JAKARTA: Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, mengumumkan bahawa polis telah menahan 181 suspek pengganasan dalam operasi pencegahan sepanjang dua tahun dari 2023 hingga 13 November 2024.
Operasi itu dijalankan oleh skuad antipengganasan Pasukan Detasmen 88 (Densus 88) Polis Nasional Indonesia dengan kerjasama Kor Briged Bergerak (Brimob), sebuah unit separuh tentera operasi khas pasukan polis yang bertanggungjawab dalam mengekalkan keamanan dan ketertiban negara.
Ia sebahagian daripada usaha lebih besar untuk mencapai sasaran ‘zero attack’, iaitu tiada serangan pengganasan terbuka, ujar Jeneral Listyo.
Berucap semasa majlis sambutan ulang tahun ke-79 Kor Brimob di Depok, Jawa Barat, Jeneral Listyo berkata operasi itu bertujuan menangani ancaman pengganasan secara proaktif melalui pendekatan pencegahan.
“Ini adalah satu pendekatan yang penting, apabila kami bertindak awal berdasarkan bukti yang kukuh untuk menghalang sebarang serangan sebelum ia berlaku,” kata beliau.
Menurut Ketua Polis Negara itu, operasi pencegahan bukan melibatkan penahanan suspek sahaja, malah memberi tumpuan kepada pembanterasan kegiatan pengganasan yang sedang berkembang.
“Arahan Presiden (Prabowo Subianto) adalah jelas – tiada letupan, sekecil mana pun. Kami perlu memastikan keselamatan negara dengan melakukan tindakan yang tegas dan bersasar,” tambahnya.
Ini, ujarnya, menunjukkan komitmen tinggi pada prinsip keselamatan awam, yang bukan hanya mengutamakan tindak balas selepas serangan, malah mengutamakan langkah pencegahan lebih awal.
Jeneral Listyo turut memberi penghargaan kepada Brimob atas peranan penting mereka dalam memastikan keselamatan negara.
“Kor Brimob selalu berada di barisan hadapan dalam menangani ancaman dan memastikan ketenteraman awam sentiasa terjaga,” ujar beliau.
Peranan Brimob dan Densus 88 sangat penting dalam usaha mengekang kegiatan pengganasan, terutama dalam mencegah serangan yang mungkin merosakkan keamanan negara, ujarnya lagi.
Pada masayang sama, Badan Nasional Pencegahan Terorisme (BNPT) melaporkan Indonesia tidak mengalami sembarang serangan pengganasan terbuka dari 2023 hingga Jun 2024.
Menurut Ketua BNPT, Encik Eddy Hartono, kejayaan itu menunjukkan keberkesanan strategi pencegahan yang dilaksanakan dengan penuh kerjasama antara pasukan polis dengan agensi berkaitan.
“Keamanan masyarakat adalah keutamaan kami, dan dengan sinergi antara Brimob dengan Densus 88, kita mampu menghalang ancaman ekstremis yang boleh mengganggu ketenteraman negara,” katanya.
Jeneral Listyo mengakhiri ucapannya dengan menegaskan pendekatan zero crime, atau sifar jenayah, adalah salah satu dasar utama yang diterapkan oleh kepimpinan Presiden Prabowo demi memastikan negara bebas daripada ancaman pengganasan.
“Melalui strategi pencegahan yang lebih agresif, kami bukan sahaja melindungi rakyat, bahkan juga mengukuhkan imej negara di mata dunia sebagai negara yang aman dan stabil,” jelas beliau.
Pihak berkuasa turut bertekad menjadikan model keselamatan ini sebagai contoh dalam rantau Asia Tenggara bagi menangani ancaman pengganasan yang semakin kompleks.
Strategi itu menjadi manifestasi komitmen pihak berkuasa Indonesia dalam mengekalkan keamanan domestik dan melindungi rakyat daripada sembarang ancaman yang berpotensi mencetuskan pengganasan atau ketidaktenteraman awam. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg