17 das tembakan meriam sambut kelahiran puteri sulung Pengiran Muda Abdul Mateen
17 das tembakan meriam sambut kelahiran puteri sulung Pengiran Muda Abdul Mateen
BANDAR SERI BEGAWAN: Sebanyak 17 das tembakan meriam dilepaskan di pekarangan Istana Nurul Iman pada 8 Februari sebagai tanda bermulanya istiadat rasmi meraikan kelahiran cahaya mata pertama pasangan diraja Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen dan Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam.
Menurut kenyataan rasmi Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei, Paduka Seri Pengiran Anisha selamat melahirkan seorang puteri pada 8.50 pagi, 8 Februari.
Kelahiran itu menambah seorang lagi cucu Sultan Hassanal Bolkiah.
Kenyataan sama turut memaklumkan bahawa istiadat 17 das tembakan meriam merupakan sebahagian daripada tradisi Diraja Brunei bagi menzahirkan kesyukuran atas kelahiran anggota baru kerabat diraja.
Perkhabaran gembira itu turut dikongsikan sendiri oleh Paduka Seri Pengiran Anisha menerusi media sosial, sekali gus mencuri perhatian rakyat Brunei serta peminat keluarga diraja di dalam dan luar negara.
Ruangan media sosial dibanjiri ucapan tahniah, doa dan kata-kata kegembiraan daripada rakyat jelata yang menyambut baik kelahiran puteri sulung pasangan diraja berkenaan.
Ramai menyifatkan pasangan Pengiran Muda Abdul Mateen dan Paduka Seri Pengiran Anisha sebagai antara figura diraja paling disayangi, khususnya dalam kalangan generasi muda, sekali gus menjadikan berita kelahiran itu sebagai detik yang dinantikan.
Pengiran Muda Abdul Mateen, yang merupakan anak ke-10 Sultan Hassanal Bolkiah, sebelum ini berkongsi berita kehamilan isterinya pada Oktober 2025.
Pengumuman itu dibuat menerusi foto hitam putih yang dimuat naik di Instagram, memaparkan pasangan tersebut berpegangan tangan dengan kapsyen ringkas, “Dan kini kami bertiga.”
Pasangan diraja itu diijabkabulkan pada 11 Januari 2024 dalam istiadat penuh adat dan tradisi yang berlangsung selama 10 hari, melibatkan beberapa majlis utama termasuk upacara keagamaan di Masjid Omar Ali Saifuddien dan majlis santapan diraja di Istana Nurul Iman.
Majlis perkahwinan tersebut turut dihadiri pemimpin dan tetamu kenamaan dari dalam serta luar negara.
Ribuan rakyat Brunei turut menyaksikan perarakan kereta kuda diraja yang melalui ibu negara, Bandar Seri Begawan, sebagai sebahagian daripada sambutan perkahwinan.
Dalam konteks pewarisan takhta, puteri sulung pasangan ini tidak termasuk dalam senarai pewarisan mengikut Perlembagaan dan undang-undang pewarisan Brunei, yang menetapkan bahawa raja mestilah seorang lelaki, beragama Islam dan daripada keturunan lelaki secara langsung.
Pengiran Muda Abdul Mateen sendiri berada di belakang beberapa waris lelaki lain, termasuk Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah serta putera-putera baginda.
Walaupun begitu, kelahiran puteri sulung itu tetap dilihat sebagai detik penting bagi keluarga diraja dan negara.
Penganalisis tempatan berpandangan bahawa sambutan penuh adat itu mencerminkan peranan institusi diraja sebagai simbol kesinambungan tradisi, kestabilan dan identiti nasional Brunei.
“Setiap kelahiran dalam kerabat diraja bukan sekadar peristiwa keluarga, bahkan juga peristiwa negara yang mengikat rakyat dengan sejarah dan adat kesultanan,” kata seorang pemerhati budaya tempatan.
Dengan kelahiran puteri sulung ini, tumpuan rakyat Brunei sekali lagi terarah kepada institusi diraja yang terus memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat, sambil mengekalkan warisan dan nilai tradisi yang telah berakar sejak ratusan tahun lalu. – Agensi berita.

