Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

18 maut, 19 cedera dalam kebakaran hutan di Korea Selatan

Mar 26, 2025 | 11:30 AM
Kebakaran hutan merebak di seluruh wilayah tenggara Korea Selatan pada 25 Mac 2025, memaksa beribu-ribu penduduk meninggalkan rumah mereka.
Kebakaran hutan merebak di seluruh wilayah tenggara Korea Selatan pada 25 Mac 2025, memaksa beribu-ribu penduduk meninggalkan rumah mereka. - Foto Reuters

SEOUL: Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan 19 yang lain cedera dalam kebakaran hutan yang melanda wilayah tenggara Korea Selatan, dengan kebanyakan mangsa berusia 60-an atau lebih, menurut Perkhidmatan Hutan Korea.

Api yang mulanya marak di daerah Sancheong di wilayah Gyeongsang Utara pada 21 Mac, telah merebak ke Uiseong dan sedang mara ke negara jiran Andong, Cheongsong, Yeongyang dan Yeongdeok.

Kebakaran merebak pantas disebabkan oleh angin kencang dan diburukkan cuaca kering.

Daripada semua mangsa, dua ditemui di Andong, tiga di Cheongsong, lima di Yeongyang dan enam di Yeongdeok, kata pegawai.

Daripada 10 orang yang cedera pula, dua mengalami kecederaan serius.

Untuk memadamkan api dan mengawalnya daripada terus merebak, pemerintah telah mengerahkan 87 helikopter dan lebih 4,900 anggota, termasuk anggota bomba, penjawat awam dan tentera, ke kawasan yang terjejas pada 25 Mac.

Di Yeongyang, empat daripada lima mangsa ditemui mati terbakar di sebatang jalan sekitar 11 malam pada 24 Mac.

Api yang menyambar turut memusnahkan Kuil Goun di Uiseong, sebuah kuil purba yang dibina pada 681 semasa Dinasti Silla.

Namun, khazanah negara yang disimpan di kuil tersebut telah terselamat - sempat dipindahkan ke tempat lain.

Beribu-ribu anggota bomba dan berpuluh-puluh helikopter dan kenderaan dikerahkan untuk memadamkan kebakaran.

Sejak 21 Mac, tentera telah mengerahkan kira-kira 5,000 anggota dan 146 helikopter untuk membantu membendung kebakaran hutan yang marak di wilayah tenggara.

Kementerian Kehakiman berkata kira-kira 500 banduan di sebuah penjara di wilayah Gyeongsang Utara telah dipindahkan ke penjara lain untuk melindungi keselamatan mereka.

Kementerian itu pada mulanya mempertimbangkan untuk memindahkan kira-kira 3,500 banduan daripada beberapa penjara di wilayah berkenaan tetapi mengurangkan jumlah itu apabila beberapa kebakaran telah dipadamkan.

Kebakaran hutan itu berlaku selang lebih sebulan kejadian api membaham sebuah tapak pembinaan resort hotel di bandar pelabuhan Busan.

Enam orang disahkan maut manakala 25 lagi tercedera dalam kebakaran itu, menurut agensi bomba tempatan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg