MAUMERE (Indonesia): Sekurang-kurangnya 13 orang telah dilaporkan mati selepas bot yang membawa beratusan penumpang terbakar di timur Indonesia kelmarin, kata seorang pegawai pengangkutan.
Bot KM Express Cantika 77 terbakar berhampiran pantai pulau Timor di wilayah Nusa Tenggara Timur, menyebabkan para penumpang untuk melompat ke dalam laut akibat terdesak.
Menurut Ketua Agensi Pengangkutan Nusa Tenggara Timur, Encik Isyak Nuka, yang bercakap dengan AFP, operasi mencari dan menyelamat telah menemui 241 orang yang masih hidup daripada 254 penumpang dan anak kapal yang menaiki bot itu.
"13 orang telah ditemui mati dan semua 241 yang lain telah dipindahkan," kata beliau, yang tidak menyatakan punca kebakaran.
Ketua sebuah agensi mencari dan menyelamat tempatan, Encik I Putu Sudayana, memberikan angka kematian yang lebih tinggi, iaitu 14 orang serta angka lebih rendah bagi penumpang dan anak kapal yang telah diselamatkan iaitu 240 orang.
"Kami telah memindahkan 240 orang dengan 14 yang telah mati dan 226 yang terselamat," katanya kepada AFP.
Dek di atas bot itu terbakar ketika ia berlayar dari ibu kota wilayah Kupang ke bandar Kalabahi di Pulau Alor.
Pihak berkuasa menghantar tiga bot penyelamat dan nelayan tempatan turut keluar ke laut dengan bot mereka sendiri untuk membantu dalam usaha mencari itu.
Menurut Encik Isyak, para penyelamat bergelut untuk mendekati kapal itu kerana api dan arus yang deras.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa beberapa mangsa yang terselamat akan dirawat di hospital dan mangsa yang meninggal dunia akan dipindahkan ke hospital polis di Kupang untuk dikenal pasti.
Ramai orang yang diselamatkan telah menggunakan jaket keselamatan selepas kebakaran berlaku dan beberapa daripada mereka berjaya berenang terus ke pantai.
Seorang pegawai menyatakan bahawa bot itu mempunyai kapasiti untuk 250 orang.
Kemalangan marin adalah perkara biasa di kepulauan Asia Tenggara yang mempunyai sekitar 17,000 pulau dan di mana standard keselamatan seringkali didapati longgar.
Pada 2018, lebih 150 orang mati lemas apabila sebuah feri karam di salah sebuah tasik paling dalam di dunia di Pulau Sumatra. - AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg