Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

18 hilang akibat banjir besar di sempadan Nepal-China

Jul 8, 2025 | 7:33 PM
 Gambar edaran yang disediakan oleh Tentera Nepal menunjukkan orang ramai berkumpul di kawasan terjejas banjir di Rasuwagadhi, Nepal. Menurut Pejabat Polis Daerah Rasuwa, arus deras telah menghanyutkan Jambatan Miteri, iaitu jambatan utama yang menghubungkan Nepal dan China, sekali gus menghentikan pergerakan manusia dan kenderaan merentasi sempadan. Sekurang-kurangnya 18 individu dilaporkan hilang akibat kejadian ini.
 Gambar edaran yang disediakan oleh Tentera Nepal menunjukkan orang ramai berkumpul di kawasan terjejas banjir di Rasuwagadhi, Nepal. Menurut Pejabat Polis Daerah Rasuwa, arus deras telah menghanyutkan Jambatan Miteri, iaitu jambatan utama yang menghubungkan Nepal dan China, sekali gus menghentikan pergerakan manusia dan kenderaan merentasi sempadan. Sekurang-kurangnya 18 individu dilaporkan hilang akibat kejadian ini. - Foto EPA

KATHMANDU: Sekurang-kurangnya 18 orang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir awal pagi 8 Julai di kawasan sempadan utara Nepal berikutan hujan lebat berterusan, menurut laporan pihak berkuasa tempatan.

Jurucakap polis daerah Rasuwa, Inspektor Krishna Dhital, berkata bahawa banjir berlaku berhampiran kawasan sempadan Rasuwagadhi, mengakibatkan ramai yang sedang bekerja di pelabuhan darat berhampiran dihanyutkan air.

“Kebanyakan mereka yang hilang berada di pelabuhan darat berhampiran sempadan ketika banjir melanda,” kata Inspektor Dhital. Tambah beliau, sebuah jambatan di kawasan sempadan tersebut telah musnah dihanyutkan arus deras, manakala beberapa kenderaan elektrik turut lenyap dibawa air.

Insiden tersebut berpunca daripada limpahan air Sungai Bhote Koshi, yang turut menghanyutkan “Jambatan Persahabatan” – struktur penting yang menghubungkan Nepal dan wilayah Tibet di China.

Pihak berkuasa cuaca Nepal menyatakan bahawa banjir besar itu mungkin disebabkan oleh limpahan tasik glasier dari wilayah Tibet, kerana tiada hujan lebat direkodkan di kawasan tangkapan sungai dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

Di Nepal, pihak Berkuasa Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMA) mengesahkan bahawa 18 individu hilang termasuk enam warga China dan tiga anggota polis Nepal.

Selain itu, lapan buah kereta elektrik turut dihanyutkan, dan sebuah loji hidroelektrik kecil mengalami kerosakan akibat banjir. Insiden ini juga menjejaskan perdagangan dua hala antara Nepal dan China kerana jambatan utama telah musnah.

Menurut Pegawai Pentadbiran Daerah Rasuwa, Encik Arjun Paudel, warga China yang hilang merupakan pekerja di Tapak Depoh Kontena Darat (ICD) yang sedang dibina dengan bantuan China, terletak kira-kira 80 kilometer di utara ibu kota Kathmandu.

“Sungai itu juga menghanyutkan beberapa kontena yang membawa barangan import dari China. Kami sedang mengumpul maklumat mengenai kerugian harta benda,” katanya kepada Reuters.

Jurucakap Angkatan Tentera Nepal, Raja Ram Basnet, berkata seramai 11 orang telah berjaya diselamatkan setakat ini dan operasi mencari serta menyelamat masih diteruskan.

China, yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini meningkatkan pelaburannya di Nepal termasuk dalam sektor jalan raya, loji janakuasa dan hospital, turut berdepan kesan buruk akibat hujan lebat dan banjir kilat baru-baru ini. Wilayah-wilayahnya turut bersiap siaga menghadapi taufan tropika dalam minggu ini.

Sementara itu, Jabatan Ramalan Cuaca Nepal kini bekerjasama dengan inisiatif antarabangsa Sentinel Asia – satu program berasaskan teknologi satelit untuk membantu pengurusan bencana di rantau Asia Pasifik – bagi mengenal pasti punca sebenar banjir tersebut.

“Kami telah membuat Permintaan Pemerhatian Kecemasan kepada Sentinel Asia untuk mendapatkan data satelit bagi menentukan punca sebenar banjir dan kesannya,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pakistan turut dilaporkan mengalami bencana akibat hujan lebat dan banjir. Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) Pakistan, sekurang-kurangnya 79 orang, termasuk 38 kanak-kanak, terkorban dalam pelbagai kejadian termasuk tanah runtuh dan rumah runtuh sejak 26 Jun lalu.

NDMA turut mengeluarkan amaran baharu berhubung banjir kilat dan letusan tasik glasier di wilayah Gilgit-Baltistan dan Khyber Pakhtunkhwa, susulan kenaikan suhu yang ketara dan sistem cuaca baharu yang dijangka melanda kawasan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg