PUTRAJAYA: Seramai 1,880 daripada 52,593 petugas kesihatan Malaysia yang disaring sehingga 15 Disember lalu dikesan positif Covid-19 sehingga Isnin (21 Dis).
Mereka yang disaring adalah petugas yang bergejala, petugas yang kembali dari bertugas sebagai pasukan mobilisasi di Sabah, petugas yang berisiko tinggi seperti kontak kepada kes positif sama ada di tempat kerja, rumah atau di tempat awam dan petugas yang berada di fasiliti yang berlakunya kluster.
Turut disaring petugas yang mengendalikan kes Covid-19 dan didapati berisiko tinggi hasil penilaian risiko dilakukan serta melalui program pemantauan dalam kalangan petugas secara berkala juga di fasiliti tertentu terutamanya di kawasan berisiko tinggi, lapor akhbar Berita Harian Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa prihatin memastikan keselamatan dan kesihatan petugas kesihatan sepanjang pandemik COVID-19.
Beliau berkata, ia termasuk melakukan pemantauan berkala kepada semua petugas kesihatan.
"Sehingga semalam, sebanyak 1,880 kes dikesan positif COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan melalui saringan-saringan ini.
"KKM juga mengambil maklum perkembangan mutakhir ini apabila berlaku peningkatan kes dalam kalangan petugas kesihatan terutama di dalam fasiliti kesihatan di Zon Merah dan kawasan berisiko tinggi," katanya lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg