ISTANBUL: Gempa bumi sekuat 6.2 mengikut skala Richter melanda bawah Laut Marmara berhampiran Istanbul, sekali gus mencetuskan panik meluas dan banyak kecederaan di bandar Turkey itu.
Namun, tiada laporan segera mengenai kerosakan serius.
Lebih 150 orang dimasukkan ke hospital akibat cedera ketika cuba terjun dari bangunan, kata pejabat gabenor di Istanbul, sebuah bandar yang dianggap berisiko tinggi menghadapi gempa bumi besar.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa bumi itu mempunyai kedalaman cetek kira-kira 10 kilometer, dan pusat gempanya adalah kira-kira 40 kilometer ke barat daya Istanbul, bawah Laut Marmara.
Ia dirasai di wilayah jiran Tekirdag, Yalova, Bursa dan Balikesir dan di bandar Izmir, kira-kira 550 kilometer ke selatan Istanbul.
Menteri Dalam Negeri, Encik Ali Yerlikaya, berkata gempa bumi itu berlaku selama 13 saat dan diikuti dengan lebih 50 gegaran susulan, yang paling kuat berukuran 5.9 magnitud.
Gempa bumi itu berlaku pada 12.49 tengah hari 23 April, semasa cuti umum, apabila ramai kanak-kanak tidak bersekolah dan sedang bercuti di Istanbul.
Penduduk yang panik bergegas keluar dari rumah dan bangunan menuju ke jalan raya.
Agensi pengurusan bencana dan kecemasan menggesa orang ramai supaya menjauhi bangunan.
“Disebabkan panik, 151 rakyat kami cedera akibat terjun dari ketinggian.
“Mereka sedang dirawat di hospital dan mereka tidak dalam keadaan yang mengancam nyawa,” kata pejabat gabenor Istanbul dalam satu kenyataan.
Ramai penduduk berpusu-pusu ke taman, halaman sekolah dan kawasan lapang yang lain untuk mengelak daripada berada berhampiran bangunan, sekiranya berlaku runtuhan atau gempa bumi berikutnya.
Beberapa penduduk tempatan turut kelihatan memasang khemah di taman.
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, berkata: “Alhamdulillah, nampaknya tidak ada sebarang masalah buat masa ini.
“Semoga Tuhan melindungi negara kita dan rakyat kita daripada segala jenis malapetaka, bencana, kemalangan dan masalah.”
Seorang penduduk, Encik Cihan Boztepe, 40 tahun, telah melarikan diri ke jalanan bersama keluarganya untuk mengelak daripada risiko bangunan runtuh.
Berdiri di sebelah anaknya yang menangis teresak-esak, Encik Boztepe berkata pada 2023 beliau tinggal di wilayah Batman, kawasan berhampiran dengan bahagian selatan Turkey, yang dilanda gempa bumi besar pada masa itu.
“Pada mulanya kami rasa seperti digoncang, kemudian ia berhenti, kemudian kami digoncang lagi.
“Anak-anak saya sedikit takut tetapi saya tidak. Kami cepat-cepat turun ke tempat yang selamat,” tambahnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg