Medan) yang mahu tahu status terkini sektor pelancongan Johor pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 kelmarin.
Mengulas lanjut, Datuk Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Layang-Layang berkata pada mulanya kerajaan Johor teruja dengan pengumuman 'gelembung perjalanan' antara Hong Kong dengan Singapura yang diumumkan Singapura sebelum ini.
Katanya, ia memberi harapan kepada Johor untuk mencontohi atau mengaplikasi skim gelembung perjalanan sama antara Johor-Singapura bagi memulihkan sektor pelancongan negeri.
"Namun, pada 21 November lalu, sehari sebelum perlaksanaan gelembung perjalanan Singapura-Hong Kong, pemerintah Singapura mengumumkan pembatalan skim itu berikutan kes Covid-19 di Hong Kong tiba-tiba naik mendadak semula. Percaya dan yakinlah, demi kelangsungan ekonomi dan sektor pelancongan, kerajaan Johor akan terus berusaha untuk merungkai dan menyelesaikan isu pembukaan sempadan ini," katanya.
Selain itu, Dr Onn menyatakan kerajaan negeri telah memperkenalkan beberapa inisiatif di bawah Bajet Johor 2021 untuk membantu pemain pelancongan yang terjejas oleh Covid-19, termasuk insentif RM1,000 ($330) kepada pemandu pelancong yang berdaftar di negeri ini, lapor The Star.
"Peruntukan RM320,000 diberikan kepada kira-kira 16 persatuan negeri dan daerah pelancongan, dan pemberian wang tunai RM2,000 kepada 586 syarikat agensi pelancongan.
"Terdapat juga pengenalan kepada pensijilan hotel yang mematuhi prosedur operasi standard Covid-19 untuk meningkatkan keyakinan orang ramai untuk menggunakan kemudahan hotel itu," tambah Dr Onn


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg